25 Jan 2025

Menunggu Kemunculan Kathiravan

Pesta pada malam ini penuh dengan warna, bunyi, dan haruman yang memabukkan.

Di tengah-tengah kawasan luas yang dihiasi bunga raya dan lampu berwarna emas, kelihatan ratusan pengikut kultus Prashamsaneeji yang berpakaian serba putih, mengangkat tangan ke langit sambil memuji nama Guruji dengan penuh khusyuk.

Bunyi gendang dholak, mardala, mridangam, tabla, urumi, chenda, dollu, dan thavil, serta suara pujian yang bersahut-sahutan melantun di udara, mencipta suasana seakan-akan membius minda.

Di sebalik kemeriahan itu, tersimpan sesuatu yang lebih gelap. Sesuatu yang tidak terlihat dan tidak disedari oleh kebanyakan orang yang hadir untuk berpesta.

Di sudut yang jauh, Mukundan, ketua gengster yang dikenali dengan sikap kejam dan berpengaruh luas, berdiri dengan tenang. Dia memandang ke arah Guruji yang sedang berdoa di pentas, sambil matanya tajam memerhatikan gerak-geri para pengikut yang datang dan pergi.

Mukundan tahu, di sebalik upacara keagamaan ini ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku. Sesuatu yang melibatkan pengubahan wang haram, keganasan, dan percaturan politik. Dan satu nyawa yang wajib dikorbankan.

Beberapa bulan lalu, Mukundan yang mempunyai hubungan rapat dengan beberapa ahli politik serta berpengaruh dalam dunia jenayah diundang berjumpa dengan Guruji.

Ketika itu, Guruji baru sahaja mendirikan pusat ajaran Prashamsaneeji yang semakin berkembang pesat serta berjaya menarik perhatian ramai orang, terutama golongan muda yang terpedaya dengan kata-kata hikmah dan ajaran kultus berkenaan.

“Guruji, saya sedia bekerjasama. Tapi saya perlu tahu apa yang saya akan dapat sebagai balasan,” Mukundan berterus-terang dengan suara penuh sindiran.

Guruji tersenyum lembut. Namun ada suatu kengerian tersembunyi dalam senyuman itu. Di sebalik persona dan penampilan diri sebagai tokoh pemimpin spiritual, tidak ramai yang tahu wajah sebenar penunggang agama itu.

“Mukundan, kamu dan saya tahu bahawa dunia ini berputar atas wang. Kamu ada sumber tenaga dan jaringan yang luas. Saya punya pengikut yang setia membabi buta. Kita boleh sama-sama membangunkan kuasa politik tak terhingga. Saya tidak minta banyak. Sekadar sokongan untuk meluaskan lagi ajaran kultus Prashamsaneeji dalam kalangan kaum India.”

“Dan bagaimana saya harus membantu dan mendapatkan balasan setimpal?” Mukundan mengerutkan dahi. “Saya tidak berminat menjadi macai politik atau macai kultus ajaran sesat. Saya ketua penjenayah yang mahukan keuntungan.”

Guruji memandang Mukundan dengan serius. Hanya mereka berdua berada di pejabat Guruji pada waktu itu. Maka, tidak timbul keperluan untuk berselindung dan berteka-teki. (bersambung) 

[Cerpen penuh boleh dibaca dalam buku Sebelas Amanat Swamiji]

Baca reaksi pembaca beta — [di sini]

Berikut reaksi pembaca beta sebelum ini: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta] – [Cinta Maya Arjuna]


[Uthaya Sankar SB lahir di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Baca biodata penuh di sini.]