Maka, secara tidak langsung, Bahasa Malaysia “diteliti” pada peringkat antarabangsa dan blog yang menggunakan Bahasa Malaysia turut dibaca dan diselidik kelompok bukan warganegara Malaysia!
Blog saya juga telah disarankan pihak tertentu supaya dilabel sebagai “Kandungan Dewasa” sejak akhir tahun 2010 supaya sesiapa yang membaca catatan di blog saya berbuat demikian atas pilihan sendiri.
Pada masa sama, akaun laman rangkaian sosial Facebook saya juga sedang dipantau. Kerja-kerja pemantauan itu dilakukan beberapa “rakan” saya sendiri.
Untuk makluman, beberapa pegawai polis dan cawangan khas (special branch; SB) menambah saya sebagai rakan di Facebook sejak saya mula memperkatakan soal “Siapa Pendatang?” di Facebook dan blog.
Juga apabila saya menulis siri faksyen “Pulau Pendatang” dan “Anak-anak Pulau Cinta” yang disiarkan secara eksklusif di blog saya sebelum turut dipautkan (link) ke Facebook.
Sebenarnya, saya amat gembira dan rasa amat bertuah apabila akaun Facebook dan blog saya dipantau SB. Bukan semata-mata kerana ada “SB” pada nama saya!
Sebaliknya kerana kehadiran mereka (SB) membuatkan saya rasa lebih “selamat” dan “dilindungi”. Secara tidak langsung, saya secara penuh sedar akan lebih “berhati-hati” dalam setiap tindakan dan penulisan saya di Facebook dan blog.
Maka, pada kesempatan ini, saya merakamkan terima kasih kepada para pemantau berkenaan. Ucapan terima kasih juga kepada lebih 100 “pemerhati bebas” yang senarai mereka boleh dilihat di bahagian kiri, atas skrin ini. Saya tidak mahu menamakan mereka “pengikut” (followers) tetapi mereka adalah “pemerhati bebas”.
Terima kasih kepada SB, pemantau dan pemerhati bebas yang secara tidak langsung menjadi sumber kekuatan saya untuk bersuara di Facebook dan blog.
..
Bagi sesiapa yang menulis komen atau mengemukakan pandangan di blog saya atau akaun Facebook saya, sila jaga etika.