19 Apr 2011

Media: Aduan Nelayan di Pontian

Pontian, 19 April 2011 – Nelayan di Kampung Sungai Dinar, Kampung Sungai Cengkih dan Kampung Sungai Boh, di sini, melahirkan rasa kurang puas hati kerana pendapatan mereka terjejas teruk berikutan kerja-kerja pembangunan di muara Sungai Pulai.


Setiausaha Biro Kebajikan, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Sungai Cengkih Kawasan 1, Mukim Serkat, Ab. Hamid Ahmad berkata, nelayan hilang pendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan berikutan lubuk tempat menangkap udang laut, ikan dan ketam ditimbus dengan pasir untuk dijadikan tapak industri petrokimia.



“Syarikat terbabit telah mengubah lokasi jeti nelayan kepada lokasi baru di sungai buatan manusia di mana hutan bakau ditebang dan lumpur dikorek untuk dijadikan sungai.



“Kini nelayan hanya boleh pergi balik ke jeti semasa air pasang. Tidak seperti dahulu, nelayan boleh ulang alik ke laut pada bila-bila masa,” katanya dalam aduan menerusi e-mel kepada Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.



Menurut Ab Hamid, banjir juga sering berlaku sejak kerja-kerja pembangunan tapak industri petrokimia itu, sekali gus merosakkan tanaman kebun dan rumah penduduk.



“Sejak hutan simpan Sungai Pulai dijadikan tapak industri petrokimia, banyak hutan bakau ditebang. Akibatnya, kera dari hutan mula masuk ke kampung dan merosakkan kebun serta menceroboh rumah penghuni kampung.



“Selain itu, kampung kami terdedah kepada serangan nyamuk hutan bakau yang menyerang dari waktu Maghrib hingga larut malam. Ketenteraman dan keselamatan kami sangat terganggu,” katanya.



Dalam e-mel kepada Uthaya Sankar SB, Setiausaha Biro Kebajikan JKKK itu turut menyenaraikan pelbagai masalah yang dihadapi penduduk tempatan tetapi belum mendapat pembelaan daripada pihak berkenaan.



Antaranya, corong loji janakuasa elektrik arang batu yang melepaskan asap busuk dari tengah malam hingga subuh serta lambakan pekerja asing.



“Syarikat industri petrokimia terbabit ada membuat perjanjian tetapi hanya melibatkan 18 nelayan dari Kampung Sungai Cengkih, Sungai Dinar dan Sungai,” katanya.



Menurut kandungan e-mel itu lagi, JKKK terbabit pernah mengutarakan masalah tersebut kepada ADUN dan Ahli Parlimen berkenaan tetapi “sehingga sekarang masih sepi”.



“Sekurang-kurangnya kami berharap syarikat terbabit, ADUN dan Ahli Parlimen sudi menerima pelawaan penduduk kampung untuk berdialog bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.



“Kami tidak menghalang pembangunan, tetapi janganlah sampai menyekat periuk nasi dan membuatkan kami seperti menumpang di negara sendiri,” katanya.



Ab Hamid juga berharap, syarikat petrokimia terbabit dapat memberi keutamaan kepada penduduk tempatan dari segi pekerjaan, selain menyumbang kepada kebajikan golongan OKU dan orang miskin serta aktiviti sekolah dan kampung.



Ahli Parlimen Tanjung Piai ialah Datuk Wee Jeck Seng manakala ADUN Kukup ialah Datuk Md Othman Yusof.



Wakil media yang berminat membuat liputan lanjut mengenai aduan ini boleh menghubungi Uthaya (uthayasb@yahoo.com.my) untuk mendapatkan nombor telefon Ab. Hamid dan foto-foto berkaitan.



Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Uthaya’s Media, Motivation and Publication Consultancy) menyediakan khidmat nasihat percuma kepada orang ramai yang menghadapi masalah birokrasi atau mempunyai aduan untuk disalurkan kepada media.