13 Apr 2011

Roh Filem Melayu

Selain menulis, memblog dan membaca, saya amat gemar menonton filem Inggeris, Tamil, Malayalam, dan “filem asing” (foreign films).



Bagaimanapun, terus terang, saya kurang bersemangat menonton filem Melayu tempatan.



Malah, antara filem Melayu terakhir yang saya tonton adalah Anak Emak arahan U-Wei Haji Saari, khusus untuk pembentangan di Finas pada 28 Mac 2009.



Filem Melayu yang saya tonton sebelum itu termasuk Sepet (2004) arahan Yasmin Ahmad; itu pun ditonton beberapa kali bersama-sama pelajar kolej yang meminta VCD filem berkenaan ditayangkan di auditorium kolej sebagai salah satu aktiviti Kelab Seni & Sastera.



Saya sentiasa mengharapkan “sesuatu” apabila menonton filem dalam bahasa apa sekali pun. Saya sentiasa mengharapkan supaya filem yang ditonton memberi kesan pada intelektual atau sekurang-kurangnya emosi.



Begitulah juga apabila saya menerima salinan DVD Anak Emak pada 24 Mac 2009 dan menontonnya sebanyak dua kali, dua hari kemudian.



Saya seorang penonton dan peminat filem yang berfikiran kritikal. Setiap frame biasanya mencuri tumpuan saya. Bagi saya, setiap aspek yang dipaparkan – serta teknik kesemuanya itu dipaparkan – perlu ada makna.



Realiti tidak perlu “make sense” tetapi fiksyen – termasuk filem – perlu.



Pandangan itu turut saya nyatakan pada Diskusi Filem Tempatan: Anak Emak di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas pada 28 Mac 2009. Panel juga terdiri daripada Hassan Muthalib, Melissa Saila dan Zanita Anuar.



Saya juga pernah menonton Perempuan, Isteri dan ... (1993) arahan U-wei selain menonton Suami, Isteri dan ... (1996) arahan Suhan Panshacharam yang “meniru” hampir 99 peratus filem Tamil, Mouna Geethankal (1981).



Saya pernah tergelak menonton Ringgit Kasorga (1995) serta terhibur menonton melodrama Azura (1984) lakonan Jamal Abdillah, Ogy Ahmad Daud dan Yusni Jafar. Malah, saya pernah memiliki kaset audio filem itu untuk didengar berulang kali.



Saya kurang bersemangat (nota: bukan “kurang berminat”) menonton filem Melayu, bukan hanya kerana filem-filem Melayu tempatan rata-rata berciri “untuk Melayu, oleh Melayu, tentang Melayu” serta tidak berciri “Malaysia” (atau “1Malaysia”).



Saya ada menyentuh mengenai perkara ini dalam kertas kerja bertajuk “P. Ramlee di Kaca Mata Etnik India: Suatu Perbandingan” yang dibentangkan semasa Seminar Pemikiran Semula P. Ramlee di Kuching, Sarawak pada 6 Disember 2003.



Kertas kerja itu kemudian disiarkan dengan judul “Formula P. Ramlee Memancing Penonton Kaum India” dalam majalah Minda (Februari dan Mac 2004) serta termuat juga dalam buku berjudul P. Ramlee Di Cakera Nusantara (2005).



Secara ikhlas, saya merasakan bahawa filem-filem Melayu tempatan tidak menggambarkan realiti budaya Melayu-Islam di Malaysia; jauh sekali menurut definisi “Melayu” yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.



Apabila “roh” Melayu-Islam sudah tiada, maka tiada apa-apa untuk saya hayati, nikmati dan hargai dalam filem berkenaan. Demikian pendirian saya kerana saya tidak mahu membazir masa, tenaga dan intelektualiti menonton filem “tanpa roh”.



Jika ada sesiapa yang tampil memberitahu saya bahawa apa yang dipaparkan dalam filem-filem Melayu (“untuk Melayu, oleh Melayu, tentang Melayu”) adalah realiti budaya Melayu-Islam di Malaysia, maka saya akan benar-benar terkejut!



Benarkah itu realiti hidup saudara Melayu-Islam saya di bumi bertuah ini? Benarkah apa yang dipaparkan dalam filem-filem Melayu tempatan dewasa ini adalah realiti “roh” Melayu-Islam?



Mungkin saya perlu menonton beberapa filem Melayu yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang ini untuk mendapatkan jawapan. Juga supaya saya tidak dituduh bersikap prejudis dan subjudis serta “anti-Melayu”.



Sementara itu, apabila saya menonton filem-filem Malayalam, Jepun, China, Korea, Iran, Perancis serta filem mewakili pelbagai negara lain, saya dapat melihat, merasai dan menghayati “roh” tempatan yang terkandung di dalamnya.



Sekadar contoh, filem Children of Heaven (1997) kekal dalam minda dan jiwa kerana “roh” yang terkandung di dalamnya; bukan kerana filem itu menampilkan watak-watak jutawan yang membincangkan projek mega sambil minum jus oren di restoran.



Begitu juga dengan filem Rashomon (1950) arahan Akira Kurosawa yang masih menjadi sebutan dan rujukan di seluruh dunia. Filem itu kaya dengan “roh” dan “semangat” Jepun.



Sekian banyak filem Hindi, Malayalam, Tamil dan Telegu dari India terus menjadi sebutan dan kekal dalam jiwa kerana walaupun mungkin filem-filem itu menampilkan kisah moden, “roh” dan “semangat” yang dibawakannya tidak lari daripada budaya tempatan (India).



Dalam hal ini, saya masih boleh menerima “roh” yang terkandung dalam filem Anak Emak.



Misalnya, dalam satu adegan di rumah Anisah, saya tertarik apabila Rogayah bertanyakan arah kiblat. Dialog ringkas “Engkau tu?” membawa seribu makna – khususnya apabila Anisah “diarahkan” oleh pengarah dan penulis skrip supaya segera menukar topik.



Sehingga ke hujung filem yang bermain dengan pelbagai emosi, konflik dan masalah, U-wei “tidak membazir masa dan filem” (tanda kutip disengajakan) untuk menunjukkan watak-watak dalam filem ini bersolat.



Saya percaya, tindakan itu disengajakan oleh pengarah sebagai suatu kritikan sosial serta mahu menggambarkan realiti seada-adanya. Namun, bukan setakat itu “roh” Melayu yang saya cari.



Mungkin saya seorang penonton yang terlalu mengharap.



Dalam pada itu, ada “sesuatu” dalam filem-filem P. Ramlee (22 Mac 1929 – 29 Mei 1973) dan Yasmin Ahmad (7 Januari 1958 – 25 Julai 2009) yang tidak pernah saya temui dalam filem sekian ramai pembikin filem yang mampu menghasilkan filem-filem Melayu berciri pecah panggung (boxoffice).



Sekadar contoh, “roh” dan “semangat” Malaysia yang terkandung dalam Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2007) dan Muallaf (2008) arahan Yasmin; serta sekian banyak filem arahan P. Ramlee yang masih menjadi sebutan ramai sehingga hari ini.



Mungkin juga filem-filem yang dihasilkan generasi muda tempatan akan mampu mengetengahkan “roh” Melayu yang masih saya cari.



Malah, mungkin saya hanya boleh menemui “roh” Malaysia dalam filem-filem pendek yang dibikin oleh individu seperti Amir Muhammad, Shanjhey Kumar Perumal, Liew Seng Tat dan “angkatan” mereka.





(© Uthaya Sankar SB 2011. Pandangan ini pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 11 April 2011 sebelum dimuatkan di blog ini pada 13 April 2011. Turut memuatkan beberapa bahan lama dari SINI.)