19 Apr 2011

Perkembangan Novel Interlok Edisi Murid

Terima kasih kepada wakil media dan orang ramai yang menghubungi saya untuk bertanya mengenai perkembangan novel Interlok edisi murid yang sedang dalam proses pindaan.

Berikut kenyataan bersama Dr N. S. Rajendran, G. Krishnabahawan dan saya (Uthaya Sankar SB) pada 19 April 2011, 11:00 pagi berhubung perkara itu:


1. Kami, ketiga-tiga wakil kaum India, telah menghadiri perjumpaan bersama Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011 di Aras 3, Menara Parlimen di mana keputusan rasmi adalah bahawa kesemua 106 saranan pindaan yang dikemukakan akan dilaksanakan. [RUJUK DI SINI]


2. Turut dipersetujui pada perjumpaan itu (23 Mac 2011) bahawa sebaik pindaan dilakukan, novel akan ditunjukkan kepada wakil kaum India untuk disemak sebelum novel dicetak dan diedarkan ke sekolah.


3. Menteri Pelajaran turut mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011 dengan membahagikan senarai 106 pindaan itu kepada 19 perkara yang khusus menyentuh sensitiviti kaum India, manakala baki 87 pindaan adalah berkaitan aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan berkaitan pengarang novel. [RUJUK DI SINI]


4. Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB mengadakan taklimat di Dewan Soma pada 25 Mac 2011 untuk menjelaskan 106 pindaan itu kepada wakil media dan orang ramai. [RUJUK DI SINI]


5. Selepas itu, kami bertiga belum menerima sebarang berita mengenai perkembangan kerja-kerja pindaan novel Interlok edisi murid. Dengan itu, kami juga tidak tahu pada tahap mana kerja-kerja pindaan itu sekarang.


6. Wakil media disarankan merujuk Kementerian Pelajaran Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung kerja-kerja pindaan ini kerana mereka lebih arif.


7. Kami bertiga hanya dapat mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi menerusi blog ini selepas menerima manuskrip novel yang sudah dipinda oleh DBP dan diserahkan kepada kami untuk disemak.


8. Kami juga merakamkan terima kasih kepada wakil media dan orang ramai yang prihatin berhubung perkara ini.