14 May 2008

Pesta Buku Selangor 2008

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan Pesta Buku Selangor 2008 pada 25 Julai hingga 3 Ogos 2008 di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Pesta Buku Selangor 2008 dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor pada 25 Julai 2008.

Selain daripada pameran buku dan bahan bacaan, pelbagai aktiviti sampingan berkaitan buku dan pembacaan dirancang dengan memfokuskan kepada khalayak kanak-kanak, remaja dan ibu bapa.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk yang pertama berlangsung pada 14 Mei 2008 di Perpustakaan Raja Tun Uda (PRTU), Shah Alam untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan menjayakan Pesta Buku Selangor 2008. Kavyan diwakili oleh Uthaya Sankar SB.

Antara pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan aktiviti Pesta Buku Selangor 2008 adalah PPAS, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Penerbit PTS, Utusan Publication dan Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Sekitar 100 gerai dibuka untuk sewaan kepada penerbit, pengedar dan agensi berkaitan buku yang berminat menyertai Pesta Buku Selangor 2008. Tempahan sudah pun dibuka dan mana-mana pihak yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang http://www.ppas.org.my/ atau melalui talian 03-55197667/7682/7679/7685/7691 (Puan Komalam, Puan Suzliana, Puan Hikmah).

Kavyan turut terlibat dalam membuat promosi dan publisiti, serta mengendalikan aktiviti sebelum dan semasa Pesta Buku Selangor 2008. Sebagaimana lazim, semua aktiviti Kavyan adalah terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum dan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia.

Sebagai aktiviti sebelum Pesta Buku Selangor 2008, Kavyan akan bekerjasama dengan PPAS dalam mengendalikan siri Kunjungan Sastera Kavyan pada hujung minggu di beberapa daerah di Selangor. Maklumat berkaitan akan disebarkan melalui http://www.ekavyan.cjb.net/ dari semasa ke semasa.

Aktiviti Baca Cerpen A Samad Said pula sedang dirancang untuk diadakan di PKNS semasa Pesta Buku Selangor 2008. Sesi uji bakat, pemilihan peserta dan latihan membaca cerpen di pentas akan diadakan di PRTU dalam masa terdekat.

Suatu lagi aktiviti yang sedang dirancang oleh Kavyan adalah Baca Cerita Kanak-kanak yang bertujuan menguji bakat kanak-kanak membaca buku cerita di pentas semasa Pesta Buku Selangor 2008.

Mana-mana pihak (individu/kumpulan) yang berminat menyertai atau bekerjasama dalam menjayakan aktiviti Kavyan sempena Pesta Buku Selangor 2008 dipelawa menghubungi e-mel info@kavyan.cjb.net untuk maklumat lanjut dan perbincangan.