6 May 2008

NGO India Kesal Nasib Bahasa Malaysia


AKHIR April 2008, genaplah setahun sejak Kabinet memutuskan penggunaan semula istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia.

Walau bagaimanapun, keputusan rasmi yang dibuat adalah tidak memadai selagi tidak dipraktikkan dan dikuatkuasakan sepenuhnya secara tegas dan menyeluruh.

Sekiranya diperhatikan, masih ramai yang ingkar pada keputusan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”, termasuk dalam urusan rasmi.

Selain daripada soal istilah, perkara yang amat wajar diberi perhatian adalah isu penggunaan Bahasa Malaysia itu sendiri.

Pencemaran Bahasa Malaysia pada semua peringkat masih berleluasa dan menjadi bukti yang jelas bahawa semangat cinta akan Bahasa Malaysia masih berada pada paras yang amat rendah serta tidak boleh dibanggakan.

Pelbagai kempen yang dijalankan sejak puluhan tahun dahulu terbukti hanya seperti melepaskan batuk di tangga dan bermusim; tetapi tidak berkala.

Sepatutnya, kempen galakan penggunaan Bahasa Malaysia dan kempen mencintai Bahasa Malaysia bukan hanya pada musim/bulan tertentu dan dipertanggungjawabkan kepada pihak/agensi tertentu sahaja.

Memang perlu diakui bahawa ada usaha gigih oleh individu dan kumpulan kecil tertentu yang menjalankan kempen berterusan untuk mendaulatkan dan memartabatkan Bahasa Malaysia.

Kumpulan Sasterawan Kavyan, misalnya, sentiasa merancang dan mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa dan sastera pada sepanjang tahun dengan kerjasama beberapa pihak yang sama-sama berusaha mendaulatkan Bahasa Malaysia.

Maklumat aktiviti berkenaan boleh dirujuk di http://www.kavyan.cjb.net/ dan terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum serta peringkat umur.

Ternyata, individu dan kumpulan-kumpulan kecil yang tidak mempunyai dana dan sumber kewangan masih gigih berusaha merancang dan mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa pada sepanjang tahun.

Maka, tidak ada alasan mengapa pertubuhan dan organisasi besar yang mempunyai dana dan peruntukan besar tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sosial ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia.

Namun, tepuklah dada, tanyalah selera kerana seperti kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan; dan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
.
Utusan Malaysia, 6 Mei 2008