22 Nov 2004

Mencari Pulau Cinta

Utusan Malaysia, 22 November 2004

SALAH satu keistimewaan cerpen-cerpen penulis muda Uthaya Sankar SB adalah penggunaan latar tempat yang sama bagi beberapa buah cerpen. Dua latar tempat yang sering hadir dalam karya beliau adalah Siru Kambam dan Pulau Cinta.

Siru Kambam merujuk pada sebuah daerah kecil berhampiran bandar Taiping, Perak. Namun, tidak diketahui pula secara khusus kedudukan Pulau Cinta yang menjadi latar bagi sekurang-kurangnya tujuh buah cerpen Uthaya sejak hampir sepuluh tahun lalu.

Sebagai usaha "mengesan" kedudukan geografi pulau misteri itu, Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Prime USJ, Subang Jaya memutuskan untuk mengadakan acara pembacaan cerpen-cerpen Uthaya yang menggunakan latar Pulau Cinta.

Acara Baca Cerpen Pulau Cinta akan berlangsung dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) serta Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Selangor pada 24 November 2004 bermula pukul 11 pagi di Kolej Prime USJ, The Summit, Persiaran Kewajipan, Subang Jaya.

Acara ini bakal menampilkan pelajar serta kakitangan pelbagai kaum dari kolej berkenaan membaca tujuh buah cerpen secara berturutan. Orang ramai yang berminat untuk hadir sebagai penonton boleh turut menyertai sesi pembacaan ini.

Beberapa wakil Kavyan yang berpengalaman menganjurkan siri bacaan cerpen sejak Ogos 2003 akan turut hadir membaca pada acara kali ini.

Antara cerpen yang bakal dijadikan teks adalah Bitara Sita, Sengketa Pulau Cinta dan Sasterawan Pulau Cinta yang pernah tersiar dalam Mingguan Malaysia serta menampilkan parodi kisah Ramayana dan isu-isu semasa berlatarkan Pulau Cinta.

Cerpen Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta yang tersiar pada September 2002 pula merupakan cerpen pertama yang dikirim ke media cetak oleh Uthaya sebagai mengakhiri protes peribadi selama tiga tahun berikutan isu penggunaan istilah Bahasa Malaysia.

Acara Baca Cerpen Pulau Cinta akan memberi peluang kepada khalayak untuk meneliti kesemua tujuh cerpen yang berlatarkan Pulau Cinta serta memahami kisah-kisah yang tersirat di sebalik yang tersurat. Tidak mustahil, peserta akan dapat mengesan kedudukan geografikal pulau misteri itu. - Utusan Malaysia, 22 November 2004


Catatan: Lebih banyak kisah mengenai Pulau Cinta boleh juga dibaca DI SINI.