30 Apr 2014

Amalan Bina Kuil di Halaman Rumah

Suatu perkara yang yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan orang Hindu adalah amalan membina kuil kecil di halaman rumah. Saya bukan bercakap mengenai kuil kecil atau bilik sembahyang di dalam rumah.
 
Sebaliknya bangunan kecil (kuil kecil) yang dibina di halaman rumah. Bukan juga hanya di kawasan kampung dan estet – di mana mungkin ada tanah lapang yang luas di sekeliling rumah.
 
Amalan membina kuil kecil di halaman rumah juga ternyata berlaku di kawasan bandar. Perkara ini dapat diperhatikan di banyak kawasan berpenduduk orang Hindu.
 
Lebih “menarik” apabila kuil kecil di halaman rumah itu bukan hanya sebagai tempat bersembahyang bagi keluarga berkenaan. Sebaliknya turut dibuka kepada umum (orang ramai). Tidak setakat itu, upacara keagamaan bulanan atau tahunan turut diadakan secara besar-besaran.
 
Seolah-olah kuil kecil itu adalah kuil umum yang dibina dengan permit dan kebenaran pihak berkuasa tempatan. Semasa upacara keagamaan, khemah dipasang di luar kawasan rumah sehingga kadang kala menghalang lalu-lintas.
 
Belum lagi masuk bab lagu-lagu keagamaan yang dipasang menggunakan pembesar suara atau paluan alat muzik tradisional tanpa menghiraukan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang tinggal di kawasan berdekatan.
 
Ada pula kuil kecil seperti ini yang “menawarkan” khidmat menurun dan menghalau hantu. Pengunjung pula “menghadiahkan” minuman beralkohol untuk dewa tertentu.
 
Mungkin anda juga pernah atau masih berdepan dengan situasi seperti ini di tempat tinggal anda. Selama ini, anda mungkin memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu “mencari” masalah.
 
Saya sedang berusaha mengumpulkan maklumat dan bahan berhubung topik ini untuk menulis makalah. Bagi menjayakannya, saya amat memerlukan sumbangan bahan, maklumat dan “aduan” daripada orang ramai.
 
Makalah itu nanti bukanlah bertujuan meminta pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap mana-mana kuil kecil (di halaman rumah) secara spesifik. Sebaliknya untuk berusaha menimbulkan kesedaran dalam kalangan penganut Hindu.
 
Sekiranya anda ada sebarang maklumat atau pengalaman untuk dikongsikan, sila kirim melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau menerusi mesej peribadi di Facebook [klik di sini].
 
Anda boleh mengemukakan komen, keluhan, pandangan, bantahan, kritikan, nasihat dan sebagainya berhubung topik “kuil kecil di halaman rumah” ini tanpa mengira kaum, keturunan, etnik, agama dan tempat tinggal.
 
Saya memberi jaminan bahawa maklumat peribadi anda (nama, alamat dan sebagainya) tidak akan didedahkan sama ada dalam makalah atau kepada sesiapa. Mungkin nama samaran (bukan nama sebenar) akan digunakan dalam makalah itu nanti.
 
(Anda boleh membaca “Kisah Datuk Guluji” dan “Kisah Datin Jaliji” sebagai contoh bagaimana identiti pemberi maklumat dirahsiakan.)
 
Jika anda sudi, berminat dan berani bersuara, harap sudi menghubungi saya selewat-lewatnya pada 7 Mei 2014, jam 4:00 petang [Waktu Kavyan]. Mesej yang dikirim boleh dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Tamil atau Bahasa Inggeris.
 
Sampai bila anda mahu berdiam diri dan hanya merungut dalam hati apabila berdepan dengan masalah-masalah seperti ini? Tepuk dada, tanyalah selera.