Akhbar berkenaan melaporkan bahawa usaha mendapatkan sokongan menerusi Facebook adalah sebagai tambahan kepada kempen mengumpul tandatangan yang juga sedang dijalankan NIAT.
“Usaha NIAT akan diteruskan sehingga kerajaan bersetuju untuk menarik balik novel Interlok yang kandungannya ternyata bertentangan dengan ajaran mana-mana agama,” kata Haji Tasleem.
Katanya, bahasa, watak dan perwatakan serta kisah yang dipaparkan dalam novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu bersifat menghina dan menjatuhkan maruah kaum Melayu, Cina dan India di negara ini.
Beliau turut menyeru orang ramai, pendidik, pelajar dan pemimpin masyarakat menyokong kempen NIAT menolak Interlok (“Say No To Interlok”) menerusi Facebook.
Untuk berlaku adil dan objektif, sebaik menerima maklumat mengenai paparan berita ini dan membacanya, saya ke laman Facebook “Say No To Interlok” yang dimaksudkan.
Kenyataan Haji Tasleem menyebut bahawa 50,000 orang menyokong kempen “Say No To Interlok” sejak tiga hari lalu; tetapi saya hanya melihat angka 14,645 semasa menyemaknya pada jam 10:20 pagi. Mungkin saya melihat laman yang salah.
Dalam pada itu, pada 12 November lalu, NIAT sudah menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong [BACA DI SINI] sebagai kempen mendesak Interlok dikeluarkan dari sekolah.
Malah, NIAT juga pernah mengumumkan – tetapi tidak melaksanakan – keputusan mengadakan “mogok lapar sehingga mati” sekiranya novel Interlok tidak ditarik balik daripada dijadikan teks Komsas.