6 Sept 2012

Penulis Malaysia – 6

Walaupun saya mengenali Roslan Jomel sejak Ogos 1991, pengarang dari Kuching, Sarawak ini masih menjadi seorang individu penuh misteri. Misalnya, banyak perkara mengenai dirinya yang tidak diketahui orang, termasuk rakan-rakan. Maka, cara mudah yang saya sendiri gunakan untuk “mencungkil” rahsia mengenai Roslan adalah dengan membaca karya-karyanya; khususnya kumpulan cerpen Namaku Epal Kuning dan Selamat Datang ke Malaywood. Cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh pengarang ini hebat dan pasti membuatkan pembaca berfikir secara mendalam mengenai kisah-kisah yang berciri di luar lingkungan (out of the box). Satu lagi keistimewaan yang sangat saya kagumi adalah bahawa Roslan sentiasa merendah diri; resmi padi – makin tunduk, makin berisi. Idea-idea yang disajikan menerusi karya-karya beliau sebenarnya berciri radikal tetapi disampaikan secara amat halus dan bersahaja – serta lucu – sehingga idea yang disalurkan itu meresap masuk ke dalam minda tanpa disedari pembaca. Beliau antara pengarang yang wajar diperhatikan oleh peminat sastera tanah air. Selamat Menyambut Hari Malaysia!