29 May 2023

Pencinta Genre Cinta dan Seram

Thanusya Shanmuganathan @ Meera Natasya merupakan graduan sarjana muda sastera dari Universiti Malaya (UM). Beliau sudah menghasilkan novel berjudul Tak Sengaja Cinta (2014), Cik Cemerkap vs Encik Selfie (2016), Savithri (2021) dan Hanya Kau Untukku (2022). Beliau juga aktif menulis skrip, cerpen, esei, dan sajak. Beliau aktif dalam Koperasi Penulis Nasional (KOPENA) dan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Thanusya turut terlibat dalam Pertemuan Penulis dan Pembaca Malaysia pada 14 Mei 2023. Beliau berkongsi kisah tentang bidang penulisan dalam wawancara bersama Uthaya Sankar SB.

 

Apakah cita-cita anda semasa kecil?

Menjadi seorang doktor. Sejak kecil, saya suka membaca buku-buku sains milik abang sepupu saya yang cenderung dalam bidang tersebut. Namun, cita-cita tersebut terus berkubur selepas tamat Tingkatan 3 kerana keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak melayakkan saya memasuki aliran Sains. Saya kemudiannya menumpukan perhatian kepada cita-cita kedua iaitu untuk menjadi seorang penulis.

 

Bilakah anda mula sedar anda mahu menjadi seorang penulis?

Saya mula menulis di bangku sekolah rendah, tetapi minat itu menjadi kepastian di universiti, selepas menyelesaikan tugasan pertama iaitu sebuah esei. Dalam esei itu, saya perlu menulis kesudahan alternatif bagi sebuah novel Melayu yang telah saya baca. Novel yang saya pilih ialah karya Sharifah Abu Salem, Gerimis Di Hati. Pada Ketika itu, cinta terhadap novel dan penulisan bertambah kukuh.

 

Siapakah antara penulis Malaysia kegemaran anda?

Bagi genre cinta, saya membaca karya-karya nukilan Sharifah Abu Salem, Damnya Hanna, Aina Emir, Aisya Sofea dan arwah Melur Jelita. Bagi genre seram pula, saya meminati karya-karya nukilan Ilya Abdullah, Saidee Nor Azam dan Maria Kajiwa.

 

Dari mana anda mendapat idea dan maklumat bagi penulisan?

Idea datang dari sekeliling saya, daripada pergaulan dan interaksi bersama orang lain, sama ada secara fizikal mahupun dalam alam maya. Selain itu, saya juga mendapat idea daripada bacaan buku serta novel, dan tontonan filem.

 

Karya manakah paling sukar untuk anda tulis/hasilkan?

Savithri yang mengambil masa tujuh tahun lamanya untuk ditulis dan diterbitkan. Setelah melalui penolakan oleh dua rumah penerbitan dan kegagalan menambat hati juri dalam Sayembara Berita Harian-ITBN-Pena pada tahun 2013, saya merombak semula cerita itu secara keseluruhannya pada 2021. Saya menyuntik maklumat baharu dalam karya tersebut bagi memukau pembaca.

 

Apakah projek penulisan terkini anda?

Menerbitkan semula karya pertama saya, Tak Sengaja Cinta dan karya kedua, Cik Cemerkap vs. Encik Selfie. Kedua-dua karya tersebut tidak lagi dijual di pasaran (out-of-print) dan hak penerbitan telah dipulangkan kepada saya oleh penerbit. Saya sedang menyunting dan menambahbaikkan karya-karya itu untuk diterbitkan di bawah syarikat Agni MN Media Resources dengan wajah yang baharu menjelang Disember 2023.

 

Apa yang anda suka lakukan selain membaca dan menulis?

Menonton filem melalui aplikasi YouTube dan Netflix, bersembang dengan kawan-kawan sekepala mengenai isu-isu semasa, jalan-jalan cari makan (foodie).

 

Ceritakan tentang pekerjaan anda.

Apabila saya tidak menulis, saya memakai topi seorang editor, penterjemah, pembaca pruf dan penulis skrip.

 

Apakah pandangan keluarga tentang penulisan anda?

Ahli keluarga yang telah membaca karya-karya saya memberikan maklum balas positif. Masih ada ahli keluarga yang belum pernah membaca karya-karya saya. Namun, saya tidak berhenti mempromosikan karya-karya saya kepada mereka. Mungkin satu hari nanti, mereka akan membeli jua.

 

Bagaimana anda menangani masalah writer’s block?

Saya akan berhenti menulis buat seketika dan mendengar lagu. Saya juga akan menonton filem yang bersesuaian dengan genre dan tema karya saya. Contohnya, jika karya saya bertemakan komedi romantik, saya akan menonton filem-filem yang sewaktu dengannya bagi menyerap mood atau feel.

 

Jika satu daripada karya/buku anda wajar diterjemah kepada bahasa Inggeris, mana satu yang akan anda pilih dan mengapa?

Novel Tak Sengaja Cinta kerana karya itu karya sulung saya dan mengandungi pelbagai unsur budaya masyarakat India yang boleh saya kongsikan dengan pembaca.

 

Bagaimana anda mempromosi/menjual buku anda?

Saya melakukan promosi di semua laman media sosial serta laman sesawang saya. Apabila ada duit lebih, saya akan mengaktifkan iklan di laman Facebook dan Instagram. Pautan semua laman media sosial saya [di sini].

 

Tarikh: 29 Mei 2023