3 Apr 2011

Mendengar Suara Hati Remaja

Encik Aman Koh dari One Nusantara Sdn Bhd mengatur satu pertemuan bersama sekumpulan remaja lelaki pada pagi, 2 April 2011 di Kepong.


Sebelum itu, pada pukul 10:00 pagi, saya bertemu Encik Aman Koh untuk bersarapan (roti canai dan kopi suam) sambil membincangkan perkembangan terbaru pelbagai isu. Khususnya mengenai kedudukan saya sebagai penulis bebas dan Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.


Beliau menyerahkan lima kotak kad nama (5 x 100 = 500 keping) terbaru yang dicetak dengan memasukkan maklumat terkini.


Turut dibincangkan projek penulisan buku motivasi yang sebenarnya sudah kami berdua bualkan semasa pertemuan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada tengah hari, 26 Mac 2011.


Pada pukul 11:00 pagi, saya bertemu Lee Jun Yong, Kok Jian An, Soo Ting Li, Jason Koh Kia Cheng, Edison Lee Ee Meng dan Low Min Yon dari SMK Kepong Baru. Kami berbual mesra – sambil makan dan minum – berhubung pelbagai perkara dan isu yang dekat dengan diri dan jiwa mereka sebagai pelajar dan remaja.


Hasil pertemuan dan sesi perbualan santai selama hampir dua jam itu, banyak maklumat berguna yang saya terima dari perspektif golongan remaja berhubung pelbagai topik yang bakal terangkum juga dalam buku motivasi remaja yang sedang saya usahakan.


Saya amat berterima kasih kepada keenam-enam remaja berkenaan yang sudi berkongsi cerita secara terbuka. Terima kasih juga kepada Encik Aman Koh yang “menaja” kos makan-minum kami!


Selepas pertemuan itu, saya dan Encik Aman Koh ke sebuah kedai lain untuk meneruskan perbincangan secara serius mengenai projek buku motivasi; sambil minum lagi.


Segalanya nampak positif dan saya secara peribadi lebih bersedia untuk menulis buku motivasi remaja sebagaimana dirancang; meliputi pelbagai topik yang dekat dengan diri golongan remaja.


Dalam pada itu, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa kumpulan pelajar pelbagai kaum, agama, latar belakang, umur dan sebagainya untuk mendapatkan lebih banyak maklumat (input) dari semasa ke semasa.