Bayangkan senario ini:
Anda seorang polis berumur hampir 30 tahun, ketinggian 183 sentimeter, berwajah
kebudak-budakan dan iras wajah lembut. Anda masih bujang,
pemalu dan boleh pengsan jika melihat darah.
Anda sedang berbaring
di tingkat atas katil dua tingkat yang sempit di dalam sebuah kereta api dari
Nagasaki, Jepun menuju ke Tokyo. Sekitar pukul 1:00 tengah malam, tiba-tiba
muncul seorang penumpang wanita dalam lingkungan umur awal 20-an dan memakai
skirt berwarna biru. Walaupun tidaklah secantik bidadari, dia tetap comel.
Bayangkan juga bahawa
apabila anda bangun pada sebelah pagi, kereta api sudah sampai di stesen
Toyohashi dan wanita berkenaan yang pada malam tadi “bergerak sepantas kucing”
sudah tidak kelihatan. Lebih membingungkan apabila pemeriksa tiket mengesahkan
bahawa memang tidak ada penumpang di tempat duduk bawah itu.
Demikian bahagian
prolog “Misteri Banglo Kucing” (2011)
iaitu novel misteri ketiga karya pengarang Jepun, Jiro Akagawa yang menampilkan
seekor kucing triwarna yang membantu pegawai polis tadi – Yoshitaro Katayama –
menyelesaikan pelbagai kes penuh misteri.
Novel pertama dalam siri ini, “Pembunuhan di Universiti Hagoromo”
(2010) telah saya baca apabila menerimanya sebagai hadiah daripada penerbit
sempena Pesta Buku Negeri Selangor pada 4 Julai 2010. Kehebatan kisah penyiasatan
penuh misteri berterusan dalam buku kedua berjudul “Misteri Pembunuhan Sawako” (2011).
Katayama ditampilkan sebagai seorang peminat novel penyiasatan dan
pemuda itu cuba mengaplikasi minat berkenaan dalam penyiasatan pelbagai kes.
Wira (atau wirawati) sebenar adalah Homuzu, seekor kucing betina triwarna di
mana hampir kesemua bahagian belakangnya berwarna perang dan hitam; perutnya
putih; manakala kaki kanan depannya berwarna hitam tetapi kaki kirinya berwarna
putih.
Saya pernah menulis komen mengenai novel
pertama dalam siri ini dengan tajuk “Novel Berhantu” (The Malaysian Insider, 28 Mac 2011).
Sukacita saya melaporkan bahawa kelemahan bahasa serta pelbagai komen lain yang
saya berikan telah diberi perhatian serius oleh One Nusantara Sdn Bhd secara
positif. Hasilnya adalah siri novel penyiasatan Jepun yang seronok dibaca dalam
Bahasa Malaysia yang betul dan berwibawa.
Jiro Akagawa lahir pada
29 Februari 1948 (tahun lompat) dan menjadi novelis sepenuh masa sejak berusia
28 tahun. Beliau khabarnya menghasilkan sekitar 15 novel setahun dan kebanyakan
karyanya dijadikan cerita animasi, selain diadaptasi ke filem. Beliau
pasti sahaja antara novelis paling berjaya dan penerima royalti paling tinggi
di Jepun.
Berbalik pada “Misteri
Banglo Kucing”, selain menampilkan kisah penyiasatan dan misteri, novel ini
juga membantu pembaca untuk mengenali budaya dan cara hidup moden penduduk di
Negara Matahari Terbit.
Novel setebal 300 halaman ini terdiri daripada empat bab bertajuk
“Kucing Putih”, “Kucing Merah”, “Hantu Kucing” dan “Kucing Jelitawan”. Setiap
bab pula dibahagikan kepada empat hingga tujuh bahagian. Bahagian-bahagian itu seterusnya
dipecahkan menjadi beberapa babak/adegan; sekali gus membuatkan proses
pembacaan amat lancar dan tidak kelihatan terlalu panjang/lama.
Sekiranya anda – atau
anak-anak anda – kurang gemar membaca, jadikan sahaja “Siri Kucing Triwarna”
sebagai hadiah istimewa. Saya yakin bahawa Homuzu – selain Yoshitaro,
Harumi dan watak-watak lain – akan berjaya menimbulkan minat membaca secara
penuh misteri!
(Ulasan buku ini ditulis
pada 27 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)