8 Nov 2004

Semarak Bahasa di IPTS oleh Kavyan

Oleh SIM ZHAO MIN
Utusan Malaysia, 8 November 2004

WALAUPUN belakangan ini bahasa Inggeris memainkan peranan yang penting di pentas dunia serta diberi perhatian khas di negara kita, bahasa Malaysia tetap tidak terabai.

Sebaliknya pelbagai usaha dilakukan untuk mendaulatkan serta menambah kecintaan rakyat pelbagai kaum terhadap bahasa kebangsaan.

Pelbagai aktiviti sastera dalam bahasa Malaysia dianjurkan di beberapa kolej swasta sebagai usaha memberi peluang bagi remaja melibatkan diri dalam aktiviti yang bermakna.

Aktiviti-aktiviti ini termasuk acara membaca cerpen, membaca novel, menulis puisi dan cerpen serta apresiasi sastera yang dikendalikan dengan kerjasama Yayasan Sasterawan Kaum India Malaysia (Kavyan).

Baru-baru ini hampir 20 pelajar dan kakitangan Kolej Antarabangsa SIT, Klang, Selangor menjayakan acara Baca Cerpen Tunas Cipta di ruang legar kolej berkenaan.

Peserta terbabit membaca petikan beberapa buah cerpen dari majalah Tunas Cipta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Masing-masing ternyata fasih membaca cerpen bahasa Malaysia walaupun keseluruhan pengajian di kolej berkenaan menggunakan Bahasa Inggeris.

Selain itu Kolej The One Academy, Bandar Sunway turut menganjurkan acara Baca Cerpen Vanakam dengan menampilkan bacaan cerpen-cerpen dari antologi cerpen Vanakam yang memuatkan karya penulis kaum India.

Peserta pelbagai kaum yang mengambil bahagian telah berpeluang mengenali citra budaya kaum India secara lebih dekat dan agak menyeluruh melalui cerpen-cerpen berkenaan yang ditulis dalam bahasa Malaysia oleh sekumpulan sasterawan Kavyan yang aktif menyumbang bagi memperkaya sastera kebangsaan.

Kedua-dua acara berkenaan natara lain bertujuan menanam minat membaca karya sastera serta menambah keyakinan diri di kalangan pelajar kolej swasta.

Aktiviti yang diadakan di tempat terbuka di Kolej Antarabangsa SIT pula telah menarik orang ramai yang lalu-lalang untuk turut menyaksikan pembacaan cerpen.

Usaha-usaha berterusan untuk memasyarakatkan karya sastera serta melahirkan kalangan remaja yang mecintai bahasa Malaysia perlu diperhebatkan.

Kerajaan, pihak penerbit dan perpustakaan awam harus sama-sama memikul tanggungjawab demi melahirkan insan yang seimbang serta cinta akan ilmu, sastera dan bahasa.

Selain Kolej Antarabangsa SIT dan Kolej The One Academy, Kolej Prime USJ juga terlibat dalam menganjurkan siri acara baca cerpen.