18 Apr 2011

Yang Mana Satu?

Berikut kenyataan oleh Uthaya Sankar SB pada 18 April 2011, jam 11:00 pagi:


1. Dalam isu Kamus Dewan yang dikatakan mengandungi perkataan-perkataan yang menyinggung perasaan kaum India, Kementerian Pelajaran memberi alasan bahawa “ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu, dan bukan dari kaca mata bangsa lain. ... Setiap bangsa di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu” [RUJUK DI SINI]



2. Pada 15 Disember 1952, pernah ada saranan di Melaka supaya Oxford Junior Encyclopedia yang diterbitkan Oxford University Press dan dijual di Singapura dibakar kerana mengandungi perkara yang menyinggung perasaan kaum Melayu di Tanah Melayu. [RUJUK DI SINI]



3. Seorang individu yang menggunakan nama ‘Ku Seman’ menulis komen di bawah laporan di The Malaysian Insider (17 April 2011) bahawa “Bahasa Malaysia adalah ‘bahasa di pasar’ di mana orang Melayu cakap loghat India atau Cina. Atau orang India cakap Melayu loghat India”. [RUJUK DI SINI]



4. Ternyata ‘Ku Seman’ adalah “budak hingusan” yang tidak tahu apa-apa mengenai sejarah dan perkembangan bahasa kebangsaan di negara ini. “Budak hingusan” itu ternyata tidak tahu bahawa istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan pada tahun 1970. Malah, pada Mei 2007, Kabinet memutuskan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa kebangsaan. [RUJUK DI SINI]



5. Amat menghairankan juga mengapa Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia di portal rasmi kementerian berkenaan tidak menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa kebangsaan negara ini.



6. Pada November 1956, ada permintaan supaya kenyataan “kaum pemalas” terhadap kaum Melayu dalam buku teks sekolah dibuang kerana memalukan orang Melayu. [RUJUK DI SINI]



7. Bagaimanapun, dalam isu novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) yang dijadikan teks Komsas, kenyataan serupa (“kaum pemalas”) dibiarkan dengan alasan kenyataan itu tidak menyentuh sensitiviti Melayu.



8. Saya serahkan kepada wakil media dan orang ramai untuk membuat penilaian serta analisis berhubung perkara-perkara ini dengan fikiran matang.




Nota: Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa. Belia juga presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan Writers’ Group) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Uthaya’s Media, Motivation and Publication Consultancy).