2 Sept 2010

Bulan Bahasa Kebangsaan

Pada 18 Ogos 2010, saya dihubungi menerusi e-mel oleh seorang rakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan diminta memberi pandangan mengenai “Bulan Bahasa Kebangsaan” yang disambut pada Oktober 2010.
.

Berikut jawapan rasmi dan ikhlas yang saya berikan kepada beliau.

.

Apakah signifikannya sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan kepada tuan?

.

Peluang untuk menghayati sepenuhnya peranan dan kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi dan bahasa rasmi negara; sebagaimana sambutan pada 29 Julai di Thailand [DI SINI].

.

Mengapakah kerajaan mengadakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada setiap tahun?

.

Pada teori: untuk mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan. Pada realiti: tiada apa-apa tujuan khusus kerana saya tidak nampak kesungguhan kerajaan, menteri dan orang politik memartabatkan Bahasa Malaysia.

.

Sejauh manakah masyarakat memahami dan menghayati kepentingan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan?

.

Sejauh mana? Tidak berapa jauh. Hanya majlis pelancaran yang hebat tetapi pengisian tidak seberapa. Lebih kepada penganjur “syok sendiri”. Sambutan juga tidak sampai kepada “masyarakat umum” sebaliknya hanya tertumpu pada masyarakat tertentu dan staf DBP.

.

Mengapakah sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan kelihatan makin lesu?

.

Tiada perancangan teliti. DBP dibebankan dengan tugas serta tidak cukup tangan. Publisiti tiada. Lebih menjadi acara politik dan “hilang” sebaik selepas Pak Menteri melakukan pelancaran. Tidak melibatkan NGO dan persatuan – khasnya Kumpulan Sasterawan Kavyan – yang melakukan aktiviti bahasa secara berterusan. Kebanyakan pihak yang terlibat hanya mahu mendapat “untung”. Tumpuan juga lebih kepada “kaum” dan bukan kepada “bangsa”. Kaum ‘Bukan Melayu’ hanya menjadi “tempelan” (mencukupkan syarat).

.

Bagaimanakah caranya untuk menyemarakkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan?

.

Baiki kelemahan yang saya paparkan pada soalan di atas. Itu pun sudah jauh daripada menakjubkan jika boleh direalisasikan!

.

Apakah yang dimaksudkan oleh slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”?

.

Bahasa Malaysia adalah Nyawa Bangsa Malaysia; tanpa menafikan hak dan peluang menggunakan bahasa-bahasa lain. Bangsa yang dirujuk di sini adalah Bangsa Malaysia dan bukannya “Melayu+Cina+India+Lain-lain”. Jika Bahasa Malaysia diabaikan dan diperlekeh, maka hilangnya identiti kita sebagai sebuah Bangsa Malaysia.

.

Apakah signifikannya slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” kepada tuan?

.

Bahasa Malaysia adalah Bahasa Ibunda saya sebagaimana saya jelaskan DI SINI dan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” membuktikan bahawa Bahasa Malaysia adalah milik (dan jiwa) Bangsa Malaysia.

.

Sejauh manakah masyarakat memahami dan menghayati slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”?

.

Sejauh mana? Tidaklah jauh kerana masih ramai yang mengaitkan “bahasa” dengan “kaum”. Kaum Melayu masih bertegas mengatakan “Bahasa Melayu” adalah hak mutlak mereka; sekali gus tidak bersedia menerima hakikat bahawa bahasa itu kini dikenali “Bahasa Malaysia” dan menjadi milik/kebanggaan Bangsa Malaysia. Apabila pemahaman dan penerimaan asas daripada kaum tertentu tidak wujud, maka sampai kiamat pun usaha mengangkat Bahasa Malaysia menjadi “Bahasa Jiwa Bangsa” tidak akan tercapai.

.

Bagaimanakah caranya untuk menghayati slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”?

.

Apabila masalah yang dinyatakan pada soalan di atas dapat diatasi. Perlu akur pada hakikat bahawa Bahasa Malaysia adalah Jiwa Bangsa Malaysia – bukan “Bangsa Melayu”. Rujuk juga pengesahan rasmi berhubung penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” DI SINI.

.

Mengapakah bahasa kebangsaan kelihatan makin dipinggirkan?

.

Selagi unsur perkauman masih wujud, selagi ada kelompok yang tidak menerima kewujudan “Bahasa Malaysia” dan masih bertegas mengatakan bahawa “Bahasa Melayu” adalah milik kaum tertentu dan kaum-kaum lain adalah “pendatang” dan “bangsa asing” ... selagi itulah bahasa kebangsaan dipinggirkan. Apabila bahasa kebangsaan itu “dijadikan” milik kelompok tertentu, apa perlunya “pendatang” dan “bangsa asing” ambil kisah? Rujuk catatan DI SINI dan DI SINI untuk keterangan lanjut.

..

Tidak mustahil bahawa jawapan ikhlas dan rasmi yang saya berikan tidak akan disebarkan. Maka, saya muatkan di blog saya sebagai dokumentasi untuk rujukan sendiri.