27 Jan 2012

Anekdot Bekerja Bersama Pak Menteri

Sejak awal, pengarang Working for Dr Goh Keng Swee: Collection of Anecdotes (November 2011) sudah menyatakan bahawa beliau tidak mendedahkan sebarang maklumat sulit atau rahsia rasmi kerajaan Singapura menerusi buku ini.

Malah, Dhoraisingam S. Samuel secara penuh sedar memilih untuk tidak menyebut nama para pegawai dan kakitangan di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran yang terlibat secara langsung dalam kisah, pengalaman dan memoir berbentuk anekdot ini.


Sejak Singapura menjadi sebuah republik – atau “ditendang keluar” seperti kata sesetengah pihak – hubungan bersama Malaysia umpama pasangan muda yang bercerai. Ini pandangan saya, bukan pandangan si pengarang!


Lalu, kita sentiasa cemburu dan mengiri kejayaan dan pengalaman pulau kecil itu; dan begitulah juga khabarnya sebaliknya. Memoir A Doctor in the House (2011) oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sedikit sebanyak turut mendedahkan/membuktikan realiti ini.


Buku oleh Dhoraisingam pula mengumpulkan pengalaman tokoh pendidik dan sejarahwan ini bekerja untuk mendiang Dr Goh yang meninggal dunia pada 14 Mei 2010 semasa berumur 91 tahun.


Pengarang menceritakan bahawa pada 23 Mei 2010, beliau mengimbau kenangan dan pengalaman bekerja bersama Dr Goh – pada mulanya sebagai penolong pengarah pendidikan di Kementerian Pelajaran, dan kemudian sebagai ketua jabatan pendidikan di Kementerian Pertahanan apabila mendiang menjadi menteri di sana.


Semasa membaca buku berkenaan pada 6 Januari 2012, entah mengapa saya asyik teringat akan frasa “bekerja bersama saya, bukan untuk saya” (“work with me, not for me”) yang amat popular buat seketika selepas diucapkan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 November 2003 sebaik beliau memegang jawatan Perdana Menteri.


Bagaimanapun, ternyata Dhoraisingam bukan menceritakan pengalaman bekerja “untuk” (for) Dr Goh; sebaliknya bekerja “bersama” (with) menteri itu selama hampir 12 tahun.


Membaca koleksi anekdot ini memberi kita (baca: orang Malaysia) ruang dan peluang “mengintip” apa-apa yang berlaku dalam kedua-dua kementerian terbabit; khususnya dalam bidang pendidikan.


Buku setebal 152 halaman ini yang diterbitkan sendiri oleh Dhoraisingam dengan bantuan dana daripada anaknya, Anasuya, turut dipenuhi foto serta salinan artikel dan dokumen penting.


Pengarang membahagikan buku ini kepada dua bahagian – iaitu pengalaman di dua kementerian berbeza – serta menulis bab-bab yang ringkas; sekali gus sesuai juga dibaca individu yang sentiasa sibuk atau buat-buat sibuk.


Dhoraisingam tidak memuji, memuja, mengampu atau mengagung-agungkan bekas mentornya. Sebaliknya beliau menceritakan secara telus dan bersahaja, segala pengalaman terlibat sama dengan Dr Goh dalam menggubal serta melaksanakan pelbagai dasar berkaitan pendidikan di kedua-dua kementerian terbabit.


Agak menarik untuk membaca bagaimana “arahan” supaya kakitangan kementerian bercuti bersama keluarga di Tasik Toba, Sumatra dan kemudian di Jawa, sebenarnya tidak sekadar bertujuan untuk melancong dan membazir wang rakyat.


Dhoraisingam turut menceritakan mengenai Khidmat Negara (National Service) yang antara lain bertujuan memastikan golongan muda mendapat latihan sepenuhnya supaya berpeluang mendapat pekerjaan yang sesuai sebaik tamat latihan.


Anekdot lain yang dikongsi adalah mengenai penekanan yang diberikan oleh Dr Goh terhadap penggunaan Bahasa Inggeris yang mudah dan tepat dalam segala urusan; sambil memastikan tidak berlaku kesalahan ejaan dan tatabahasa dalam kalangan kakitangan kedua-dua kementerian yang diterajuinya.


Semasa menjadi Menteri Pertahanan, Dr Goh menggalakkan muzik dan nyanyian dalam kalangan anggota dan pegawai tentera kerana mendiang mahu benteng pertahanan negara sentiasa ceria dan tidak membosankan.


Sewaktu memikul tugas sebagai Menteri Pelajaran, mendiang menggalakkan kakitangan kementerian belajar bahasa kedua. Bagi memantapkan penggunaan Bahasa Inggeris, mereka digalakkan membaca buku The Complete Plain Words (1958) oleh Ernest Gowers.


Dhoraisingam turut berkongsi pengalaman dan kisah berkaitan usaha-usaha yang dilakukannya bersama (bukan “untuk”) Dr Goh bagi membaiki imej profesion perguruan di Singapura.


Pengarang sendiri adalah bekas pendidik dan terus menjadi pensyarah undangan di pelbagai institusi pengajian sejak bersara (1985) hingga kini.


Beliau yang juga bekas presiden Persatuan Sejarah Singapura dan bekas ahli Lembaga Pengarah Muzium Sejarah Singapura menggunakan sebaik-baiknya minat, bakat, pengalaman, maklumat dan kepakaran yang dimiliki untuk menghasilkan sebuah buku yang agak komprehensif dan seronok dibaca.


Buku-buku yang ditulis Dhoraisingam sebelum ini termasuk Singapore’s Heritage Through Places of Historical Interest (1991, 2010), Tan Tock Seng: His Life, Times, Contributions and Legacy (2003) dan Peranakan Indians of Singapore and Melaka: Indian Babas and Nyonya – Chitty Melaka (2006).


Pasti banyak yang boleh kita – khususnya kakitangan awam di Malaysia dan Singapura – pelajari menerusi koleksi anekdot ini.


Tulisan cetakan besar juga sebenarnya amat berguna kerana mungkin ada individu di Putrajaya yang “hampir bersara” akan teruja untuk membaca buku ini sebelum menghasilkan koleksi anekdot sendiri berdasarkan pengalaman bekerja di bawah/untuk/bersama pak menteri itu dan mak menteri ini.


Buku Working for Dr Goh Keng Swee dilancarkan oleh bekas Presiden Singapura, SR Nathan pada 25 Januari 2012 di Institute of Southeast Asian Studies.


(Uthaya Sankar SB adalah seorang penulis bebas dan merupakan kolumnis di Free Malaysia Today sejak 18 Januari 2011. Buku Working for Dr Goh Keng Swee: Collection of Anecdotes diterima sebagai hadiah Krismas daripada pengarang. Ulasan ini ditulis pada 6 Januari 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 20 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk membaca maklumat mengenai usaha menulis ulasan buku.)