12 Mar 2012

Penulis Kaum India dalam Penulisan Kreatif

Kaum India tidak kurang hebatnya menghantar wakil sebagai penulis-penulis yang berbakat besar. Mereka mempunyai jumlah pengarang yang agak besar.

Uthaya Sankar SB, Saroja Theavy Balakrishnan, Raja Rajeswari Seetha Raman, Sritharanee Subramaniam dan S.G. Prabhawathy merupakan nama-nama yang sering terpampang di ruangan-ruangan sastera di media arus perdana.

Namun, pengarang-pengarang daripada kaum India yang paling menyerlah ialah Uthaya Sankar SB dan Saroja Theavy Balakrishnan.

Uthaya pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dengan kumpulan cerpennya yang berjudul Yang Aneh-aneh [Pembetulan: Judul sebenar buku ialah Surat Dari Madras]. Beliau merupakan penulis yang paling prolifik, novel-novelnya seperti Hanuman: Potret Diri dan Panchayat mendapat perhatian pengkritik sastera.

Begitu juga dengan Saroja, beliau pernah memenangi hadiah pertama dalam pertandingan Formula Malaysia dengan cerpennya yang bertajuk “Kandil-kandil Hijau” [Pembetulan: Judul sebenar cerpen ialah “Kilau-Kemilau Kandil Hijau”]. Beliau juga menghasilkan kumpulan cerpen iaitu Gemerlapan.

Penulis-penulis kaum India ini yang berkarya dalam Bahasa Malaysia juga menubuhkan persatuan mereka sendiri iaitu Kavyan. Kumpulan ini sering menganjurkan acara sastera seperti diskusi karya serta baca puisi dan cerpen.

(Dipetik daripada makalah tulisan Khairul Nizam Abd Raub yang disiarkan dalam majalah Tunas Cipta, Jun 2009. Sila baca juga catatan berkaitan DI SINI.)