29 Aug 2026

Vrihanala, Watak Misteri dari Mahabharata



Cerpen “Laksamana Arjunatersiar di Free Malaysia Today (21 Januari 2012) sebelum dimuatkan dalam buku Pulau Pendatang (2015) dan Cerpen (2024). Fikyen ini memperlihatkan satu pendekatan kreatif yang jarang ditemukan dalam sastera kebangsaan.

Pengarang tidak sekadar mengadaptasi epik Mahabharata, sebaliknya memilih satu episod yang sering dipinggirkan dalam perbincangan umum, iaitu tempoh Arjuna hidup sebagai Vrihanala, seorang guru tarian dan muzik yang berpenampilan wanita (transgender) selama setahun akibat sumpahan Urvasi.

Episod ini menjadi teras kepada sebuah penceritaan yang bukan sahaja memperkenalkan pembaca kepada sisi lain watak Arjuna, malah membuka ruang tafsiran baharu terhadap hubungan antara tradisi sastera India dan tradisi kesusasteraan Melayu.

Cerpen “Laksamana Arjuna” berfungsi bukan sekadar sebagai sebuah karya fiksyen tetapi juga sebagai sebuah teks intertekstual yang memaksa pembaca berfikir secara kritikal tentang sejarah, mitos, identiti, dan proses pembentukan naratif budaya.

Keistimewaan paling ketara cerpen ini ialah keberanian pengarang mengangkat kisah Vrihanala sebagai pusat penceritaan. Dalam kebanyakan penceritaan moden, Arjuna biasanya digambarkan sebagai pahlawan agung, pemanah terbaik, dan wira di medan perang Kurukshetra.

Episod penyamarannya sebagai Vrihanala sering dianggap sampingan walaupun sebenarnya mempunyai nilai psikologi dan falsafah yang besar. Dalam epik Mahabharata, penyamaran itu berlaku ketika Pandava menjalani tahun terakhir pembuangan di istana Raja Virata.

Pengarang menjadikan episod yang kurang diberikan perhatian ini sebagai pintu masuk kepada seluruh cerpen. Sejak halaman awal lagi, pembaca diperkenalkan kepada watak Vrihanala sebagai guru muzik dan tarian yang disegani di istana Raja Virata, sementara identiti sebenar tokoh itu hanya muncul secara beransur-ansur melalui cerita-cerita yang disampaikannya kepada putera-puteri di istana.

Pendekatan ini selari dengan pandangan Joseph Campbell dalam The Hero with a Thousand Faces (1949) bahawa wira dalam mitologi bukan sekadar tokoh peperangan, tetapi juga individu yang melalui proses transformasi identiti sebelum mencapai kematangan.

Dalam konteks ini, pengalaman Arjuna sebagai Vrihanala menjadi sebahagian daripada perjalanan kepahlawanannya. Cerpen “Laksamana Arjuna” mengingatkan pembaca bahawa kekuatan seseorang wira bukan hanya terletak pada kemampuan mengangkat senjata tetapi juga pada keupayaan mengharungi situasi kehilangan identiti, penghinaan, penyamaran, dan penderitaan.

Lebih menarik apabila pengarang tidak berhenti sekadar pada usaha memperkenalkan semula episod Vrihanala. Sebaliknya, pengarang cerpen ini menghasilkan suatu naratif berlapis yang mencampurkan fakta epik dengan imaginasi kreatif.

Kita dapat perhatikan bagaimana watak Vrihanala mula mencipta pula cerita tentang watak Laksamana Arjuna yang belayar ke sebuah kerajaan maritim, menerima gelaran baharu, serta menjalani pengalaman yang pasti mengingatkan pembaca kepada kisah-kisah dalam Hikayat Hang Tuah. 

Pembaca sedar bahawa cerita tersebut tidak pernah wujud dalam epik Mahabharata. Namun, pengarang sengaja membiarkan sempadan antara sejarah, legenda, dan rekaan menjadi kabur serta terbuka keapada interpretasi.

Di sinilah terletaknya satu lagi kekuatan cerpen “Laksamana Arjuna”. Ia menggalakkan pembaca mengamalkan pembacaan berciri intertekstual. Menurut Julia Kristeva dalam esei bertajuk “Word, Dialogue and Novel” (1966), setiap teks sebenarnya merupakan pertemuan pelbagai teks lain yang saling bertindih dan saling mempengaruhi.

Fiksyen “Laksamana Arjuna” membuktikan teori itu melalui penggabungan kisah-kisah daripada Mahabharata, Ramayana, Hikayat Hang Tuah, dan Sejarah Melayu dalam satu ruang penceritaan yang sama. Cerpen ini tidak menyatakan secara tuntas bahawa watak Hang Tuah berasal daripada watak Arjuna atau bahawa lima bersaudara Pandava menjadi model kepada penciptaan watak Hang Tuah dan empat sahabatnya.

Sebaliknya, pengarang hanya menyisipkan petunjuk-petunjuk halus yang membolehkan pembaca sendiri membina hipotesis. Teknik ini jauh lebih berkesan daripada penjelasan secara langsung kerana memberi ruang dan peluang kepada pembaca membuat kesimpulan sendiri.

Pembaca yang mengenali kisah Mahabharata akan segera menyedari persamaan bilangan lima bersaudara, konsep kesetiaan kepada raja, kehebatan persenjataan, dan perjalanan ke tanah asing. Pembaca yang mengenali Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu pula akan mengesan unsur laksamana, pelayaran, Majapahit, keris, serta hubungan diplomatik antara kerajaan maritim.

Cerpen “Laksamana Arjuna” tidak memberikan sebarang jawapan mutlak, sebalikya menyediakan ruang spekulasi intelektual. Pendekatan sedemikian mengingatkan pembaca kepada teori Umberto Eco dalam The Open Work (1962).

Umberto Eco menjelaskan bahawa karya sastera yang baik bukanlah karya yang memberikan semua jawapan, sebaliknya karya yang membuka pelbagai kemungkinan tafsiran. Cerpen “Laksamana Arjuna” merupakan contoh jelas konsep “karya terbuka” di mana pengarang sengaja meninggalkan banyak persoalan tanpa penyelesaian.

Adakah Vrihanala benar-benar mengingati kehidupan silamnya sebagai Arjuna? Adakah semua cerita yang disampaikannya sekadar rekaan? Atau mungkinkah legenda Hang Tuah sebenarnya menyerap unsur-unsur daripada tradisi Mahabharata dan Ramayana? Semua persoalan itu dibiarkan tergantung sehingga penghujung cerita.

Cerpen ini juga berjaya memperlihatkan bagaimana mitos sentiasa mengalami proses penyesuaian budaya. A. K. Ramanujan dalam esei “Three Hundred Ramayanas” (1991) menunjukkan bahawa sesuatu epik tidak pernah mempunyai satu versi tunggal. Setiap masyarakat akan menghasilkan tafsiran baharu mengikut latar budaya masing-masing.

Walaupun A. K. Ramanujan membincangkan epik Ramayana, prinsip yang sama boleh diaplikasikan kepada Mahabharata. Cerpen “Laksamana Arjuna” pula boleh dianggap sebagai sebuah “versi Malaysia” yang bersifat imaginatif, bukan kerana mahu menggantikan teks asal, tetapi kerana ingin menunjukkan bagaimana sesuatu mitos sentiasa hidup melalui proses penceritaan semula.

Selain aspek intertekstual, cerpen ini turut mengangkat persoalan identiti gender dengan sangat halus. Watak Vrihanala digambarkan sebagai lelaki berpakaian wanita, mengajar tarian, mengenakan pakaian berwarna-warni, malah menikmati keindahan pakaian tersebut tanpa rasa malu. 

Gambaran ini bukan bertujuan mencetuskan sensasi, sebaliknya mengingatkan pembaca bahawa konsep kepahlawanan dalam epik India jauh lebih kompleks daripada stereotaip maskuliniti moden. Watak Arjuna tetap seorang pahlawan walaupun pernah hidup sebagai transgender bernama Vrihanala. Malah, pengalaman itu menjadikannya lebih memahami penderitaan manusia.

Kehalusan pengarang semakin terserlah apabila kisah Draupadi dan “Pooja” dipersembahkan secara selari. Kedua-dua wanita akhirnya menjadi mangsa keputusan lelaki. Putera-puteri istana mula mempersoalkan sama ada wanita hanyalah barang dagangan yang boleh dipindahkan sesuka hati oleh golongan lelaki. 

Pertanyaan itu tidak dijawab secara tuntas oleh Vrihanala. Kesunyiannya menjadi jawapan yang lebih kuat daripada sebarang hujah panjang. Pengarang berjaya membawa isu patriarki ke dalam cerpen tanpa menjadikannya sebuah karya propaganda.

Aspek metafiksyen turut memperkukuhkan keunikan karya ini. Vrihanala sendiri mengakui bahawa dia tidak lagi mampu membezakan antara realiti dan khayalan.

Pengakuan itu sebenarnya mencerminkan pengalaman pembaca. Semakin lama membaca, semakin sukar bagi pembaca membezakan babak atau watak mana yang berasal daripada epik Mahabharata, mana yang dipinjam daripada Hikayat Hang Tuah, dan mana pula yang benar-benar lahir daripada imaginasi si pengarang. Kekeliruan itu bukan kelemahan naratif, sebaliknya strategi estetik yang bertujuan mengajak pembaca mempersoalkan konsep “kebenaran” dalam sastera.

Pengakhiran cerpen juga sangat signifikan. Watak Vrihanala terus menari sambil mengulang janji cinta kepada Pooja, sedangkan pembaca mengetahui bahawa sebahagian besar kisah tersebut mungkin hanya lahir daripada imaginasinya.

Penamat sebegini meninggalkan kesan emosi yang mendalam kerana ia tidak bergantung pada kejutan plot, sebaliknya pada kesedaran bahawa manusia sentiasa membina identiti melalui cerita yang diceritakan kepada diri sendiri dan kepada orang lain.

Secara keseluruhan, cerpen “Laksamana Arjuna” merupakan sebuah fiksyen yang luar biasa kerana berjaya melakukan beberapa perkara secara serentak. Pertama, karya ini memperkenalkan pembaca kepada satu episod daripada epik Mahabharata yang kurang diberi perhatian iaitu kehidupan Arjuna sebagai Vrihanala.

Kedua, karya ini membina hubungan intertekstual yang halus antara epik India dengan tradisi kesusasteraan Melayu tanpa membuat dakwaan sejarah secara langsung. Ketiga, karya ini menggalakkan pembaca mengamalkan pembacaan kritikal dengan menilai sendiri kemungkinan-kemungkinan di luar teks.

Keempat, cerpen ini membuktikan bahawa karya sastera yang benar-benar bermutu bukanlah karya yang memberikan jawapan, sebaliknya karya yang terus melahirkan pertanyaan baharu setiap kali diulang baca. Dalam hal ini, pengarang bukan sekadar menghidupkan kembali kisah daripada epik Mahabharata, malah mengajak pembaca menyedari hakikat setiap mitos sentiasa terbuka kepada tafsiran, imaginasi, dan penciptaan semula merentas budaya dan zaman.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!