Diaspora India di Malaysia terdiri daripada keturunan Tamil (majoriti), Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali, Gujarati, dan beberapa minoriti lain.
Masing-masing
memiliki latar belakang, budaya, adat, identiti, dan jati diri berbeza sebagaimana
diterangkan dalam buku Mandala Bicara (2016), Suvarna Bhumi (2022) dan Dewi
Pertiwi (2024).
Salah
satu perayaan yang menyatukan pelbagai diaspora ini ialah sambutan pesta menuai
yang menandakan penghargaan terhadap hasil pertanian dan kesyukuran atas rezeki
yang diperoleh.
Antara
perayaan yang paling popular ialah Thai Ponggal, Makara Vilaku, Pedda Panduya,
Uttarayan, dan Lohri. Setiap perayaan ini mempunyai keunikan tersendiri serta
mencerminkan budaya dan tradisi yang kaya dalam komuniti masing-masing.
Salah
satu perayaan yang paling terkenal dalam kalangan komuniti Tamil di Malaysia ialah Thai
Ponggal
yang biasanya disambut pada 14 Januari setiap tahun.
Perayaan
ini menandakan musim menuai padi dan merupakan simbol kesyukuran kepada Tuhan
atas hasil bumi yang melimpah ruah.
Nama “ponggal”
sendiri bermaksud “mendidih” (boiling
over). Ia merujuk cara memasak nasi manis di dalam periuk tanah liat dengan
susu, gula merah, dan rempah, kemudian dibiar mendidih hingga melimpah sebagai
simbol kemakmuran dan keberkatan.
Pada
hari Thai Ponggal, rumah-rumah dihiasi dengan lukisan kolem dan bunga-bungaan serta pelbagai
makanan nabati tradisional disediakan.
Masyarakat
Tamil berkumpul bersama keluarga untuk menyambut Thai Ponggal. Biasanya dimulai
upacara sembahyang kepada dewa matahari dan dewi bumi, serta memberi
penghormatan kepada lembu yang membantu dalam aktiviti pertanian.
Sambutan
Makara
Vilaku pula salah satu perayaan utama bagi komuniti Malayali.
Ia menandakan hari pertama matahari memasuki tanda zodiak Capricorn (Makara) dan
dianggap sebagai masa terbaik untuk memulakan aktiviti pertanian.
Namun
begitu, sambutan komuniti Malayali khususnya di Kerala, India lebih tertumpu
kepada Dewa Ayyappan di Sabarimala. Makara Vilaku merupakan tradisi mengenang
masyarakat orang asli Malayaraya yang sejak turun-temurun memasang unggun di
puncak Bukit Ponnambalamedu.
Pedda Panduga pula perayaan menuai padi yang
penting bagi komuniti Telugu yang berasal dari Andhra Pradesh dan
Telangana. Perayaan ini biasanya disambut dengan penuh kegembiraan pada 14
Januari.
Pedda
Panduga atau Makara
Sankranti adalah masa untuk meraikan musim menuai dan memberi penghormatan
kepada Tuhan atas hasil pertanian yang melimpah. Maka, ada persamaan dengan sambutan
Thai Ponggal oleh komuniti Tamil.
Salah
satu tradisi utama dalam Pedda Panduga yang semakin dilupakan ialah membuat tilgul, sejenis gula-gula manis yang
dimakan sebagai simbol persahabatan dan kemakmuran.
Selain
itu, petani pada masa dahulu membuat pada
(perarakan) ke kuil untuk berdoa kepada Dewa Surya (matahari) dan berterima
kasih atas hasil pertanian yang melimpah.
Uttarayan pula perayaan penting dalam kalendar
komuniti Gujarati.
Ia menandakan peralihan matahari ke awal musim panas dan juga permulaan musim
menuai.
Perayaan
Uttarayan di Gujarat, India terkenal dengan pesta layang-layang yang merupakan
tradisi utama dalam kalangan orang Gujarati.
Berbagai
jenis layang-layang yang berwarna-warni diterbangkan di langit sebagai simbolik
mengusir roh jahat serta menyambut musim baharu yang penuh dengan harapan.
Selain
itu, makanan manis seperti undhiyu, chikki, dan jilebi disediakan untuk meraikan kegembiraan bersama keluarga dan
sahabat.
Lohri merupakan perayaan menuai yang popular
dalam kalangan komuniti Punjabi. Ia disambut pada 13 atau 14 Januari
setiap tahun dan menandakan berakhirnya musim sejuk serta permulaan musim
menuai.
Lohri adalah
perayaan yang berkaitan dengan unggun api dan merupakan simbol penghormatan
kepada Dewa Agni sejak zaman-berzaman.
Di Punjab,
India secara tradisi, penduduk beragama Sikh dan Hindu membakar kayu menjadi
unggun yang besar. Sekitar api ini, mereka menyanyi, menari, dan meraikan
kegembiraan.
Setiap
perayaan yang disebutkan di atas mempunyai tradisi dan makna yang mendalam serta
mencerminkan keunikan budaya masing-masing dalam komuniti India, termasuk
diaspora di Malaysia.
Namun
begitu, tentulah corak sambutan tradisional di tempat asal (India) berbeza
dengan apa yang diamalkan diaspora India di Malaysia sekarang.
Banyak
aspek yang sudah ditinggalkan dan hanya unsur teras dikekalkan dalam perayaan.
Tambahan pula, tidak ramai kaum India di Malaysia menjadi pemilik sawah padi
pada masa sekarang.
Pada
petang 11 Januari 2025, Pusat Kebudayaan India di bawah Suruhanjaya Tinggi
India menganjurkan acara Ullas iaitu
gabungan sambutan Makara Sankranti, Lohri, dan Thai Ponggal di Dewan Netaji
Subhas Chandra Bose, Brickfields, Kuala Lumpur.
Sambutan
meriah juga dapat disaksikan di kuil dan bangunan persatuan komuniti terbabit
di seluruh negara. Sepanduk ucapan daripada ahli politik juga pasti kelihatan
di mana-mana.
Secara
umum, Thai Ponggal, Makara Vilaku, Pedda Panduga, Uttarayan, dan Lohri adalah antara
perayaan tradisional berkaitan musim menuai yang menyatukan masyarakat melalui
tema kesyukuran, penghargaan terhadap hasil pertanian, dan semangat kebersamaan.
Meskipun
setiap perayaan mempunyai cara sambutan yang berbeza, ia tetap membawa nilai teras
yang sama, iaitu menghargai kehidupan, alam semula jadi, dan kesuburan bumi.
Memandangkan
majoriti iaitu sekitar 85 peratus kaum India di Malaysia berketurunan Tamil,
maka sambutan Thai Ponggal lebih meriah dan dikenali umum.
Minoriti
kecil seperti Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali, dan Gujarati pula mengadakan
sambutan tradisional secara kecil-kecilan. Sambutan Ponggol oleh komuniti Chetti Melaka
pula sentiasa meriah.
[Baca juga – Ponggal Bukan Sekadar Pesta Menuai]
Pada
dasarnya, sambutan kesemua perayaan ini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan
dalam komuniti Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali, Gujarati, dan
sebagainya.
Malah, dapat
pula memperkayakan lagi kepelbagaian budaya negara Malaysia, sekali gus menjadikannya
lebih harmoni dan berwarna-warni serta menarik minat pelancong dari seluruh
pelosok dunia.
[Rencana
ini ditulis pada 4 Januari 2025 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar
Utusan Malaysia pada 11 Januari 2025. ©
Uthaya Sankar SB. Harap maklum
bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]
