3 Aug 2011

Kasih Puan Siti – Bahagian 1

[Parodi ini ditulis sempena ulang tahun pertama suatu ‘insiden terpencil’ di sebuah sekolah di Kulaijaya - BACA DI SINI - dan Bahagian Pertama disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 1 Ogos 2011.]

“Saya sudah menghubungi pihak berkenaan dan sukacita saya maklumkan kepada semua yang menghadiri mesyuarat ini bahawa jabatan pelajaran tidak ada sebarang masalah berhubung cadangan sekolah kita mengadakan acara khas seperti dirancang.”

Sambil memaklumkan perkara itu semasa mesyuarat guru, Puan Siti memandang para guru seorang demi seorang; bagaikan mahu memastikan rancangan berkenaan mendapat sokongan dan persetujuan semua.

Para guru mengangguk. Mereka amat yakin bahawa Puan Siti tentu arif dalam hal membuat keputusan bijak memandangkan beliau bukan calang-calang pengetua.

Ketokohan beliau sebagai pengetua cemerlang bukan sahaja menjadi kebanggaan Sekolah Menengah Kebangsaan Che’ Wan Thani, malah menjadi kemegahan seluruh daerah dan negeri.

Nama beliau mula menjadi terkenal di seluruh negara berikutan ucapan penuh bersemangat yang beliau sampaikan semasa merasmikan Bulan Kemerdekaan pada 12 Ogos lalu.

“Kita adalah bersaudara. Kita adalah satu bangsa: Bangsa Malaysia. Tiada sesiapa pun yang menjadi penumpang, pendatang atau bangsa asing di tanah bertuah ini.”

Kata-kata yang diucapkan secara spontan itu mendapat tepukan gemuruh para pelajar, guru, kakitangan, wakil PIBG dan wakil jabatan pelajaran yang hadir.

Seluruh warga SMK Che’ Wan Thani maklum bahawa apa yang dikatakan oleh Puan Siti lahir secara ikhlas dari jiwanya. Tanyalah pada pelajar yang paling nakal atau pelajar dengan masalah disiplin paling teruk sekali pun. Mereka juga pasti akan mengakui kehebatan Puan Siti sebagai pemimpin yang disegani dan dihormati.

Kata-kata motivasi yang penuh ikhlas itu mula tersebar di ruang siber apabila sekumpulan pelajar memuatkannya pada ruangan status di Facebook.

Untuk seketika, Puan Siti menjadi semacam ‘fenomena’ yang lebih hebat daripada Datuk Siti Nurhaliza dan aura yang pernah dibawakan Mawi.

Laman rangkaian sosial ternyata menjadi media komunikasi dan penyebar maklumat alternatif yang sangat berkuasa. Dalam masa beberapa jam sahaja, ruangan komen pada status para pelajar terbabit mula dihujani pelbagai kekaguman yang dilahirkan rakan-rakan siber kepada pelajar terbabit.

Secara umum, kesemuan komen yang dipaparkan itu mengungkapkan rasa kagum dan terharu masyarakat umum pelbagai kaum terhadap semangat integrasi tulen yang dimiliki Puan Siti.

“Siapa Cikgu Siti?”

Demikian balasan komen daripada rakan-rakan di luar Taiping yang tidak mengenali pengetua itu. Serta-merta juga ramai pengguna Internet mula mencari nama itu menggunakan engin pencarian.

Masing-masing mahu tahu siapakah individu berkenaan yang telah mampu merangkumkan seluruh semangat perjuangan ke arah pembinaan negara bangsa melalui tiga ayat yang ringkas, padat dan mewakili suara seluruh warga berjiwa patriotik.

Keesokannya, pejabat sekolah mula dihubungi wakil media yang amat berminat membuat laporan khas mengenai Puan Siti. Memanglah apa yang berlaku adalah di luar jangka sesiapa di SMK Che’ Wan Thani; termasuk pengetua itu sendiri.

“Saya tidak menyangka kata-kata saya akan menimbulkan gelombang positif yang amat menggembirakan seperti ini,” kata beliau kepada wakil media. “Saya hanya meluahkan apa yang ada di hati saya sejak lahir; bahawa semua penduduk di negara ini – tanpa mengira kaum, agama, budaya, bahasa, etnik, profesion, kedudukan dan lokasi geografi – perlu sama-sama menyedari bahawa negara ini adalah negara kita semua.”

Kenyataan itu disokong para guru serta ahli keluarga dan sesiapa yang mengenali Puan Siti sejak kecil.

Tiada sesiapa pun yang menjadi penumpang, pendatang atau bangsa asing di tanah bertuah ini.”

Kata-kata itu menjadi sebutan ramai. Para pengetua dan guru besar dari hampir semua sekolah seluruh negeri – malah, khabarnya seluruh negara – mula menggunakan ayat itu secara spontan; selaras dengan slogan 1Malaysia yang menjadi amalan wajib di serata tempat.

Selama hampir sebulan, ‘gelombang’ yang dicetuskan secara spontan oleh Puan Siti terus beriak di seluruh negara. Malah, dengan adanya akhbar-akhbar alternatif dalam talian serta ruang siber tanpa sempadan, kehebatan Puan Siti terus menjadi sebutan.

Semangat perpaduan, persefahaman, toleransi, saling menghormati dan kesediaan menerima perbezaan semakin meluas dalam kalangan warga SMK Che’ Wan Thani. Secara tidak langsung, sekolah berkenaan menjadi model dan ikutan sekolah-sekolah lain.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Puan Siti mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri. Seperti biasa, guru dan pelajar pelbagai kaum tidak melepaskan peluang mengunjungi keluarga beliau. Malah, jumlah pengunjung bertambah dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Tidak ubah seperti rumah terbuka pemimpin politik,” kata Cikgu Pragasam kepada Cikgu Hadebah.

“Inilah semangat sebenar gagasan 1Malaysia seperti yang diimpikan Perdana Menteri,” sampuk Cikgu Tan Lian Hoe. - bersambung ...