Sebuah beg berisi pakaian dan barangan keperluan
asas, sepasang kasut bermutu, sebuah kamera DSLR serta semangat untuk
mengembara, bertemu masyarakat pelbagai budaya sambil
membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka.
Semua itu sudah mencukupi untuk membawa David Atthowe mengembara dari negara ke
negara, dan dari benua ke benua.
Pemuda berumur 25 tahun ini mengasaskan Nomadic Lion
pada Januari 2014 bagi merealisasikan impian mengembara, bertemu masyarakat
setempat, mengenali budaya tradisional serta memberikan sumbangan bermakna
kepada setiap kelompok masyarakat yang ditemuinya.
Saya pula berpeluang bertemu pemuda
kelahiran Norwich, England ini di Brickfields, Kuala Lumpur pada 31 Januari
2015, lalu meluangkan masa hampir sejam mendengar kisah dan pengalamannya yang
amat mengagumkan dan mengasyikkan.
Tentulah bukan sesuatu yang mudah untuk
berjalan sejauh 2,250 kilometer dalam masa 137 hari dari Tawau, Sabah ke Kuching, Sarawak. Akan
tetapi, itulah yang berjaya dilakukan oleh David dari 22 Ogos 2014 hingga 4
Januari 2015.
“Saya mula berjalan kaki dari Tawau, lalu
menuju ke Semporna, Sandakan, mendaki dan menuruni Gunung
Kinabalu, langsung ke Kota Kinabalu, Beaufort, Lawas, Temburong (Brunei) dan
Limbang.
“Kemudian meneruskan perjalanan ke Bandar
Seri Begawan, Brunei. Dari sana berjalan menuju ke Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Kuching,” kata
pemuda ini dengan penuh bersemangat dan tersenyum puas.
David selaku pengasas Nomadic Lion berhak
untuk berasa bangga kerana beliau berjaya melakukan keseluruhan pengembaraan
itu dengan hanya berjalan; tanpa melibatkan kereta, lori, basikal atau
motosikal.
Ada dua lagi pemuda dari Bandung, Indonesia
yang menyertainya pada bahagian tertentu pengembaraan sejauh 2,250 kilometer
itu. Yusep Sukmana, 25 tahun, pelajar bidang pelancongan manakala Gilang
Yaksapurusa berumur 24 tahun.
David berpeluang bertemu mereka semasa
sama-sama mendaki gunung di Jawa Barat. Memandangkan ketiga-tiga mereka
mempunyai minat yang sama, maka hubungan mereka menjadi erat seperti
adik-beradik.
Projek pertama dari Tanjung Piai ke Kaki Bukit
“Projek pertama kami adalah di Semenanjung
Malaysia. Kami berjalan sejauh 1,110 kilometer dari Tanjung Piai, Johor ke Kaki
Bukit, Perlis. Perjalanan selama 58 hari itu bermula pada 10 Januari 2014,”
kata David yang sudah ada pengalaman mengembara ke pelbagai lokasi di seluruh
dunia sejak berumur 18 tahun.
Beliau mengakui bahawa kepelbagaian budaya
tradisional yang masih kaya, terpelihara dan asli lebih banyak terdapat di
Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia.
Katanya, penduduk di Borneo ternyata lebih
gembira, bahagia dan mesra serta bersikap lebih terbuka untuk menerima
kedatangan orang luar. Hal ini sedikit berbeza dengan penduduk di Semenanjung
Malaysia yang nampaknya semakin cair dalam mempertahankan nilai-nilai budaya
tradisional.
Memandangkan David mengembara ke pelbagai
negara sejak hampir lapan tahun lalu, beliau yang lahir di Norwich, England menggelarkan
dirinya seorang nomad, iaitu musafir yang tidak mempunyai tempat tinggal yang
tetap.
Pengembaraan berjalan sejauh lebih 3,350
kilometer meliputi Malaysia dan Brunei ini mendapat tajaan daripada Transglobe
Expedition Trust di United Kingdom, serta pelbagai pihak termasuk agensi
kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan. Selebihnya wang sendiri.
Ternyata apa yang dilakukan oleh David,
Yusep dan Gilang bukan setakat hobi atau aktiviti masa lapang. Sebaliknya
adalah passion khususnya bagi David
yang melakukannya secara sepenuh masa tanpa mengharapkan sebarang bentuk
keuntungan material.
“I
want to inspire and empower people,” katanya tanpa teragak-agak apabila
ditanya.
Tentulah jawapan “mahu mencetuskan
inspirasi dan memperkasakan orang” sesuatu yang klise dan sering didengar. Akan
tetapi, daripada cara David menyatakannya, amat jelas bahawa kata-katanya itu
bukan sekadar retorik. Sebaliknya beliau benar-benar berniat melakukannya.
Sepanjang pengembaraan berjalan dari Sabah
ke Sarawak, dan dari Johor ke Perlis, Nomadic Lion berinteraksi dengan penduduk
setempat untuk mengenali budaya tradisional serta membina kesedaran dalam
kalangan masyarakat tentang pemikiran positif.
Aktiviti yang dijalankan termasuk berkaitan
pemuliharaan alam sekitar dan nilai-nilai kemanusiaan; bergantung pada
keperluan dan keadaan di setiap tempat yang disinggah dalam perjalanan.
Seterusnya menjelajah seluruh Asia
David akan memberikan inspirasi serta
terlibat secara langsung dalam usaha-usaha melakukan kerja-kerja kebajikan di
setiap tempat yang dikunjungi. Misalnya, mengajar kanak-kanak dan remaja
tentang pentingnya memelihara alam sekitar dan kepentingan pendidikan.
Pemuda berumur 25 tahun ini yakin bahawa
sedikit masa yang diluangkannya bersama-sama masyarakat tempatan masih mampu
memberikan kesan baik serta membawa perubahan positif dalam kalangan penduduk
berkenaan.
Perbualan kami selama hampir sejam di
Brickfields berlangsung dalam Bahasa Inggeris tetapi David sebenarnya mempunyai
penguasaan Bahasa Indonesia. Maka, mudahlah untuk beliau berinteraksi dengan
penduduk tempatan yang rata-rata tahu Bahasa Malaysia.
David mengaku bahawa senyuman merupakan
bahasa universal yang amat berkesan untuk mewujudkan persefahaman, persahabatan
dan mengeratkan silatulrahim tanpa mengira asal-usul, kaum, etnik dan agama.
Sepanjang pengembaraan berjalan (kaki),
rakaman foto dan video dibuat menggunakan kamera DSLR. Catatan pengalaman
harian dan foto-foto yang menakjubkan dikongsikan dengan warga dunia menerusi
laman “Nomadic Lion”
di Facebook.
Pengembaraan di Sabah, Sarawak dan Brunei
mendapat liputan meluas di akhbar pelbagai bahasa di sana. Bagaimanapun,
perjalanan di Semenanjung Malaysia pula hanya berjaya menarik perhatian
beberapa media.
“Itu tidak menjadi masalah kerana apa yang
lebih penting adalah kesan positif yang mampu dibawa dalam kehidupan setiap
individu yang sempat kami (Nomadic Lion) berinteraksi sepanjang perjalanan
kami. Media sosial dan media alternatif sangat membantu,” kata David dengan
nada positif sambil terus tersenyum ikhlas.
Mereka bertiga sedang sibuk melakukan
suntingan rakaman video pengembaraan bagi menghasilkan sebuah dokumentari.
Bahan dokumentasi pengembaraan itu akan disebarkan secara percuma menerusi YouTube dan media sosial apabila siap
nanti.
Seterusnya, Nomadic Lion mahu menjayakan
projek “Walk In Asia” meliputi 19 negara dalam masa lima tahun. Kerja-kerja
perancangan sedang dilakukan dan projek ini dijadualkan bermula pada awal tahun
2016. Ikuti perkembangan mereka di www.facebook.com/nomadiclion dari
semasa ke semasa.
[Makalah ini ditulis berdasarkan wawancara pada 31 Januari 2015 dan
disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 2 Februari 2015.
© Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]