28 Jan 2012

Panchayat: Bahagian 4 – Kaali Devi

[Penduduk Kubur Gajah dikejutkan dengan berita kehilangan berhala Kaali Devi.]

Kaali Devi …”


Malam tadi hujan turun renyai-renyai. Melihatkan petir dan guruh di langit, saya fikir hujan lebat akan turun. Tapi hujan renyai sahaja yang membasahi tahan Kubur Gajah selama hampir dua setengah jam mulai tengah malam.


Saya menggeliat dalam keadaan masih mengantuk. Apa tidaknya. Sebaik sahaja hujan berhenti tadi, udara terasa sungguh hangat.


Manalah saya boleh tidur dalam keadaan macam itu. Berkali-kali saya mengambil kipas tangan dan mengipas pada badan yang terasa gerah. Namun begitu, bahang masih kuat terasa. Tentu bapa juga tidak dapat tidur nyenyak malam tadi.


Bapa tentu sudah keluar sekarang. Kalau tidak, pasti akan kedengaran suara bapa membaca mantera sambil membunyikan loceng di bilik pooja. Suara lantangnya selalu sahaja mengganggu tidur saya pada awal pagi begini.


Tadi ada emak tergesa-gesa membangunkan bapa.


“… Kaali Devi …”


Itu sahaja yang saya dapat tangkap daripada perbualan bapa dan emak. Saya terlalu mengantuk untuk bangkit dan mengambil tahu apa yang berlaku.


Kalau tak silap saya, emak ada juga mengejutkan saya. Tapi saya tidak ingat apa-apa. Tentu sahaja saya telah menyambung tidur. Tambahan pula, hari ini hari Ahad. Saya suka bangun lewat pada hari Ahad.


“Macam mana kejadian itu berlaku?”


Saya terdengar suara Malliga Akka. Dia berjalan masuk ke bilik bersama Revathi Akka.


“Entahlah, akka. Tak tau pula siapa yang tergamak melakukannya,” sahut Revathi Akka.


Saya lihat kekesalan terpancar pada wajah mereka berdua. Mereka menghampiri bakul berisi pakaian terpakai yang sedia untuk dibasuh, mengambil satu per satu, memeriksa saku pakaian untuk memastikan tidak ada apa-apa yang tertinggal di dalamnya, lalu memasukkannya ke dalam sebuah lagi bakul untuk dibawa ke belakang rumah untuk dibasuh di tepi perigi.


“Apa halnya, akka?” Tanya saya dengan perasaan ingin mengetahui apa yang sedang mereka bualkan.


Malliga Akka memandang tajam ke muka saya. Revathi Akka juga. Untuk seketika, saya merasakan seperti orang bersalah yang dihadapkan ke panchayat.


“Awak tak tau lagi?”


“Tak tau apa pula, akka?”


“Berhala Kaali Devi di kuil Maha Kaali!”


“Berhala Kaali Devi? Saya terdengar emak menyebutnya kepada bapa tadi,” kata saya sambil masih tertanya-tanya dalam hati. “Tapi apa yang terjadi?”


“Berhala Kaali Devi sudah hilang!”


Saya lihat mata Revathi Akka terbeliak apabila dia berkata demikian. Mata Malliga Akka juga. Dan begitu juga mata saya.


Berhala Kaali Devi sudah hilang? Cuak saya dibuatnya. Siapa yang punya angkara? Tapi … bagaimana? Bukankah berhala itu sudah berada di kuil Maha Kaali sejak lama dahulu. Siapa pula yang berani mencurinya?


Mencuri! Bayangkan: mencuri berhala Kaali Devi.


“Macam mana semua ini terjadi, akka?”


“Entahlah, Ragu. Saya pun tak tahu cerita sepenuhnya. Pagi tadi, orang kampung datang mengadu kepada bapa tentang kehilangan berhala itu.”


“Saya pula terdengar suara riuh-rendah di hadapan kuil semasa hendak ke mari tadi,” Revathi Akka mencelah. “Apabila saya tanya apa yang terjadi, Si Gopu beritahu bahawa Kaali Devi sudah lesap.”


Apakah makna semua ini?


“Hairan, ya,” tambah Malliga Akka dengan suara yang lebih terkawal. “Baru petang semalam kita tengok berhala itu masih ada di kuil Maha Kaali. Tiba-tiba sahaja ia sudah ghaib pagi ini. Cukup menghairankan.”


Saya mendengar sahaja tanpa masuk campur.


“Yalah, akka. Ingat lagi tak tentang Sitambaram dan kawan-kawannya di kuil semalam? Tingkah laku mereka tu memang meragukan. Mungkinkah …?”


“Isy!” Malliga Akka memintas. “Tak baik awak menuduh tanpa bukti. Mereka orang kampung kita. Takkan mereka sendiri berani mencuri berhala Kaali Devi.”


“Malliga! Revathi!”


Perbualan kami diganggu oleh laungan itu. Suara Ramani Mama, saya rasa.


“Revathi!” Ramani Mama berkata sambil tergesa-gesa masuk ke bilik. “Malliga Anni!”


Apa kena dengannya? fikir saya.


“Nampak Raja Anna, tak?”


“Raja Attan?” Tanya Malliga Akka dengan suara cemas. “Kenapa? Kenapa?”


“Nampak Raja Anna, tak?” Ramani Mama bertanya semula dengan nada yang berbaur antara cemas dan tegas.


“Tak,” jawab Revathi Akka. “Bukankah senja semalam attan yang menghantar kami pulang?”


“Awak tak nampak Raja Anna selepas itu?” Ramani Mama menghampiri Revathi Akka; memegang lengannya.


Revathi Akka menggeleng dengan kening berkerut.


Ramani Mama melepaskan pegangan pada lengan tadi, mendongak memandang lampu di siling, menarik nafas dalam-dalam, melepaskannya keluar dengan sekali hembus, lalu memandang kami.


“Kenapa, mama? Raja Mama tak apa-apa, kan?” Saya cuba kelihatan tenang.


“Tak ada apa-apa. …”


Saya pasti Ramani Mama cuba berdalih. Kalau tidak ada apa-apa yang berlaku, masakan wajahnya kelihatan seperti ditampar syaitan; lesu berpeluh.


“Apa yang terjadi?” Malliga Akka mula mendesak; hampir mahu menitiskan air mata. “Elok awak berterus-terang.”


“Raja Anna …”


Kenapa dengannya? Kenapa dengannya?


“Raja Anna tak pulang sejak petang tadi.”


“Tak pulang? Tak pulang sejak kita ke kuil?” Malliga Akka kelam-kabut. Matanya memerah. “Bukankah dia ke kandang lembu? Ya, ya. Dia kata dia nak ke kandang lembu. Awak dah cari dia di sana? Tentu dia di sana. Oh, Tuhan! Harap Raja Attan tak apa-apa. Oh, Tuhan! Apa yang sedang berlaku ni?”


Revathi Akka menenangkan Malliga Akka. Dia diam akhirnya. Tapi masih kelihatan cemas.


“Awak dah cari di kandang?” Tanyanya lagi.


“Sudah, anni.” BERSAMBUNG [di sini]


Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 18 Jun 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 28 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Sudah dimaklumkan sejak awal bahawa penulis boleh dihubungi menerusi e-mel untuk sebarang komen bagi “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012. Maka, sebarang komen selepas itu tidak akan dilayan.)