Tuesday, 15 January 2013

Tentang Fardu Haji

[Makna sebenar “korban” dipaparkan dalam filem Malayalam yang ditonton khusus menjelang Hari Raya Haji.]
 
Saya meluangkan masa menonton sebuah filem Malayalam berjudul Adaminte Makan Abu (“Abu, anak kepada Adam”) pada malam sebelum sambutan Hari Raya Haji (26 Oktober 2012).
 
Ternyata filem berkenaan yang ditulis, diarah dan diterbitkan oleh Salim Ahamed pada 2011 mampu memberikan begitu banyak maklumat mengenai fardu haji berbanding sekian banyak drama Melayu mengenai topik sama yang saya tonton sejak kecil. Khabarnya Salim Ahamed mendapat idea bagi cerita ini lebih sedekad lalu di Jeddah apabila bertemu sepasang suami-isteri yang pergi umrah kerana bimbang tidak akan mampu menunaikan haji.
 
Secara amat mudah, filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki tua dan miskin bernama Abu serta isterinya, Aishumma, yang mahu memenuhi impian menunaikan ibadat haji. Saya sengaja memilih untuk menonton filem ini pada 25 Oktober 2012 untuk menghayati semangat sebenar Aidil Adha.
 
Filem Adaminte Makan Abu amat perlu ditonton umat Islam di Malaysia untuk memahami makna sebenar fardu haji. Hal ini penting dan wajar kerana ramai dalam kalangan orang Islam sendiri “terlupa” makna sebenar “korban” yang menjadi dasar Hari Raya Haji.
 
Malah, filem ini sangat menginsafkan dan mampu pula mengukuhkan nilai persaudaraan tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai sebuah negeri yang dihuni penduduk pelbagai agama, Kerala mampu menyajikan filem-filem yang menggambarkan realiti kehidupan harmoni penduduk berlainan etnik, agama dan kepercayaan.
 
Amat penting juga untuk diperhatikan bagaimana watak-watak beragama Islam dalam filem ini tidak lupa – atau meninggalkan – budaya mereka. Hal ini juga amat menarik untuk diperhatikan kerana di negara kita, ramai yang mahu menjadi orang Arab tanpa mampu membezakan antara kaum, budaya dan agama. Orang “Bukan Melayu” pula mahu menjadi “Melayu” sebaik memeluk Islam.
 
Filem Adaminte Makan Abu dirakam menggunakan kamera digital di beberapa lokasi di Thrissur dan Kozhikode, Kerala selama lebih sebulan bermula November 2010. Cara Madhu Ambat menangani kamera, serta penyuntingan kemas oleh Vijay Shankar, lagu-lagu oleh Ramesh Narayan dan muzik oleh Isaac Thomas Kuttukapally meningkatkan lagi nilai filem ini yang disampaikan secara mudah tetapi amat berkesan.
 
Kisah mistik dan keharmonian
 
Saya amat tertarik pada babak di mana pasangan suami-isteri itu terlalu gembira memiliki pasport – “tiket” penting untuk ke Mekah – sehingga mereka tidak dapat tidur sepanjang malam. Pasport itu juga menjadi harta penting sehinggakan Abu amat risau melihat cara pegawai di agensi pengurusan haji memegang pasport mereka berdua.
 
Filem Adaminte Makan Abu turut menampilkan beberapa kisah mistik, bermula dengan Abu bermimpi berada di makam Nabi Muhammad. Kisah yang lebih mengundang pertanyaan adalah mengenai watak seorang ustaz yang secara penuh bijak dan seni disembunyikan identiti dirinya.
 
Babak-babak yang menampilkan watak ustaz itu (lakonan Thambi Antony) mungkin sedikit “mengganggu” pemikiran penonton beragama Islam di Malaysia kerana berbezaan pengalaman, budaya, amalan dan mazhab berbanding di Kerala, India.
 
Sudah saya nyatakan tadi mengenai keharmonian kaum/agama yang ditonjolkan secara amat bersahaja menerusi filem ini. Apabila Abu berhajat menunaikan fardu haji, ada beberapa pihak yang tampil membantunya secara langsung dan tidak langsung. Babak-babak ini juga sebenarnya memberikan begitu banyak maklumat dan fakta berguna mengenai konsep dan syarat untuk “naik haji”.
 
Watak Johnson lakonan Kalabhavan Mani, misalnya, bersedia membeli pokok nangka di hadapan rumah Abu bagi menampung baki wang yang perlu dibayar kepada agensi pengurusan haji. Walaupun batang pokok itu didapati tidak bermutu selepas pohon ditebang, Johnson tetap mahu memberikan wang bagi menampung kos Abu dan Aishumma pergi haji.
 
Nedumudi Venu pula memegang watak seorang guru dan jiran beragama Hindu yang tahu pelbagai perkara mengenai Islam. Abu dan Aishumma turut menziarah jiran beragama Hindu itu untuk memohon maaf atas segala kesalahan dan dosa. Tindakan ini dilakukan sebagai persiapan sebelum berangkat ke Mekah.
 
Pasangan suami-isteri tua itu juga mencari, mengesan dan menziarah bekas jiran mereka untuk memohon maaf. Hal ini kerana pernah wujud perselisihan kecil antara Abu dan Sulaiman (lakonan Gopakumar), yang kini terlantar di atas katil akibat kemalangan.
 
Bagi saya, filem Adaminte Makan Abu turut memberikan maklumat mengenai pelbagai persiapan fizikal dan rohani yang perlu dilakukan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Tentu sahaja segala maklumat ini tidak saya temui dalam drama tempatan yang lebih khusyuk menampil adegan lembu disembelih sempena ibadah korban.
 
Konsep pakaian ihram
 
Bercakap mengenai lembu, pasangan suami isteri dalam filem ini terpaksa menjual seekor lembu dan anak lembu bagi menampung kos. Aishumma ternyata amat sedih kerana lembu-lembu itu dianggapnya sebagai sebahagian daripada keluarga. Tentu sahaja ini adalah nilai yang wujud dalam budaya India tetapi mungkin tidak dalam budaya kaum lain; khususnya di Malaysia.
 
Begitu juga apabila Abu percaya bahawa pokok nangka yang ditebang itu ada “roh” dan “nyawa”; serta mereka “berdosa” kerana menebangnya untuk mendapatkan wang.
 
Lakonan bersahaja Salim Kumar dan Zarina Wahab menjadikan filem Adaminte Makan Abu lebih berjaya. Salim Kumar sebenarnya salah seorang pelakon komedi terkenal dalam industri filem Malayalam (Kerala). Bagaimanapun, dia berjaya membuktikan kemampuan dan bakat memegang watak-watak penting dalam beberapa filem seperti Perumazhakkalam (2004) dan Achanurangatha Veedu (2006).
 
Watak Abu yang dibawakannya dalam filem Adaminte Makan Abu pula memungkinkannya menang anugerah pelakon lelaki terbaik peringkat negeri dan kebangsaan. Filem itu juga menang pelbagai anugerah dan ditayangkan sempena festival filem berprestij di beberapa negara.
 
Zarina Wahab pula memberikan kesegaran kepada watak seorang isteri beragama Islam – apabila dibandingkan dengan drama dan filem bertema Islam tempatan. Penonton di Malaysia mungkin masih ingat lakonan Zarina sebagai Razia Khan, ibu kepada Rizwan Khan (lakonan Shah Rukh Khan) dalam filem My Name Is Khan (2010).
 
Dalam filem Adaminte Makan Abu, apabila timbul kesempitan wang pada saat akhir, Aishumma mencadangkan supaya Abu sahaja yang pergi menunaikan ibadat haji. Abu menolak kerana katanya, dalam mimpinya sekali pun, mereka berdua yang sama-sama pergi ke makam Nabi Muhammad. Maka, dia tidak mahu pergi ke Mekah tanpa isterinya.
 
Unsur persaudaraan tanpa mengira perbezaan agama juga disajikan secara amat meyakinkan menerusi filem ini; tanpa unsur berdakwah. Watak guru yang beragama Hindu, misalnya, pergi menermui Abu untuk memberikan sumbangan wang bagi menampung kos menunaikan haji. Abu pula terpaksa menolak dengan alasan-alasan yang amat wajar tetapi bukan kerana alasan perbezaan agama.
 
Konsep pakaian ihram yang diterangkan oleh Abu juga sangat menarik dan membuatkan saya lebih faham keunikan pemakaiannya yang tidak pernah pula mampu diceritakan oleh rakan-rakan beragama Islam.
 
Filem Adaminte Makan Abu berciri universal dan mengangkat tema kemanusiaan sejagat. Filem sulung arahan Salim Ahamed ini pernah dihantar untuk dinilai bagi Academy Awards dalam kategori Filem Bahasa Asing tetapi tidak dicalonkan. Namun, hal ini tidak bermakna bahawa filem ini kurang bermutu pada peringkat antarabangsa.
 
[Uthaya Sankar SB adalah penerima Anugerah Duta Keamanan atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan. Makalah ini ditulis pada 27 Oktober 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 29 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!