Uthaya Sankar SB
adalah salah seorang sasterawan Malaysia yang dikenali khalayak pelbagai kaum
di seluruh negara. Sejak mula berkarya secara profesional pada 1992, penulis
kelahiran Taiping, Perak ini berjaya melakarkan
nama dalam peta sastera kebangsaan.
Persatuan
Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia (DHRRA Malaysia) sangat mengalu-alukan
usaha menerbitkan semula novel Panchayat
(2002) dengan judul Panchayat: Edisi Khas (2012) sebagai
salah satu usaha menyajikan bahan bacaan bermutu kepada masyarakat.
Kami
di DHRRA Malaysia terlibat secara langsung dalam usaha-usaha membangunkan
penduduk luar bandar. Dalam hal ini, pendidikan dan amalan membaca menjadi
komponen penting yang mampu menjana mobiliti sosial.
Saya
mendapati bahawa novel Panchayat: Edisi
Khas sebagai sebuah karya mampu sama-sama menyumbang ke arah itu. Selain
daripada berasa seronok dan terhibur membaca sebuah novel yang penuh dengan unsur hiburan, imaginasi, didaktik, pemikiran dan emosi,
para pembaca juga berpeluang mengenali budaya kaum India dan pelbagai perkara
positif yang terkandung di dalamnya.
DHRRA
Malaysia sentiasa berusaha membantu masyarakat pelbagai kaum – khususnya
wanita, belia dan kanak-kanak – dalam segala bidang. Atas dasar itulah juga
saya memberi sumbangan ke arah penerbitan novel Panchayat: Edisi Khas.
Malah,
saya yakin bahawa novel ini perlu terbit dan menjadi bahan bacaan yang selaras
dengan salah satu objektif DHRRA Malaysia, iaitu membina keyakinan dalam diri
anggota masyarakat.
Saya
mengenali Uthaya sejak sekolah rendah dan berpeluang melihat sendiri serta mengagumi
pencapaiannya sejak awal dalam bidang penulisan kreatif; khususnya cerpen,
sajak dan novel.
Karya-karya
pengarang ini sentiasa mendapat tempat di pelbagai media konvensional dan
alternatif. Pasti sahaja kualiti penulisan menjadi punca segala kejayaan ini.
Uthaya
berjaya membuktikan bahawa bakat bahasa dan penulisan boleh dijadikan alat,
wahana atau senjata untuk berhujah, menyampaikan idea dan mengubah minda masyarakat
ke arah yang positif.
Semoga
novel ini mendapat sambutan orang ramai. Kepada sahabat saya, Uthaya, semoga
beliau terus aktif berkarya demi memperkaya khazanah sastera kebangsaan dengan bahan bacaan
bermutu.
[Catatan
oleh Saravanan M. Sinapan, Presiden DHRRA Malaysia dalam novel Panchayat: Edisi Khas]