9 Jan 2010

Encik K. Balasubramaniam

Saya mengenali Encik K. Balasubramaniam sewaktu beliau bertugas sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR), Taiping.

Pada mulanya, tidak timbul keperluan – dan peluang – untuk saya bertemu dengan beliau yang dikenali dengan nama singkatan “KBSM”.

Namun, kemudian, apabila memegang pelbagai jawatan dalam Persatuan Bahasa Malaysia (Perbama), Persatuan Bahasa Inggeris, Persatuan Bahasa Tamil (Perbata), Kelab Kaunseling dan Kelab Koperasi, timbul keperluan – dan peluang – untuk sering bertemu dengan beliau bagi pelbagai tujuan.

Saya masih ingat bagaimana beliau turut menyokong pelantikan saya sebagai Setiausaha Perbata; walaupun saya tidak pandai membaca dan menulis Bahasa Tamil. Beliau bersetuju bahawa laporan dan surat-menyurat rasmi persatuan perlu menggunakan Bahasa Malaysia.

Saya bersama-sama Navaneethan, Sri Bala, Muniswaran dan Thillai Kamalan juga sering bertemu Encik Bala untuk membincangkan aktiviti pelajar. Walaupun beliau seorang yang garang dan tegas, kami tidak menghadapi masalah untuk mengatur pertemuan dengan beliau.

Secara tidak langsung, kami – termasuk Encik Bala – mewujudkan semacam persefahaman dan kerjasama untuk sama-sama menyumbang ke arah melahirkan generasi muda yang berwawasan dan berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Kerjasama dan hubungan baik antara kami masih terjalin erat hingga ke hari ini. Encik Bala menghadiri majlis perkahwinan saya walaupun terpaksa datang dari jauh. Beliau turut menghadiri majlis pelancaran kumpulan cerpen Kathakali pada 12 Julai 2009 walaupun beliau tidak berapa sihat.


Pada zaman persekolahan dahulu, Encik Bala pernah menceritakan kisah Karya Agung Tamil, Silapatikaram mengikut interpretasi semasa. Semasa menerbitkan dan meneraju rancangan “Deepavali di Bernama Radio24” pada tahun Oktober 2008, saya menghubungi Encik Bala dan meminta beliau menceritakan semula kisah itu supaya dapat dikongsi bersama para pendengar Bernama Radio24.


Saya percaya ada ramai bekas pelajar SMDR yang pernah menerima sentuhan magis daripada Encik Bala dalam tempoh beberapa tahun beliau bertugas sebagai Pengetua di sekolah berkenaan.


Tentu sahaja sentuhan magis daripada tokoh agung dan unggul seperti beliau mampu mengubah hidup seorang insan daripada yang kurang baik kepada yang baik; dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.


Saya berbangga menjadi salah seorang daripada insan dalam kategori itu.