22 Jan 2011

Gapena Tersalah Naik Kapal

Yang Arif,

Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan Gapena, Pena, Perkasa, Kalam, Kemudi serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) – yang tidak perlu saya senaraikan sepenuhnya di sini atas alasan hanya membazir masa dan ruang – sejak tercetusnya kontroversi novel Interlok (edisi murid), saya mendapat gambaran seolah-olah mereka perlu segera terjun dari kapal yang sedang mereka layari sekarang dan berenang menuju ke kapal lain yang sepatutnya mereka naiki.


Gambaran yang agak kreatif dan imaginatif ini (bayangkan mereka semua berenang beramai-ramai di lautan bergelora pada waktu malam disinari bulan!) muncul selepas saya meneliti setiap hujah yang dikemukakan mereka atau wakil mereka di pentas terbuka, pada sesi dialog, forum, perbincangan, persidangan meja bulat, kenyataan akhbar, laporan di media arus perdana dan media alternatif serta pelbagai sumber, termasuk ruang siber.


Benar, saya berpeluang menghadiri perhimpunan protes besar-besaran di Rumah Gapena pada petang 15 Januari 2011 sebagai ‘tetamu’ dan sebagai tanda ‘sokongan neutral’. [BACA DI SINI] Maka, saya tetap berpegang teguh pada pendirian saya untuk tidak membuat sebarang kenyataan rasmi di sini berhubung apa-apa yang saya saksikan di sana; sebagai tanda menghormati ‘tuan rumah’. [BACA DI SINI] Sebaliknya, segala hujah saya di sini adalah berdasarkan apa-apa yang dilaporkan seperti senarai di atas.


Media melaporkan bahawa kesemua NGO Melayu yang hadir membuat resolusi ‘membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda mana-mana teks dalam novel tersebut’ [BACA DI SINI] dengan alasan (antara lain) bahawa usaha ‘memurnikan’ novel Interlok (edisi murid) adalah suatu penghinaan kepada sebuah ‘karya agung’ yang dihasilkan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.


Badan-badan berkenaan juga sebulat suara bagaikan sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir (secara figuratif) dalam ‘mempertahankan penulis dan Interlok dari sudut isi dan misi yang terkandung di dalam karya itu’. Bagi mereka, Interlok tidak boleh diubah walau sepatah kata kerana novel itu adalah sebuah ‘karya agung’ oleh seorang Sasterawan Negara serta apa yang terkandung di dalamnya adalah sejarah, fakta, realiti sosial dan gambaran sebenar negara ini dari sekitar tahun 1910 hingga 1957. Perkara ini turut diakui Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan pada 18 Januari 2011.


Yang Arif,


Berdasarkan pendirian tegas kumpulan berkenaan, maka Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mempunyai alasan kukuh untuk mengandaikan (atau sekurang-kurangnya membayangkan) bahawa NGO terbabit akan membantah sekeras-kerasnya petikan berikut di halaman 214-215 novel Interlok edisi murid (DBP: 2010):


Salah seekor lembu jantannya yang digunakan untuk membajak sawah telah tua dan tidak dapat digunakan lagi. Lembu itu menunggu masa untuk mati sahaja. Sebagai seorang Hindu, lembu tidak boleh disembelih dan dimakan dagingnya. Oleh sebab kemiskinan, Maniam selalu menghadiri perayaan-perayaan untuk melupakan kesusahan yang ditanggungnya.


Novel Interlok (DBP: 2003) yang menjadi rujukan Kavyan pula mencatatkan begini pada halaman 238:


Salah seekor lembu jantan yang digunakan untuk membajak sawah telah tua dan tidak dapat digunakan lagi, lembu itu sekarang tinggal menunggu masa matinya sementara itu terus memakan rumput yang diangkutnya setiap hari. Sebagai seorang Hindu lembu itu tidak boleh disembelih dan dimakan dagingnya, seperti yang biasa dilakukan oleh orang-orang Islam. Kerana kemiskinan itulah yang menyebabkan Maniam selalu menghadiri perayaan-perayaan untuk melupakan kesusahan yang ditanggungnya.


Bayangkan, Yang Arif! Begitu banyak sejarah, fakta, realiti sosial dan gambaran sebenar masyarakat di negara India dibuang ‘sesuka hati’ oleh editor. Manakala, halaman 243 edisi 2003 mencatatkan begini:


Orang-orang India tidak ada yang kahwin di sini, kerana mereka tidak suka pada perempuan-perempuan tempatan. Perempuan-perempuan tempatan seperti yang didengar Maniam daripada teman-temannya, tidak setia dan tidak taat pada suami seperti perempuan-perempuan India.


Anehnya, realiti sosial, fakta dan gambaran sebenar di Malaya pada sekitar tahun 1910 yang seharusnya menjadi rakaman/dokumentasi penting untuk rujukan generasi muda 1Malaysia di Tingkatan Lima tidak pula kelihatan dalam Interlok edisi murid (2010).


Kavyan boleh mengemukakan puluhan lagi contoh kukuh daripada edisi 2003 dan 2010; tetapi kami tidak mahu membazir masa.


Yang Arif,


Izinkan saya berbalik kepada pendirian pihak berkenaan yang lantang menjerit di pentas, mengatakan mereka ‘mempertahankan penulis dan Interlok dari sudut isi dan misi yang terkandung di dalam karya itu’. Mereka tidak membenarkan walau sepatah kata dalam Interlok diubah; walaupun sekecil menggugurkan perkataan ‘paria’ dan ‘kasta’ yang penuh kontroversi itu. Maka, mana boleh ‘kasta Brahman’ dalam edisi 2003 ditukar kepada ‘kasta Brahma’ dalam edisi 2010! Belum lagi mengambil kira ‘memurnikan’ teks dengan membetulkan segala kesalahan fakta seperti disarankan Kavyan.


Tidakkah mereka menganggap apa yang tercetak dalam Interlok edisi murid (2010) sebagai suatu penghinaan kepada sebuah ‘karya agung’ yang dihasilkan seorang Sasterawan Negara yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong? (Ini hanya soalan retorik dan tidak perlu dijawab.)


Kumpulan mana yang sebenarnya tidak (tahu) membaca novel Interlok seperti didakwa wakil pihak berkenaan melalui pelbagai media arus perdana sejak belakangan ini? (Ini juga soalan retorik yang tidak memerlukan jawapan.)


Yang Arif,


Berdasarkan hujah-hujah di atas, saya mempunyai alasan untuk percaya bahawa Gapena, Pena, Perkasa, Kalam, Kemudi serta pelbagai NGO yang sedang lantang bersuara, sebenarnya tersalah naik kapal. Kapal yang sedang mereka tumpang ini adalah kapal bagi kumpulan yang mahukan Interlok edisi murid ‘dimurnikan’ sebelum diedarkan semula ke sekolah sebagai teks Komsas. Kapal yang dinaiki Kavyan! Siapa sangka, kamilah ‘tuan rumah’ dan mereka adalah ‘tetamu’ di atas kapal ini.


Saya cadangkan supaya mereka segera terjun dari kapal ini dan berenang menuju ke kapal lain yang membawa kumpulan yang ‘mempertahankan penulis dan Interlok dari sudut isi dan misi yang terkandung di dalam karya itu’ serta ‘tidak membenarkan walau sepatah kata dalam Interlok diubah’.


Yang Arif, I rest my case.


(© Uthaya Sankar SB 2011. Pertama kali disiarkan di FreeMalaysiaToday pada 21 Januari 2011 sebelum disiarkan di blog Uthaya Sankar SB pada 22 Januari 2011. Ikuti sambungan hujah DI SINI)