6 May 2011

OKU kecewa cara penguatkuasa MPK rampas barangan

KLANG – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) meluahkan rasa kecewa dengan cara beberapa pegawai dari Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) merampas barangan jualannya di hadapan sebuah premis kedai di Taman Sentosa, di sini, pada 30 April 2011.

Lee Fan Kim, 49, berkata, beberapa penguatkuasa MPK merampas barangan jualan seperti sarung kaki, cermin mata dan dompet yang dijualnya di kaki lima sebuah kedai di Jalan Dato Yusuf Shahbuddin, Taman Sentosa dengan alasan menjalankan perniagaan tanpa lesen dari MPK.


“Saya sebenarnya sudah beberapa kali memohon lesen kepada MPK tetapi tidak diluluskan. Saya terpaksa meneruskan perniagaan kerana perlu menanggung anak-isteri,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Ketua MCA Bahagian Kota Raja, Lim Kim Hwi di sini, pagi tadi (6 Mei 2011).


Hadir sama, Ketua Pemuda MCA Kota Raja, Looi Eng Wah dan Penolong Setiausaha, Quah Saw Choon.


Kim Hwi turut meluahkan rasa kecewa dengan cara lelaki OKU berkerusi roda itu dilayan penguatkuasa terbabit.


“Agak malang apabila Kerajaan Negeri Selangor melaungkan kempen prihatin terhadap golongan istimewa tetapi masih ada kes-kes seperti ini di mana individu OKU dilayan secara kasar,” katanya kepada pemberita selepas mendengar kisah Fan Kim.


Menurut Kim Hwi, MCA Kota Raja akan menghubungi Yang Dipertua MPK untuk mengadu perkara ini serta mendapatkan penjelasan.


“Saya difahamkan bahawa Fan Kim juga pernah terima kompoun sebanyak dua kali sebelum ini, jadi kami akan minta jasa baik MPK batalkan saman itu atau kurangkan kompoun,” katanya.


Wakil media yang mahu menghubungi Lim Kim Hwi dan Lee Fan Kim boleh menghubungi Uthaya Sankar SB (016-3288142) selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya yang turut menawarkan khidmat rundingan percuma kepada orang ramai.


Keterangan Foto: Lim Kim Hwi (kiri) dan jawatankuasa MCA Kota Raja mendengar cerita Lee Fan Kim (tengah) di Klang.