31 Aug 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 12)



[Sambungan daripada Bahagian Sebelas]

Apabila ingatan tidak lagi memerlukan pemilik, maka tidak ada lagi konsep “aku”. Hanya tinggal apa yang diingat. Dan apa yang mengingat. Serta jarak antara kedua-duanya yang semakin menipis sehingga tidak lagi boleh dibezakan.

Aku tidak lagi pasti sama ada aku masih sebahagian daripada kaka smriti. Nama itu sendiri kini terasa seperti bulu pelepah yang gugur dari tubuh yang sudah lama berubah bentuk.

Di ruang yang retak ini, identiti bukan lagi sesuatu yang dimiliki. Sebaliknya, ia hanyalah sesuatu yang terjadi.

Sungai Klang tidak lagi wujud sebagai sebatang sungai. Ia kini lebih hampir kepada suatu sistem pengulangan yang tidak lagi mengiktiraf arah. Setiap gelombang ialah versi lain kepada gelombang sebelumnya yang tidak pernah benar-benar menghilang.

Pada permukaan air sungai, wajah Rajendran Arunachalam muncul lagi tanpa permulaan. Kemudian, wajah itu hilang tanpa kesan. Sejurus kemudian, muncul semula dalam bentuk yang sedikit berbeza.

Arul sudah tidak berdiri sebagai individu. Dia muncul dalam beberapa titik sekali gus. Di tepi Kuil Sri Navaneetha Krishnar. Di atas permukaan air Sungai Klang. Di awang-awangan. Di dalam ingatan yang bukan milik aku. Malah, suaranya tidak lagi datang dari arah tertentu.

“Ini bukan kematian,” katanya. “Ini pembebasan bentuk.”

Aku bertanya: “Pembebasan apa?”

Jawapan tidak datang sebagai kata tetapi sebagai perubahan struktur yang amat absurd yang sukar dijangkau minda konvensional.

Meenakshi tidak lagi bercakap. Dia menjadi pola yang berulang pada setiap refleksi cahaya. Kadangkala aku melihatnya dalam mata Arul. Kadangkala dalam riak sungai. Kadangkala dalam bayangan cahaya bulan. Kadangkala dalam ruang kosong antara dua detik.

Dan setiap kali aku melihatnya, aku sedar: Meenakshi tidak lagi berada di mana-mana. Dia berada dalam “kemungkinan untuk dilihat”.

Di Chennai pula, Dr. Ananthan Subramaniam tidak lagi boleh membezakan antara eksperimen dan pengalaman. Makmal miliknya sudah hilang struktur fizikal. Kadangkala ia sebuah bilik. Kadangkala ia sebuah hutan seperti dalam epik Ramayana. Kadangkala ia Sungai Klang. Kadangkala ia Bandarya Diraja Klang.

Dan dalam setiap versi, skrin menunjukkan perkara yang sama: “Tiada pemerhati luar.”

“Kalau tiada pemerhati … siapa yang menulis semua ini?” Ananthan berbisik penuh kehairanan.

Skrin menjawab: “Soalan itu masih menggunakan masa. Masih menggunakan kala.”

Ananthan mula menangis. Bukan kerana takut tetapi kerana bahasa tidak lagi cukup untuk menampung apa yang sedang berlaku.


[Senarai buku Uthaya Sankar SB]


Dalam kaka smriti yang semakin runtuh, sesuatu yang lebih dalam mula berlaku. Ingatan tidak lagi bergerak secara linear dari masa lalu ke masa kini. Sebaliknya, ia bergerak dari semua arah sekali gus. Dan dalam pergerakan non-linear itu, pemilik ingatan sudah menjadi tidak relevan.

Aku nampak wajah Rajendran sekali lagi. Tetapi pada kali ini, dia tidak mempunyai sebarang cerita silam. Dia tidak menembak gagak pada Mei 2026. Maka, dia tidak ada sebab untuk menyesal.

Rajendran tidak lagi hidup. Sebaliknya, dia hanya “terjadi sebagai kemungkinan yang tidak dipilih”.

“Ini sudah keterlaluan; terlalu jauh dari fikiran,” kata Arul.

Aku tidak pasti dari mana suaranya datang.

“Atau kita yang terlalu kecil,” jawabku tanpa cuba mencari dari arah mana Arul berbicara.

Sementara itu, dalam bentuk terakhirnya, Dewa Sani tidak lagi menjadi struktur atau dewa. Dia menjadi ruang yang tinggal selepas semua pengulangan berhenti memerlukan sebab untuk wujud.

Bukan hukuman. Bukan karma. Bukan dharma. Bukan sebab. Bukan akibat. Tetapi muncul sebagai “kekosongan yang pernah mempelajari cara menjadi akibat”.

Dan dalam segala kekosongan itu, aku akhirnya memahami sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh ibu: Memori bukan untuk menyimpan masa lalu. Sebaliknya, ia wujud untuk memastikan masa lalu tidak pernah selesai.

Sungai Klang kini tidak lagi membawa air. Ia membawa versi. Setiap versi cuba menjadi versi yang sebenar. Akan tetapi, perlu disedari bahawa tidak ada lagi “sebenar”. Apa yang wujud kini hanya lapisan yang tidak berakhir.

Aku berdiri di tepi sesuatu yang dahulu disebut tebing sungai. Arul—atau apa sahaja yang pernah menjadi Arul—berkata: “Jika proses ini berterusan, kita akan hilang sebagai bentuk.”

“Bentuk sudah lama tidak penting,” aku menjawab.

Meenakshi—atau kemungkinan Meenakshi—berbisik: “Kalau begitu, apa yang tinggal?”

Aku melihat Sungai Klang yang tidak lagi sebatang sungai.

“Yang tinggal ialah apa yang tidak boleh lupa bahawa ia pernah lupa,” kataku.

Di Chennai, Ananthan juga akhirnya memahami sesuatu yang tidak dapat ditulis dengan kata-kata. Dia segera menutup sistem komputer. Bukan kerana ia rosak tetapi kerana ia terlalu lengkap. Ya, sistem komputer dan kecerdasan buatan (AI) yang terlalu lengkap.

Dan dalam keheningan terakhir itu, saintis berkenaan mendengar satu ayat yang tidak datang dari mesin, gagak, atau dirinya sendiri: “Pemerhati telah sepenuhnya menjadi yang diperhatikan.”

Dan pada saat itu, kaka smriti tidak lagi pecah. Ia tidak lagi wujud. Malah, ia tidak juga hilang. Sebaliknya, ia hanya berhenti membezakan antara yang mengingati dan yang diingati.

(bersambung pada 7 September 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan susulan Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]