4 Nov 2014

Polis Usah Undang Laknat

Berita yang menggemparkan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 17 tahun yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 pasti masih segar dalam ingatan orang ramai.

Apatah lagi, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mempertahankan keputusan mahu menggunakan akta itu walaupun amat jelas bahawa tiga guru yang sebenarnya melakukan hasutan dalam kes ini.

Sekadar imbasan, seorang pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang dikatakan telah menyukai (like) laman “I Love Israel” di Facebook.

Harap maklum bahawa pelajar berkenaan tidak melakukan apa-apa ulasan atau komentar; apatah lagi hasutan.

Malah, pelajar berkenaan membuat laporan polis pada 11 Ogos 2014 dan mengesahkan bahawa dia tidak pernah melakukannya (menyukai laman berkenaan).

Tidak hairanlah tindakan pihak berkuasa yang dianggap zalim, keterlaluan dan mencabul hak rakyat menerima kritikan bukan hanya di dalam negara tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

Saya mengikuti kes ini sebaik selepas pelajar terbabit membuat laporan polis. Bagaimanapun, untuk rekod, harap maklum bahawa tiada sebarang komunikasi antara saya dan pelajar serta ibu bapanya sehingga saat ini.

Sebab itulah apabila berkali-kali pihak berkuasa (polis dan jabatan pendidikan) bertanya kepada pelajar dan ibu bapanya sama ada mereka mengenali saya, mereka bercakap benar (“Tidak”).

Begitu juga apabila ditanya bertalu-talu bagaimana segala maklumat mengenai perkembangan kes itu sampai kepada saya, mereka tetap bercakap benar (“Tidak tahu”).

Pihak berkuasa perlu sedar dan faham bahawa pelbagai pihak yang prihatin tampil menyampaikan maklumat kepada saya supaya dapat dikongsikan menerusi media alternatif dan media sosial.

Dengan adanya media alternatif dan media sosial jugalah “kezaliman” yang dilakukan pihak berkuasa sampai kepada pengetahuan masyarakat awam.

Rata-rata orang ramai terkejut dengan ketegasan polis mahu menggunakan Akta Hasutan untuk menyiasat seorang budak bawah umur.

[Makalah ini ditulis pada 4 September 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 8 September 2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. Baca juga KOLEKSI LAPORAN PENUH ISU INI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]