Thursday, 21 March 2013

Demi Murid-murid Terpinggir

Penggal persekolahan bagi tahun 2013 sudah bermula dan pasti akan kedengaran pelbagai rungutan daripada pihak ibu bapa dan sekolah mengenai prestasi murid/pelajar dalam kurikulum.
 
Bagaimanapun, tentu sahaja kelompok yang tampil membantu menyelesaikan masalah adalah lebih mulia berbanding kelompok yang hanya tahu mengungkitkan isu. Tambahan pula, cukuplah golongan politikus terus mengeluarkan kenyataan berupa retorik yang tidak akan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam sistem pendidikan negara.
 
Dalam hal seperti inilah saya sangat kagum dengan usaha yang dilakukan kumpulan Teach for the Needs (TFTN) sejak diasaskan pada 1 Mac 2012. Kumpulan yang bergerak secara bebas dan sukarela itu menyediakan platform, rundingan, bahan mengajar, buku dan sistem sokongan yang diperlukan bagi mengatasi masalah pembelajaran.
 
Saya sempat berbual-bual dengan pengerusi TFTN, Zul Fikri Zamir Mohamad Munir yang mengasaskan kumpulan itu bersama-sama Asmidar Alias (presiden).
 
“TFTN mempunyai objektif menyediakan kelas tambahan (tuisyen) percuma untuk murid-murid kelas corot, anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga miskin. Kami juga berusaha membantu guru dan sukarelawan meningkatkan kemahiran diri melalui kerja sukarela dan mendepani masalah masyarakat secara ‘hands on’,” kata pemuda kelahiran Jerantut, Pahang itu.
 
Pada umumnya, walaupun belum sampai setahun diasaskan, TFTN memang berpegang pada satu lagi objektif penubuhan iaitu menggerakkan sebuah gerakan berasaskan pendidikan untuk masyarakat. Tentulah usaha murni ini bukan suatu kerja mudah; apatah lagi apabila dilaksanakan secara “apolitikal” dan tanpa mengharapkan naungan mana-mana politikus.
 
Saya sangat memahami keadaan ini kerana Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999 juga berpegang pada konsep memartabatkan Bahasa Malaysia menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya tanpa bernaung pada mana-mana politikus dan parti politik. Sekurang-kurangnya kami boleh membuat kebaikan tanpa menanggung dosa orang lain.
 
Sumbangan dan aktiviti TFTN pula semakin dikenali umum dan berita-berita mengenainya semakin banyak disiarkan di media konvensional dan alternatif. Perkembangan ini amatlah membanggakan dan diharap boleh menarik perhatian anggota masyarakat untuk tampil membantu sekadar termampu.
 
Berani bersuara demi golongan marginal
 
Zul Fikri yang bekerja sebagai guru Pendidikan Jasmani dan Bahasa Malaysia sejak 2010 berkata, terdapat 19 duta TFTN daripada kalangan guru di seluruh negara. Selain itu, sukarelawan berdaftar pula terdiri daripada 300 orang, di mana sekitar 50 daripadanya terlibat secara aktif melalui kerja-kerja pentadbiran, projek rumah anak yatim dan kerja-kerja mengumpul dana.
 
Pemuda berkenaan yang kini tinggal di Kuala Lumpur memang lantang bersuara di forum, dialog dan melalui tulisan apabila bercakap mengenai soal pendidikan dan kelompok marginal yang sering terpinggir dan dipinggirkan dalam arus pendidikan negara.
 
Hasil pemerhatian saya, beliau dan rakan-rakannya dalam TFTN ikhlas dalam perjuangan; sekali gus tidak tunduk pada tekanan dan pujukan “puak arus perdana” yang tidak mahu sebarang kepincangan sistem pendidikan negara didedahkan.
 
“Di bawah program TFTN, ada sekitar 230 murid berumur 11 dan 12 tahun yang kami bimbing selepas tamat waktu pelajaran di sekolah. Sebagai tambahan, ada sekitar 70 murid yang dibimbing secara berterusan menerusi projek Rumah Anak Yatim,” kata guru berumur 27 tahun itu.
 
Mengulas lanjut, Zul Fikri menceritakan bahawa program tambahan (expansion programme) dikendalikan bagi memastikan penghuni rumah anak yatim turut mendapat manfaat dan peluang menimba ilmu secara adil dan saksama.
 
“Program pertama bermula pada 7 April 2012 melibatkan 52 penghuni Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah di Gopeng, Perak. Program itu kendalian Anas Hakimie. Yuni Roslan pula menangani program sama di Asrama Baitul Husna, Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang melibatkan 15 murid bermula awal Jun 2012,” katanya dengan penuh semangat.
 
Satu aktiviti tambahan yang dinamakan “Parenting Programme” turut dilaksanakan sebagai sebahagian projek “I Luv My Kids” dengan bantuan Profesor Dr Saedah Siraj, tokoh pendidik dari Universiti Malaya.
 
Pelbagai program berskala kecil, sederhana dan besar diadakan dari semasa ke semasa sebagai bukti kesungguhan dan keikhlasan TFTN membantu kanak-kanak yang memerlukan bantuan dalam pembelajaran dan pendidikan. Konvensyen Pendidikan TFTN di Universiti Malaya pada 8 Disember 2012 menjadi salah satu bukti komitmen mereka.
 
Pelbagai pihak tampil membantu
 
Dalam usianya yang relatif muda – belum sampai setahun – tentulah masih terlalu awal untuk menilai kejayaan TFTN dalam misi membantu murid-murid yang lemah dalam pelajaran. Namun, jika keputusan UPSR 2012 diambil kira, rata-rata anak didik TFTN menunjukkan peningkatan dalam prestasi.
 
“Melalui penglibatan kami secara langsung sejak Mac tahun lalu, ada beberapa perkara yang dikenal pasti. Kami dapati bahawa anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga miskin kurang diberi perhatian oleh sekolah dan masyarakat,” Zul Fikri memberitahu saya.
 
Pendedahan yang dilakukan ini tentu sahaja (mungkin) akan membuatkan pihak sekolah dan lebih-lebih lagi Kementerian Pelajaran naik angin serta tampil menafikan apa-apa yang dikatakan. Mana mungkin jabatan dan kementerian menerima kritikan pedas seperti ini; bahawa ada murid yang sengaja dibiarkan terpinggir dalam sistem pendidian negara.
 
Di pihak TFTN, mereka tidak sekadar mengkritik atau menyalahkan pihak lain. Sebaliknya, mereka berusaha membantu sekadar termampu berdasarkan kemahiran yang dimiliki para sukarelawan. Bagi hampir 70 murid di bawah program tambahan di Gopeng dan Kuantan, masing-masing diberikan kamus sebagai langkah awal untuk cemerlang dalam pelajaran.
 
“Melalui sumbangan buku daripada penerbit seperti PTS dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), kami berusaha menanam minat membaca dalam kalangan lebih daripada 170 kanak-kanak yang menyertai projek TFTN,” pemuda yang gemar membaca dan mengembara itu menghuraikan.
 
Bagi menjayakan segala projek yang dilaksanakan secara sukarela dan tanpa bantuan politikus, tentulah melibatkan pelbagai cabaran. Zul Fikri mengakui bahawa komitmen serta kekurangan sukarelawan daripada kalangan guru menjadi cabaran utama. Selain daripada itu, tentulah soal kewangan perlu diambil kira.
 
Buat masa ini, TFTN bergantung sepenuhnya pada hasil jualan butang/lencana dan kemeja-T serta sumbangan kecil-kecilan daripada anggota masyarakat yang prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang terpinggir dan dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara.
 
“Sesungguhnya TFTN amat memerlukan lebih ramai guru muda untuk menyertai program ini dan menyediakan kelas-kelas TFTN di sekolah masing-masing. Kami juga mengharapkan kerjasama syarikat-syarikat korporat untuk menyediakan sumbangan kewangan bagi memastikan gerakan yang dimulakan oleh TFTN boleh dikekalkan dan diberi penambah baikan demi masa depan kanak-kanak,” katanya dengan penuh harapan.
 
Nafi mitos anak-anak kelas corot
 
Bercakap mengenai perancangan bagi tahun ini, Zul Fikri berkata, selain memberi tumpuan kepada program dan duta sedia ada, TFTN turut merancang Futsal Guru Muda pada 27 Januari 2013, makan malam amal pada Mac 2013 dan larian amal pada Jun 2013.
 
“Advanced Research Projects for Education (ARPE) di bawah seliaan Anas Alam Faizli pula akan memberi fokus terhadap penyediaan modul pembelajaran anak-anak berkeperluan dalam TFTN; kajian rintis terhadap duta/sukarelawan/guru di seluruh negara; serta kajian akademik berkaitan isu pendidikan masa depan,” katanya.
 
Harus ditekankan bahawa TFTN ditubuhkan untuk menyediakan platform sukarela kepada guru dan bukan guru bagi menggerakkan program berasaskan pendidikan. TFTN secara terus-menerus memperjuangkan golongan marginal tertindas seperti murid kelas corot, anak miskin, anak yatim dan anak-anak di pedalaman.
 
Sukarelawan daripada kalangan guru dan bukan guru memang diharapkan dan dialu-alukan untuk sama-sama terlibat dalam menjayakan misi yang sangat murni ini. Malah, itulah juga sebabnya saya tampil memperkatakan mengenai TFTN menerusi makalah ini.
 
“Ruang untuk orang ramai menyumbang memang terbuka; daripada menjadi sumber tenaga pengajar kepada menjadi sebahagian rangkaian dan pentadbir TFTN di seluruh negara. Melalui TFTN, rakyat Malaysia boleh membuktikan bahawa isu pendidikan boleh ditangani melalui kerjasama kolektif, berbanding hanya mengharap kepada kerajaan semata-mata,” Zul Fikri menyatakan dengan penuh optimis.
 
Menurut guru itu lagi, salah satu objektif penubuhan TFTN adalah untuk membuktikan betapa tidak benar suatu mitos yang sudah berakar-umbi dalam kalangan masyarakat. Mitos yang dimaksudkan adalah tanggapan bahawa anak-anak kelas corot, anak miskin, anak yatim dan anak-anak pedalaman tidak berhak mendapat peluang pendidikan yang sama rata dengan rakan mereka yang lain.
 
Dengan semangat, kesungguhan dan sikap tegas yang ditunjukkan, saya juga optimis bahawa TFTN akan berjaya dalam misi murni yang diperjuangkan demi golongan minoriti, marginal dan tertindas.
 
[Maklumat lanjut mengenai aktiviti TFTN boleh dibaca DI SINI. Makalah ini ditulis pada 4 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 7 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!