14 Jan 2013

Alahai Salina dan Pak Samad!

[Penulis merakamkan rasa kecewa kerana ramai yang hanya berpura-pura menyokong perjuangan sasterawan ini.]
 
Novel Salina: Edisi Terhad (2012) karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) sudah terbit dan mula dipasarkan sejak 13 Oktober 2012. Kebetulan, Konsert Bersih berlangsung pada tarikh itu di Kelana Jaya dan Wira Bukit Sdn Bhd selaku penerbit cuba menjual novel berkenaan di sana.
 
Proses penerbitan semula novel Salina mengambil masa yang lama kerana pelbagai faktor. Antaranya, faktor penghalang utama adalah kekangan kewangan. Helmy Samad tetap gigih dalam usaha merealisasikan impian menerbitkan semula Salina yang pernah mengangkat nama Pak Samad, sekitar 50 tahun lalu.
 
Saya berjaya memiliki naskhah saya pada 14 Oktober 2012 dalam suatu acara kecil tanpa kehadiran VIP dan politikus di Bangsar Utama. Ramai juga yang membuat tempahan awal melalui saya sejak Julai 2012 kerana masing-masing tidak mahu melepaskan peluang memiliki novel ini yang lain daripada yang lain.
 
Pada masa yang sama, timbul suatu pertanyaan mengenai sambutan sebenar orang ramai terhadap penerbitan novel ini. Memandangkan Salina dijual pada Konsert Bersih, saya membayangkan bahawa tidak akan ada apa-apa masalah untuk menghabiskan stok 500 naskhah edisi terhad itu.
 
Maklumlah, ramai yang tampil menyatakan sokongan padu terhadap keberanian Pak Samad bersuara menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Di ruang siber – khususnya Facebook – ramai yang berkongsi (share) bait-bait puisi dan madah yang dicatatkan oleh Pak Samad.
 
Pada setiap kali saya bertemu Pak Samad di Bangsar Utama untuk membincangkan perkembangan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pasti ada sahaja orang yang datang untuk bersalam dan meluahkan rasa kagum dengan perjuangan beliau.
 
Tentu sahaja Pak Samad tidak lagi mengharapkan “sokongan” daripada pemerintah untuk membeli buku-buku beliau. Hal ini sudah amat jelas dan tidak perlu saya jelaskan lagi di sini.
 
Politikus pandang dengan sebelah mata
 
Bagaimana pula dengan “sokongan” orang ramai – Rakyat – yang kononnya kagum dengan perjuangan Pak Samad demi keadilan yang dituntut oleh Rakyat menerusi pilihan raya yang bersih? Atau perjuangan Pak Samad menentang PPSMI?
 
Semasa acara di Bangsar Utama, saya mencari-cari juga kelibat wakil beberapa pertubuhan yang selalu lantang bersuara, kononnya memperjuangkan hak dan maruah penulis – khususnya penulis Melayu. Saya sempat juga menyemak senarai pembeli yang membuat tempahan novel. Amat mendukacitakan.
 
Saya juga cuba merisik pada Helmy dan Arafat Hambali yang terlibat secara langsung dalam jualan novel Salina di Kelana Jaya semasa Konsert Bersih. Maklum balas ikhlas yang diterima adalah amat mendukacitakan.
 
Golongan politikus khabarnya memandang Salina dengan sebelah mata. Kelompok yang kononnya menyokong perjuangan Pak Samad pula memberikan alasan bahawa harga novel itu terlalu mahal. Malah, apabila disuakan dengan buku-buku lain terbitan Wira Bukit Sdn Bhd yang hanya dijual pada harga RM10 senaskhah, masih ada yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak membeli. Pada masa yang sama, mereka inilah yang tampil mengatakan bahawa mereka termasuk kelompok yang menyokong perjuangan Pak Samad.
 
Novel Salina: Edisi Terhad sesungguhnya dicetak dalam jumlah yang terhad iaitu 500 naskhah sahaja. Saya turut membantu Helmy menjual novel berkenaan dan sambutan yang diterima memang amat menggalakkan. Saya mengambil stok 50 naskhah pada 18 Oktober 2012 dan terpaksa menambah stok tiga hari kemudian.
 
Ternyata sambutan orang ramai terhadap novel klasik ini sangat baik. Tidak akan ada masalah untuk menghabiskan edisi terhad ini. Namun, persoalan yang bermain-main dalam fikiran saya sejak seminggu lalu adalah mengenai sikap yang ditunjukkan oleh politikus – dalam soal ini, politikus dalam Pakatan Rakyat – dan orang ramai yang kononnya mengangkat Pak Samad sebagai Sasterawan Rakyat.
 
Umum mengetahui bahawa Pak Samad adalah penulis sepenuh masa. Beliau tidak menerima sebarang dana daripada pemerintah. Malah, tidak juga menerima dana daripada Soros!
 
Umum juga mengetahui bahawa Pak Samad sering diundang ke acara sastera anjuran beberapa parti politik dan kerajaan negeri. Malah, pada akhir September 2012, beliau menerima anugerah Sasterawan Tamu Negeri Selangor.
 
Anugerah Sasterawan Tamu Negeri Selangor
 
Soalnya, apakah “anugerah” itu membawa apa-apa makna atau sekadar hiasan dinding? Apakah Pak Samad diberi sebarang dana dan peruntukan kewangan secara berkala untuk membantu beliau berkarya atau “sasterawan tamu” itu hanya gelaran yang enak didengar?
 
Novel Salina adalah sebuah karya penting. Dan seperti biasa, orang Malaysia hanya menyedari “kepentingan”, “kehebatan” dan “keistimewaan” karya itu selepas diangkat oleh pengkaji dari luar negara.
 
Kini, Salina muncul kembali untuk santapan minda generasi muda. Malah sesiapa yang sudah pernah membaca novel ini masih wajar membaca semula versi ini yang merupakan “versi asal” (unabridged). Pak Samad sendiri membaca semula draf akhir untuk memastikan “keaslian” semangat Salina edisi asal kekal dalam edisi baru ini.
 
Mungkin orang ramai yang berpendapatan rendah (dan menerima BR1M) menganggap harga RM60 sebagai terlalu mahal. Bagaimana pula dengan golongan berpendapatan tinggi dan menjawat pelbagai jawatan penting? Tentu sahaja mereka tidak boleh memberikan alasan “mahal” untuk tidak membeli novel ini.
 
Khabarnya, semasa Konsert Bersih di Kelana Jaya, ada politikus yang hanya membelek-belek novel Salina tetapi tidak membelinya. Alasan yang diberikan adalah bahawa dia (beliau?) tidak membaca novel Melayu. Ada juga yang memberikan alasan, “saya tak suka membaca”.
 
Di sisi yang lain pula, menurut Arafat yang menjaga gerai jualan buku, ada pula pengunjung kaum Cina yang tidak fasih Bahasa Malaysia tetap membeli Salina tanpa merungut tentang harga. Khabarnya mereka membeli Salina sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Pak Samad. Khabarnya mereka mahu turut memiliki sebuah novel penting tanah air. Khabarnya, mereka mahu anak-anak mereka membaca sebuah novel yang ditulis oleh seorang negarawan unggul.
 
Saya juga membeli dua naskhah. Satu untuk saya dan satu lagi khusus untuk anak saya, Devishi Prabha Sankari yang kini berumur 10 tahun. Saya menghadiahkan novel itu sebagai “bekalan” untuk dibacanya pada masa hadapan.
 
Dan di sisi yang lain, kita masih berdepan dengan golongan yang memberikan 1008 macam alasan untuk tidak membeli novel itu. Pada masa yang sama, golongan inilah juga yang tanpa segan tampil berkata bahawa mereka menyokong perjuangan Pak Samad yang berani bersuara demi Rakyat. Ironis, bukan?
 
Tepuklah dada, tanyalah selera; sementara saya kembali membaca novel Salina.
 
[Maklumat lanjut mengenai novel Salina: Edisi Terhad boleh dirujuk di www.helmysamad.blogspot.com. Makalah ini ditulis pada 21 Oktober 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 22 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]