Saya sebatang pensel. Saya tidak tahu di
mana saya dilahirkan atau siapakah individu yang melahirkan saya. Maka,
tentulah saya tidak sesuai dijadikan watak utama dalam penulisan karangan
berbentuk autobiografi di sekolah rendah.
Tapi bukankah saya sebatang pensel? Saya
bukan sekadar suatu objek untuk diperkatakan secara konvensional dan
membosankan mengikut skema pemarkahan yang sedikit pun tidak mengembangkan daya
imaginasi, kreativiti, pemikiran kritikal dan keupayaan sebenar otak kiri dan
otak kanan golongan kanak-kanak.
Jadi, saya memutuskan untuk tampil sendiri
di pentas pada hari ini untuk menceritakan siapa sebenarnya saya.
Saya sebatang pensel. Saya tidak tahu di
mana saya dilahirkan atau siapakah individu yang melahirkan saya. Kali pertama
saya diperkenalkan kepada dunia adalah di sebuah bilik darjah di sebuah
sekolah.
Bukan! Bukan! Bukan sebagai alat tulis
untuk kegunaan murid atau pelajar.
Sebaliknya, saya sangat istimewa kerana
saya antara pensel yang dibeli oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk
kegunaan semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tanggal 8
Mac 2008. Tarikh yang mengubah sejarah dan masa depan negara ini.
Ya! Saya berada di sana semasa seorang demi
seorang masuk ke bilik darjah yang dijadikan pusat mengundi untuk melaksanakan
tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang berhak menentukan siapa yang
memegang tampuk pemerintahan.
Pangkah. Pangkah. Pangkah. Bukankah itu
yang lazim dilakukan? Tapi jangan lupa. Kemampuan saya bukan hanya memangkah.
Malah, mengundi sebenarnya bukan hanya dengan cara memangkah. [BACA DI SINI]
Namun, apakan daya. Ternyata rata-rata
pengundi yang menggunakan saya pada hari itu bagaikan sudah diprogram, diasuh
dan ditetapkan minda supaya hanya menggunakan tanda pangkah semasa menandakan
kertas undi.
Bagaimana dengan anda? Adakah anda juga
masih percaya bahawa satu-satunya cara untuk mengundi adalah dengan memangkah
pada kertas undi seperti yang sering dipropagandakan menerusi media arus
perdana? ... bersambung ...
(Uthaya Sankar SB menulis menggunakan pensel
sebelum mampu memiliki pen, mesin taip, komputer dan telefon bimbit. Beliau
masih aktif menulis. Teks ini ditulis
pada 7 Mac 2012 dan dipersembahkan semasa acara “Saya Sebatang Pensel” pada 18
Mac 2012 sempena Story Fest 2012 di
PJ Live Arts, Jaya One, Jalan Universiti, Petaling Jaya. © Uthaya Sankar SB 2012. Cereka ini disiarkan
di The Malaysian Insider pada 26 Mac 2012 dan dimuatkan dalam buku Kisah dari Siru Kambam.
Sila KLIK DI SINI untuk senarai cerpen.)