7 Feb 2012

Laksamana Arjuna

Vrihanala tekun mengajar muzik dan tarian di istana Raja Virata. Walaupun usianya sudah lanjut, lelaki yang mengaku sudah dikasi itu masih bertenaga untuk membimbing putera-puteri dan anak-anak bangsawan di istana.

“Si eunuk ini masih jelita memakai pakaian penuh warna,” bisik seorang putera remaja yang sentiasa memperhatikannya.

“Jadi, bayangkan sahaja betapa jelita Vrihanala pada usia muda!” Sahut seorang puteri. “Pasti ramai putera dan raja yang tergoda.”

Mereka masih ingat pelbagai kisah yang diceritakan oleh Vrihanala kepada putera dan puteri di istana sejak kecil.

Sering kali sida-sida itu menceritakan pengalaman mengiringi seorang raja ke sebuah negara nun jauh di sana.

Pada waktu itu, Vrihanala pergi berpakaian seperti lelaki. Hulubalang di istana negara asing itu sepatutnya melakukan serang hendap dan menikamnya dari belakang.

“Begitu asyik saya menari mengikut alunan muzik di istana. Para hulubalang dan pegawai istana terus leka melihat lenggok tari saya sehingga mereka terlupa untuk menikam!”

Kisah mengenai apa yang berlaku di sebuah tanah asing bernama Majapahit sentiasa membuatkan putera-puteri dan sesiapa sahaja yang mendengar ketawa gembira.

Setiap kali anak-anak di istana meminta Vrihanala menceritakan asal-usul dirinya, lelaki/wanita itu akan memilih untuk bercerita tentang Arjuna daripada epik Mahabharata.

“Kisah Laksamana Arjuna lebih menarik berbanding kisah diri saya. Saya hanyalah seorang lelaki tua yang sudah dikendiri akibat sumpahan Urvasi.”

Kata-kata yang sebenarnya berisi kesedihan dan penderitaan itu sering disambut tawa putera-puteri yang masih kanak-kanak.

Vrihanala akan bercerita mengenai Raja Pandu yang mengahwini Pritha dan Madri.

“Malangnya Raja Pandu menanggung sumpahan di mana dia tidak boleh menjadi bapa,” Vrihanala sering bercerita apabila ada masa terluang antara sesi kelas tarian dan muzik.

“Seperti Vrihanala juga?”

“Ya, ya. Nampaknya seperti saya juga.” Vrihanala akan ketawa sebelum menyambung cerita. “Tapi mujurlah Pritha ada mantera yang dipelajari daripada seorang maharishyi bernama Durvasas.”

Akan diceritakannya bagaimana Pritha menggunakan mantera itu untuk mengandung dan melahirkan tiga putera iaitu Yudhishthira, Bhima dan Arjuna.

Madri turut diberi peluang menggunakan mantera sama; lalu melahirkan pasangan kembar, Nakula dan Sahadeva.

“Oh! Bukankah ini kisah Pandava? Mengapa pula Arjuna dipanggil Laksamana Arjuna?” Tanya seorang putera yang sudah remaja.

Apabila ditanya soalan-soalan seumpama itu, Vrihanala biasanya termenung seketika. Bagaikan mencari apa-apa cerita rekaan yang boleh disampaikan sebagai jawapan yang mampu diterima akal.

“Oh, benar. Tapi gelaran laksamana itu diberi apabila Arjuna dan empat saudaranya dibawa menaiki kapal laut menuju ke tanah asing untuk berkhidmat di sana sebagai hulubalang.”

Putera-puteri dan hulubalang yang berada di kawasan sekitar dewan tarian akan menumpukan perhatian. Mereka teruja mendengar kisah-kisah yang belum pernah mereka ketahui sebelum ini.

“Tapi bukankah watak Laksamana muncul dalam Ramayana dan bukannya Mahabharata? Hanya Hanuman yang muncul dalam kedua-dua epik itu,” seorang puteri mencelah.

“Memang benar, sayang,” Vrihanala menjawab dengan penuh kasih. “Apabila kelima-lima saudara itu dibawa ke negara asing sebagai utusan diraja untuk menjadi hulubalang demi mempertahankan negara itu daripada serangan musuh, mereka diberi nama dan gelaran baru.”

Ternyata kisah-kisah yang dipintal Vrihanala sentiasa menarik minat pendengar pelbagai usia. Rata-rata hulubalang istana Raja Virata di Bairat meragui kesahihan fakta dalam cerita-cerita yang disampaikan eunuk itu. - bersambung ...

(Uthaya Sankar SB mendapat idea bagi faksyen ini selepas tertarik dengan watak Vrihanala yang kurang dikenali dalam epik Mahabharata. Katanya, cerpen ini “merupakan hak penulis untuk berkreatif” dan “hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif – tidak lebih tidak kurang daripada itu”. Cerpen ini ditulis pada 18 Januari 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 21 Januari 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Baca juga: Hang Tuah Hanya Mitos? - Sila KLIK DI SINI untuk melihat senarai cerpen.)