16 Apr 2013

Hidayah bangga kekal Cina

[Walaupun ada “hak” menurut Perkara 160, wanita Cina-Muslim ini tidak rela meninggalkan identiti kaum keturunannya.]
 
Menerusi makalah bertajuk “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), saya cuba menjelaskan beberapa perkara berkaitan Kedudukan Istimewa Orang Melayu sebagaimana dijamin menerusi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957.
 
Saya turut menyatakan bahawa “kelonggaran” pada Perkara 160 mungkin menyebabkan golongan Bukan Melayu turut mengiktiraf diri sebagai “orang Melayu” selepas memeluk agama Islam.
 
Susulan daripada itu, saya sempat berbicara bersama-sama seorang wanita Cina-Muslim untuk mengetahui apakah beliau mahu dikenali sebagai “Melayu” atau masih berbangga mengekalkan identiti kaum/etnik asal; selagi tidak bercanggah dengan Islam.
 
Kali pertama saya bertemu Nur Hidayah Abdullah (nama asal: Ooi Yong Yong) adalah apabila saya ke Kota Bharu, Kelantan pada Mac 2012. Beliau dan adik angkatnya, Abdul Mutalib Awang melayan saya seperti adik-beradik kandung selama empat hari saya di sana. [Baca catatan saya]
 
Dalam perbincangan kami pada 27 Februari 2013, Hidayah menegaskan bahawa beliau adalah individu Cina-Muslim. Beliau ternyata bangga dengan status unik itu serta tidak sedikit pun mahu bertukar menjadi “orang Melayu” selepas memeluk agama Islam. Malah, nama Ooi Yong Yong turut dipaparkan bersama-sama nama Islamnya pada akaun Facebook.
 
“Dalam masyarakat Cina, apabila seseorang memeluk Islam, terdapat satu istilah iaitu ‘jip huan’ yang secara tepatnya merujuk kepada ‘masuk Melayu’ dalam dialek Hokkien.  Secara lazim di Malaysia, apabila seorang anak mahu memeluk Islam, keluarga Cina akan membantah dan melarang kerana beranggapan si anak itu akan meninggalkan bukan sahaja agama asal malah segala adat-resam dan budaya masyarakat Cina,” Hidayah menceritakan.
 
Katanya, salah faham seperti itu masih berlaku dan sukar untuk dileraikan. Keadaan ini mungkin berlaku kerana masyarakat Cina khasnya sebelum ini kurang didedahkan dengan konsep sebenar Islam. Hidayah bersetuju bahawa dengan adanya akses yang lebih mudah terhadap maklumat yang tepat dari pelbagai sumber, masyarakat Cina hari ini mungkin mempunyai pandangan yang lebih terbuka, sebenar dan tepat.
 
“Ramai yang sudah boleh membezakan antara ‘masuk Islam’ dan ‘masuk Melayu’. Islam adalah agama yang diturunkan sebagai rahmat kepada seluruh alam melalui perantaraan Nabi Muhammad s.a.w. Agama Islam tidak menjadi hak mutlak masyarakat Arab atau Melayu semata-mata. Mungkin disebabkan majoriti masyarakat Malaysia adalah orang Melayu dan beragama Islam, maka ramai yang melihat Islam dan Melayu sebagai sinonim,” akuinya dalam perbincangan kami yang berlaku dalam keadaan santai.
 
Menyentuh secara khusus mengenai amalan budaya asal, ibu kepada lima anak itu mengakui bahawa sebenarnya adat atau budaya asal masyarakat Cina yang tidak bertentangan dengan Islam masih diamalkannya tanpa sebarang masalah.
 
Anak-anak dididik budaya masyarakat Cina
 
“Saya sebagai seorang Cina, walaupun sudah hampir 20 tahun menjadi seorang Islam, saya tidak pernah lupa bahawa saya seorang Cina. Saya menghargai adat dan keunikan budaya masyarakat Cina serta memilih untuk meneruskan mana-mana amalan budaya yang tidak bertentangan dengan akidah Islam.
 
“Saya mengajar anak-anak saya makan menggunakan kayu penyepit (chopstick). Pernah ada seorang yang agak tua menegur saya dengan mengatakan haram makan menggunakan penyepit. Tetapi saya tidak menyalahkan beliau. Mungkin beliau tidak terdedah dengan budaya kaum lain. Memanglah sesungguhnya makan dengan tangan adalah sunnah. Tetapi Islam tidak pula mengharamkan makan dengan sudu. Malah, makan menggunakan penyepit pun tidak ada salahnya,” kata wanita itu yang dulu bertugas di Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim).
 
Saya memang tertarik mendengar kisah Hidayah yang sehingga kini masih memasak masakan mengikut resepi masyarakat Cina. Malah setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, beliau mengadakan jamuan makan besar (reunion dinner). Untuk rekod, jamuan kekeluargaan itu bukan bersifat agama tetapi simbolik kepada sambutan bermulanya musim bunga.
 
“Begitu juga dengan anak-anak saya. Saya menggalakkan mereka meraikan perayaan kuih bulan dengan bermain tanglung, perayaan ketupat buluh (chang) dan perayaan Winter Solstice (Dong Zhi). Sejak berkeluarga dan bergelar ibu, saya mengadakan ‘reunion dinner’ setiap tahun,” kata Hidayah yang kini bertugas di Pejabat Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan.
 
Namun begitu, kisah Hidayah memang penuh liku dan cabaran. Jamuan makan malam sempena Tahun Baru Cina biasanya hanya dinikmati bersama-sama lima anaknya. Hal ini kerana selepas beliau memeluk Islam dahulu, keluarga kandung bagaikan meminggirkannya.
 
Namun, sebagai seorang umat Islam yang berpegang teguh pada ajaran agama, wanita yang sentiasa tersenyum dan berwajah ceria ini tidak pernah membenci ibu bapa dan adik-beradiknya. Beliau sedar bahawa hubungan kekeluargaan dengan mereka tidak terputus, sebagaimana firmah Allah s.w.t. dalam Surah Luqman, ayat 15.
 
“Untuk pengetahuan adik, setelah 17 tahun memeluk Islam, akhirnya baru dua minggu lepas kakak dapat kembali semula ke pangkuan ibu kandung. Ayah meninggal dunia dan tiba-tiba ibu meminta adik-beradik mencari kakak,” luahnya dengan penuh emosi.
 
Dapat dibayangkan betapa Hidayah menanggung rasa sedih kerana tidak berpeluang menatap wajah ayahnya buat kali terakhir. Beliau hanya sempat tiba di krematorium lewat setengah jam selepas jenazah mendiang bapanya dibakar mengikut tradisi masyarakat Cina.
 
“Namun saya sangat gembira dan terharu apabila ibu menerima saya dengan terbuka walaupun saya tidak boleh menyertai upacara sembahyang bagi mendiang ayah sebagaimana yang dilakukan oleh adik-beradik. Ramai juga yang terpinga-pinga melihat kehadiran saya yang  bertudung. Malah apabila kami sekeluarga pergi makan di restoran, ramai yang memandang kehairanan melihat ibu dan adik ipar serta adik-beradik bersama-sama saya yang bertudung,” katanya sambil mengimbau kenangan.
 
Sambil mendengar pengalaman yang diceritakan oleh Hidayah, saya berfikir bahawa segala apa yang berlaku adalah aturan Tuhan. Mungkin juga untuk menguji keimanan dan daya tahan wanita itu yang memeluk Islam atas pilihan sendiri; bukan atas niat lain.
 
Puak etrosentrik, ultra kiasu rosakkan imej Islam
 
“Saya lihat ibu begitu gembira apabila saya ceritakan bahawa cucu-cucunya yang belum pernah ditemuinya memang pandai makan menggunakan kayu penyepit. Beliau melihat sendiri bagaimana saya dan anak-anak tetap Cina walaupun kami beragama Islam. Malah, bapa saudara saya melahirkan rasa kagum kerana saya rajin memuatkan foto jamuan makan malam Tahun Baru Cina di Facebook,” beliau bercerita lagi manakala saya tumpang gembira dan berasa bangga mengenali wanita ini.
 
Bagi saya, apa yang dilakukan oleh Hidayah adalah “dakwah positif” yang mampu menjelaskan realiti Islam yang sebenar kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Hal ini tentulah sangat berbeza (misalnya) dengan apa yang dilakukan kelompok seperti Ibrahim Ali, Ridhuan Tee Abdullah serta puak etrosentrik dan ‘ultra kiasu’ yang tidak dapat membezakan antara “Melayu” dan “Islam”.
 
Sesungguhnya, pada pandangan saya sejak kecil, sebaik-baik dakwah adalah keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh seorang umat Islam. Perkara ini juga saya nyatakan dalam kenyataan media bertarikh 24 Februari 2013 berikutan penyiaran rencana Ridhuan Tee bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” di akhbar Sinar Harian (18 Februari 2013).
 
“Sebenarnya Islam pada masa kini kadang-kadang menjadi negatif disebabkan oleh sikap umat Islam yang kurang baik. Pada saya, jika Islam diamalkan sebagaimana dituntut oleh Allah berpandukan al-Quran dan Hadis, tanggapan negatif terhadap Islam tidak akan timbul. Malah umat Islam akan menjadi ‘khudwah hasanah’ atau contoh yang baik kepada orang lain,” kata Hidayah sebagai menyetujui pandangan saya.
 
Dalam pada itu, saya dapat membayangkan rasa kesal dan menyesal yang ditanggung oleh wanita itu kerana tidak berpeluang bertemu mendiang bapanya.
 
“Hanya selepas ayah tiada, saya dapat tahu bahawa dalam diam, mendiang sudah memaafkan saya. Saya sedih kerana tidak sempat bertemu ayah semasa beliau masih hidup,” katanya.
 
Saya sedar bahawa topik asal yang mahu saya bincangkan adalah sama ada Hidayah mahu dikenali sebagai “orang Melayu” atau kekal dengan identiti asal iaitu “orang Cina”. Namun, perbincangan kami turut menjurus kepada perkara-perkara lain yang mungkin tidak berkait secara langsung dengan topik asal.
 
Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa kisah-kisah yang dikongsikan oleh Hidayah sudah cukup untuk menjelaskan pendiriannya berhubung topik yang agak sensitif ini. Khususnya apabila Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memberikan “hak” kepada Hidayah untuk mengiktiraf dirinya “orang Melayu”.
 
Kisah pertemuan semula dengan keluarga kandung selepas hampir 20 tahun juga sangat menarik dan menyentuh perasaan. Hidayah  merancang untuk kembali menetap di kampung halamannya di Kuala Kedah pada tahun depan (2014). Beliau mengaku sudah “kehilangan” begitu banyak masa untuk bersama ibunya sejak dipinggirkan selepas memeluk Islam dahulu.
 
“Saya perlu rebut masa yang masih bersisa ini untuk membalas jasa ibu. Saya juga berharap kisah saya menjadi teladan kepada orang yang baru memeluk Islam agar berusaha lebih untuk menyambung kembali silatulrahim dengan keluarga kandung. Jangan jadi seperti saya yang mungkin tidak berusaha seperti yang sewajarnya,” nasihatnya dengan penuh ikhlas pada akhir perbincangan kami.
 
[Uthaya Sankar SB percaya pada hubungan kekeluargaan dan persaudaraan tanpa mengira batas kaum, agama dan bangsa. Makalah ini ditulis pada 2 Mac 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 4 Februari 2013. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi makalah berkaitan Melayu dan Islam. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]