[Pautan borang di hujung] Hakikat yang amat nyata adalah bahawa sejak dahulu, jumlah penulis kaum India yang terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia — kreatif dan non-kreatif — amat sedikit. Buku Kavya Sastra (2021) mendokumentasi hal ini secara mendalam.
Susulan soal selidik pada Mei 2021, saya mewawancara beberapa individu kaum India (sukarelawan) untuk mengetahui punca, sebab, dan alasan kaum India kurang berminat dan kurang terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia. Hasil dapatan dimasukkan dalam esei “Tiada Ruang Untuk Penulis Kaum India?” dan “Penulis Kaum India dan Sokongan Masyarakat”.
Realiti penyiaran karya atau tulisan kaum India di majalah Dewan Siswa sejak Januari 1979 boleh dibaca dalam esei “Reaksi Remaja Terhadap Dewan Siswa” dan “Sasterawan Kavyan dan Dewan Siswa”.
Situasi sebenar sudah disedari. Masalah sudah diketahui. Kini, saya mahu menumpukan kepada usaha dan langkah yang perlu diambil bagi menggalakkan serta menarik minat kaum India menulis karya Bahasa Malaysia.
Sejak tahun 1994, saya mengendalikan bengkel dan ceramah penulisan. Usaha diteruskan di seluruh negara apabila Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan pada 22 Ogos 1999. Akan tetapi, ini hanyalah usaha kecil-kecilan yang mampu dilakukan oleh Kavyan dengan segala kerterbatasan wang, sokongan, dan ruang.
Apakah cara lain untuk menggalakkan kaum India — kanak-kanak, remaja, belia, dewasa — terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia? Karya yang dihasilkan tidak semestinya karya sastera seperti novel, sajak, dan cerpen. Tidak juga semestinya buku kajian ilmiah yang tebal. Sebaliknya, apa sahaja hasil tulisan Bahasa Malaysia yang sesuai dan layak disiarkan di akhbar, majalah, atau portal dalam talian (online portal).
Penulisan yang dimaksudkan dan diharapkan pula adalah secara konsisten; bukan hanya satu tulisan dalam masa sepuluh tahun.
Saya percaya anda — tanpa mengira kaum, agama, latar pendidikan, pekerjaan, dan apa sahaja — ada cadangan, usul, dan saranan ke arah menggalakkan lebih ramai kaum India menulis karya Bahasa Malaysia.
Kita tidak perlu lagi bercakap tentang masalah, halangan, kongkongan, kekangan, faktor penolak, dan seumpamanya. Sebaliknya, kemukakan cadangan positif dan praktikal (mampu dibuat) bagi menarik minat serta menggalakkan lebih ramai kaum India terlibat dalam penulisan karya Bahasa Malaysia.
Cadangan dan saranan yang praktikal, menarik, dan bermanfaat akan dimasukkan dalam esei di portal Sastera Kavyan. Mungkin juga digunakan dalam penulisan lain; mengikut kesesuaian.