18 Mar 2010

Apakah Kau Masih Sangsi?

Sejak secara rasmi menjadi sebahagian daripada keluarga Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (KKSB) pada 1 Februari 2010, saya ternyata kembali mempunyai ruang dan peluang untuk meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama Devishi Prabha Sankari.
..
Saya pernah berhenti kerja sebagai penyunting berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Mei 2002 kerana tidak mahu terlalu sibuk bekerja di RTM, dan di beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), sehingga tidak berpeluang melihat puteri saya membesar di depan mata dan dalam pelukan saya.
..
Saya bersama RTM dari 1996 hingga 2002, selain menjadi pensyarah di beberapa IPTS dari 1999 hingga 2007. Pada 2005, saya “dipanggil” semula ke RTM sebagai pengulas bagi segmen “Akhbar Hari Ini” dan pada 2007, sebagai penyunting berita; serta serta turut membaca berita bermula Januari 2008.
..
Maka, dari 2002 hingga 2005, saya berpeluang meluangkan masa berkualiti dan penuh bermakna bersama Devishi. Saya boleh menyatakan dengan gembira bahawa Devishi sudah menguasai Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak usia muda; berkat bimbingan saya dan Prabhawathy.
..
Sepanjang 2006, Devishi tinggal bersama nenek, datuk dan ibu saudaranya di Kamunting, Perak di mana dia menguasai Bahasa Tamil secara yang amat membanggakan; selain menimba begitu banyak ilmu yang sudah pasti menjadi bekalannya sepanjang hidup.
..
Selama tiga tahun selepas itu, apabila Devishi di Tadika (2007 & 2008) dan seterusnya melangkah ke Tahun Satu (2009), jadual kerja saya di RTM agak padat dan saya sentiasa sibuk; sehingga mungkin tidak sempat memperuntukkan masa secukupnya untuk diluangkan bersama Devishi.
..
Demi Tuhan! Demi matahari dan cahayanya, demi bulan, demi siang dan malam, demi langit dan segala isinya, demi bumi dan segala kandungannya, demi jiwa! Saya tidak mahu menunggu sehingga muncul situasi di mana anak-anak saya terpaksa berkata, “Acha, tolong berikan kami RM50 sebab kami mahu ‘membeli’ sejam daripada masa Acha untuk diluangkan bersama kami.”
..
Waktu kerja saya menjadi lebih bercelaru apabila saya ‘dipanggil’ semula dari Bernama Radio24 (Ogos – Oktober 2008) untuk menjadi Penyelia Bilik Operasi Unit Bencana RTM di Rumah Eksekutif, Angkasapuri.
..
Apabila Unit Bencana RTM – yang ditubuhkan pada 6 November 2008 dan dilancarkan secara rasmi dan besar-besaran pada 30 Disember 2008 – dimansuh secara senyap-senyap tanpa sebarang pengumuman rasmi sekitar 15 November 2009, saya sebagai Penerbit Rancangan B41 makan gaji buta!
..
Maka, pada 15 Disember 2009, saya nekad menyerahkan notis peletakan jawatan B41 sambil memanjangkan niat – termasuk menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman rangkaian sosial Facebook kerana sesungguhnya Tuhan dan sifat-Nya ada di mana-mana! – untuk mendapat kerja “yang ada kerja; bukannya makan gaji buta” di Shah Alam atau Subang Jaya.
..
Antara lain, supaya dapat menjimatkan wang petrol, menjimatkan bayaran tol, mengelakkan kesesakan jalan raya dan dapat meluangkan masa bersama Devishi. (Ganesan Duraisamy sedang melanjutkan pelajaran di luar negara.)
..
Dipendekkan cerita, saya menyertai KKSB pada 1 Februari 2010; selepas menghabiskan baki cuti tahunan RTM pada 16-31 Januari 2010.
..
Waktu kerja saya sebagai Sub-Grafik Kanan di akhbar Sinar Harian adalah dari 2:00 petang hingga 11:30 malam; lima hari seminggu. Tiada lagi jadual dan waktu kerja “bercelaru” seperti dahulu.
..
Maka, pada Februari 2010, saya berpeluang meluangkan masa berkualiti bersama Devishi pada sebelah pagi, sementara Prabha ke sekolah. Selepas bersarapan atau mengunjungi Perpustakaan Raja Tun Uda (PRTU), sekitar pukul 10:00 pagi, saya biasanya menghantar Devishi ke rumah pengasuh.
..
Manakala, mulai Mac 2010 – syukur – kami tidak lagi memerlukan khidmat pengasuh untuk menjaga Devishi yang menyambut hari jadi ke-8 pada 4 Mac 2010. Saya meluangkan masa berkualiti bersama Devishi pada sebelah pagi kerana dia bersekolah sesi petang.
..
[Catatan mengenai segala adventure kami – misalnya The Real FarmVille -- boleh dibaca dari semasa ke semasa di blog saya. Aktiviti Devishi bersama Kumpulan Sasterawan Kavyan – misalnya Bengkel Penulisan Cereka UPSR – boleh dibaca dari semasa ke semasa di blog Kavyan.]
..
Pada Isnin-Khamis, sekitar pukul 12:45 tengah hari, kami berdua biasanya memandu ke rumah Geetha, rakan sekelas Devishi. Ibu Geetha membantu mengikat rambut Devishi dengan kemas kerana saya kurang arif. Kemudian, saya menghantar Devishi dan Geetha ke sekolah sebelum saya biasanya singgah sebentar di PRTU dan seterusnya ke KKSB.
..
Mulai Mac 2010, saya juga semakin bersemangat untuk menulis bagi majalah-majalah terbitan KKSB; khususnya e@siswa, e-baca dan Fokus SPM. Sila klik DI SINI untuk membaca catatan mengenai tiga cerpen “hari jadi” yang menampilkan tiga watak berbeza bernama Dhurga.
..
Apakah ada insan yang masih sangsi terhadap rahmat Tuhan?