2 Sept 2010

Kunjungan ke Rumah Ibadat

Untuk makluman, golongan “Bukan Hindu” tidak dihalang memasuki mana-mana kuil; asalkan berpakaian sopan dan patuh pada etika. Sekian. Terima kasih.
.

Demikian saya mencatatkan pada ruangan status di Facebook pada pagi 1 September 2010 untuk makluman umum.

.

Reaksi yang saya peroleh tidak hanya tertumpu pada kuil; sebaliknya mendapat maklumat tambahan yang lebih menyeluruh dan amat positif.

.

Misalnya, Hamid Rahman mengesahkan “begitu juga degan masjid” dengan mengambil contoh Masjid Putrajaya yang dilawati semua lapisan masyarakat tempatan dan luar negara. Beliau juga menyentuh mengenai isu semasa yang “disensasikan” golongan tertentu.

.

Tentu sahaja saya bersetuju dengan pandangan Hamid Rahman. Malah, setahu saya, Nabi Muhammad saw tidak menghalang golongan “Bukan Islam” memasuki masjid dan surau; selagi beretika. Cuma, golongan “Bukan Islam” tidak dilarang masuk ke Masjidil Haram.

.

Wardah Munirah turut tampil berkongsi pandangan dengan menghuraikan bahawa “ada isu yang dimanipulasi sehingga kelihatan jauh tersimpang daripada yang sebenar” sambil mencadangkan bahawa “kita sebagai pemerhati perlu kritikal dan tidak sekadar menerima apa-apa yang dibentangkan media”.

.

Paparan asal pada ruangan status saya tidak ada kaitan dengan masjid dan surau, tetapi nampaknya telah membuka ruang untuk perkongsian pandangan secara aman dan tertib. Tentu sahaja saya berasa gembira kerana saya memang suka akan dialog antara agama sebagai satu cara mencapai kesepakatan.

.

Secara tidak langsung, Anarkis Deanz juga mengusulkan perkara sama apabila beliau bertanya, “Adakah kita masih jauh ketinggalan dalam usaha mengenali satu sama lain?”

.

Bagi saya, secara peribadi, kita sebagai rakyat sebenarnya sudah saling memahami, mengenali, menghormati dan menerima keperbezaan tetapi perpaduan itu cuba dikeruhkan pihak luar; tetapi bukan pula pihak dari luar negara.

.

Sanjana Aslam menceritakan bahawa beliau pernah memasuki Masjid Negara pada awal 1980-an. Pengunjung diberikan selendang untuk menutup kepala manakala sesiapa yang memakai seluar pendek tidak dibenarkan masuk. Malah, ibunya yang berpakaian sari juga dibenarkan masuk.

.

Hamid Rahman menambah bahawa syarat tidak membenarkan individu berseluar pendek terpakai untuk semua; termasuk penganut Islam sendiri.

.

Sanjana Aslam memahami syarat itu kerana katanya, “Kita patut tahu bagaimana untuk berpakaian apabila melawat tempat beribadah.”

.

Sam Rizal memberi kiasan bahawa “menghormati rumah ibadah menampakkan perhiasan hati yang molek” tetapi malangnya “rumah ibadah sudah menjadi wahana baru sang politikus.”

.

Ranjit Singh mengesahkan bahawa “tiada halangan atau pun sekatan untuk sesiapa memasuki Gurdwara asalkan berpakaian yang sesuai dan sopan.”

.

Sepanjang perbincangan “antara agama” ini berlangsung, ramai juga rakan-rakan yang menjadi pemerhati dan menyukai apa yang dibincangkan. Hal ini jelas melalui tindakan mereka menekan “Like” pada topik perbincangan. Antaranya, Nor Sham Said, Waled Ibnu, Najwa Masri, Thamil Arsan Perumaloo, Irihadiniaz Ds, Gangga Awana, Roslan Jomel, Hanif Amir, Emmy Hermina Nathasia, Ghanthi Mathi, Soman Babu, Mk Sara Tamilvaanan, Nur Amin, Vishnu Menon dan Prabha Rajoo.

.

Saya gembira dengan penglibatan pelbagai pihak yang mampu membincangkan suatu topik yang agak sensitif – dan amat mudah dipolitikkan! – secara amat positif, matang dan dengan perasaan persaudaraan. Nah! Bukankah ini sebenarnya tuntutan agama?

.

Ravi Rathinam tampil memberikan pandangan bahawa “Garisan yang dilukis oleh manusia untuk membezakan antara manusia dan agama perlu dipadam agar istilah MANUSIA dan KEMANUSIAAN dinikmati tanpa mengira perbezaan.”

.

Satgunan Sheridoman mengakui bahawa memang sesetengah isu sering dimanipulasi demi kepentingan materialsime, kuasa dan pangkat.

.

Rosli Husin menceritakan pengalaman beliau pada zaman sekolah. Semasa balik dari sekolah, hujan lebat, lalu beliau singgah sebentar berteduh di pondok kuil di Batu 2, Jalan Kamunting dan tidak pula dihalau sesiapa. Malah, kata beliau, hal yang sama di gereja. Untuk makluman, kuil di Batu 2, Jalan Kamunting itu kini sudah tiada.

.

Pada waktu itulah, iaitu sekitar sejam selepas perbincangan bermula, Sanjana Aslam mencadangkan supaya diadakan satu rombongan ke Batu Caves, Masjid Negara/Putrajaya, tokong, gereja, wat, gurdwara dan sebagainya. Rombongan terdiri daripada “saudara pelbagai agama”.

.

Cadangan itu ternyata segera mendapat sokongan ramai. Kunjungan dengan niat murni itu nanti akan membuktikan bahawa perbezaan kaum dan agama (serta fahaman politik) tidak menjadi penghalang untuk kita bersatu sebagai Bangsa Malaysia.

.

Maka, saya nyatakan pada ruangan status di Facebook bahawa kunjungan muhibah ke beberapa rumah ibadat pelbagai agama dicadangkan pada Oktober 2010 dan sesiapa yang berminat boleh mengemukakan cadangan, pandangan dan sokongan.

.

Ghanthi Mathi menyokong usaha itu. Katanya, kita perlu membuka mata dan fikiran untuk melaksanakan lawatan ini. “Jangan menilai orang lain berdasarkan ajaran agama kita sendiri, sebaliknya bersedialah untuk melihat kehebatan orang lain juga,” katanya lalu menceritakan pengalaman melawat beberapa tempat dan kagum melihat kehebatan tempat-tempat itu. Seperti katanya, semua agama mengajar kebaikan. “Biarlah generasi kita memulakan gerakan ini untuk lebih memahami satu sama lain,” katanya.

.

Nur Amin turut berkongsi pengalaman beliau melawat kuil, gereja, tokong, wat dan gurdwara. “Apa yang penting, jangan timbulkan masalah di rumah ibadah. Pergilah melawat untuk meningkatkan pemahaman; tetapi jangan menimbulkan sebarang masalah kepada sesiapa,” katanya.

.

Dengan kehadiran begitu ramai rakan-rakan dan saudara yang benar-benar memahami ajaran sebenar agama, tidak mustahil bahawa kunjungan yang dijadualkan pada akhir Oktober 2010 boleh dilaksanakan dengan penuh kejayaan; tanpa campur tangan (baca: gangguan) politikus.

.

Seperti kata Lalith Shamshir Shamsul, "Rencana yang kena pada tempatnya. Allah telah menjadikan kita berbilang kaum dan agama supaya kita saling kenal-mengenali antara satu sama lain."

.

Sesiapa yang berminat bolehlah segera menghubungi saya (uthayasb@yahoo.com.my atau 016-3288142). Sesiapa yang sudi terlibat sama dalam mengatur lawatan ini juga amat dialu-alukan tampil membantu. Sebagai permulaan, untuk mengenal pasti rumah-rumah ibadah di sekitar Lembah Klang yang sesuai dilawati dalam masa sehari.
.
Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai Konvoi ke Rumah Ibadat.