Debat yang saya sertai itu dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil. Ada masanya saya di pihak “pencadang” dan ada masanya di pihak “pembangkang”.
Dalam perbahasan peringkat sekolah, tiada sebarang pengaruh luar. Pelajar berhujah secara bebas mengikut tajuk yang dibahaskan. “Tajuk” tidak semestinya menentukan siapa yang akan menang; “pencadang” atau “pembangkang”.
Begitu juga, masing-masing ahli dalam kumpulan “pembangkang” dan “pencadang” akan mengemukakan hujah menepati apa yang mereka “perjuangkan” dalam perbahasan itu. Malah, sering kali, kedudukan mereka sebagai “pencadang” atau “pembangkang” ditetapkan oleh guru terbabit.
Para pelajar yang terlibat dalam perbahasan itu selalunya rakan sekelas, malah mungkin sahabat karib sejak zaman kanak-kanak. Namun, dalam konteks perbahasan itu, masing-masing mungkin “terpaksa” berada di pihak “pencadang” dan “pembangkang”.
Selesai perbahasan, pelajar terbabit pasti kembali menjadi sahabat dan rakan sekelas; tiada lagi “perbahasan” atau “permusuhan” dilanjutkan di luar daripada konteks perbahasan berdasarkan tajuk yang diberikan oleh guru serta kedudukan mereka sama ada sebagai “pencadang” atau “pembangkang”.
Pelajar terbabit juga selalunya tidak terlalu risau memikirkan sama ada mereka “menang” atau “kalah”. Malah, keputusan itu ditentukan oleh guru selaku hakim dalam perbahasan itu. Tentu sahaja keputusan hakim adalah berdasarkan pelbagai kriteria.
Berada di pihak “pencadang” tidak bermakna pelajar itu berada di pihak yang “benar” dan pasti “menang”. Begitu juga, berada di pihak “pembangkang” tidak bermakna pelajar itu berada di pihak yang “salah” dan pasti “kalah”.
Selesai perbahasan, pelajar yang mampu berfikir secara bijak (baca: ada otak) akan menyerahkan kepada kebijaksanaan guru selaku hakim untuk membuat keputusan berdasarkan segala hujah yang sudah dikemukakan dengan penuh tertib dalam sesi perbahasan itu.
Selepas itu, berdasarkan pengalaman yang sudah ditimba menerusi penyertaan dalam perbahasan itu, para pelajar akan bersedia masuk ke “gelanggang” perbahasan seterusnya dengan penuh semangat.
Demikian juga pengalaman saya pada zaman persekolahan. Pengalaman itulah yang “mendewasakan” saya dan menyediakan saya untuk menghadapi “perbahasan” selepas zaman persekolahan.