22 Aug 2010

Mencari Epal Kuning

Ternyata bukan mudah untuk “menjamah” epal kuning yang dihasilkan Roslan Jomel (Abang Lan). Kisah awal mengenai kumpulan cerpen sulung beliau pernah saya ceritakan sebelum ini [DI SINI].
.

Melalui catatan pada ruangan status di Facebook, Abang Lan sendiri mengakui betapa sukar mendapatkan buku itu; termasuk di Koperasi Buku DBP yang terletak di Tingkat Bawah Menara DBP, Kuala Lumpur.

.

Abang Lan cuba mendapatkannya di kedai buku berkenaan tetapi tiada. Saya memutuskan untuk mengatur pertemuan dengan Abang Lan untuk membeli terus daripada beliau, sekali gus mendapatkan tanda tangan beliau pada naskhah berkenaan.

.

Pada tengah hari 18 Ogos 2010, saya menelefon Saudara Isa yang dahulu bersama Dawama Sdn Bhd tetapi kini bersama Koperasi Buku DBP. Saya turut mengirim e-mel kepada Saudara Zulhilmi di Dawama, Ulu Kelang untuk bertanya jika ada stok di sana. Saya memutuskan: jika ada stok buku Namaku Epal Kuning di Dawama, maka elok saya membeli beberapa naskhah untuk dijual kepada sesiapa yang berminat.

.

Dalam reaksi kepada catatan Abang Lan di Facebook, Nisah Haron mengatakan bahawa beliau ada melihat sejumlah buku itu tersusun kemas di rak Koperasi Buku DBP baru-baru ini. Maka, saya memutuskan untuk mencuba nasib pada 19 Ogos 2010.

.

Saya dan Devishi Prabha Sankari ke Bangsar pada pagi 19 Ogos 2010 untuk bertemu Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Devishi mengenali Pak Samad sejak lahir dan memanggil beliau sebagai “Samad Taata” (Datuk Samad). Kali terakhir mereka berdua bertemu adalah pada 6 Februari 2010 di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya.

.

Kami berbincang secara ringkas hal-hal berkaitan Kavyan. Pak Samad memaklumkan bahawa beliau mengikuti perkembangan saya (dan Kavyan) menerusi paparan minda di blog saya dari semasa ke semasa.

.

Selepas pertemuan singkat itu, saya dan Devishi ke Koperasi Buku DBP. Akhirnya kami menemui Namaku Epal Kuning (2010) yang diletakkan di rak berlabel “Novel Dewasa”.

.

Apabila melihat buku dengan kulit warna kuning dan ilustrasi (foto) sebiji epal warna kuning, reaksi spontan Devishi: “Sangat kreatiflah orang ini.” Dalam kesesakan jalan raya (lebuh raya) untuk pulang ke Shah Alam, saya dan Devishi sempat merakam foto menggunakan telefon bimbit: aksi “menggigit” buku sebagai simbol mahu “menjamah” karya yang disajikan.

.

Harga pasaran bagi buku yang diusahakan DBP Cawangan Sarawak dan setebal 328 halaman ini adalah RM30.00. Seperti yang sudah saya duga, Abang Lan bersikap amat merendah diri pada bahagian biodata buku berkenaan. Saya telah mengharapkan bahagian prakata yang memuatkan proses kreatif penulis bebas ini, tetapi tiada.

.

Apa pun, penulis yang lahir di Kuching, Sarawak (catatan kepada politikus dan Badut Paul Lathic: Ya, Sarawak dan Sabah adalah sebahagian Malaysia sejak Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963) ini mula terlibat dalam bidang penulisan pada 1990 dan antara penulis muda (angkatan baru) yang menjanjikan karya yang layak diangkat sebagai “sastera”.

.

Dalam kumpulan cerpen Namaku Epal Kuning, kesemua 18 cerpen memiliki judul yang unik dan mampu memancing minat pelbagai peringkat pembaca. Perenggan pertama setiap cerpen juga memiliki narrative hook yang unik dan pasti “memaksa” pembaca meneruskan pembacaan.

.

Berikut judul beberapa cerpen serta sedikit petikan awal:

.

Namaku Epal Kuning

Namaku Epal Kuning. Sebelum itu aku merupakan manusia seperti saudara juga. Berfikiran. Sudah tentu saudara tertawa berhadapan imej hodohku ini berbanding ciptaan sempurna Tuhan.

.

Cerita Tentang Penulis Cerita

Saya hendak berkongsi sebuah cerita dengan saudara. Cerita ini telah menjadi hak milik saya sekian lama. Maka, tidak menyalahi undang-undang sama ada saya ingin menyimpannya buat selama-lamanya di dalam hati atau mengajak saudara turut berkongsi menerima cerita ini.

.

99 Hari Emak Saya Dinaikkan ke Angkasa

Saya mati kelmarin dicucuk sebatang lidi. Paha kanan saya jadi lembik bagai sayur rebus. Apabila terbangun dari tilam kekabu keesokan pagi, saya menangis kerana masih hidup seperti sedia kala.

.

Belilah Sebuah Rumah Baharu

Emak saya bernama Ketam Suri. Seorang wanita berdikari dan tidak kelihatan di skrin televisyen. Tinggal secara solo di dalam sebuah khemah plastik yang didirikan olehnya sendiri pada sembilan puluh lima tahun sudah.

.

Pencari Syurga

Sudah seminggu dia hidup di tepi gaung. Lelaki separuh urban. Entah mengapa dia terdorong naik ke puncak gunung berbatu keras itu.

.

Lelaki Ahli Sihir Tua

Sudah seminggu dia mengasingkan diri dilindungi sebatang pohon kemboja yang paling rimbun di dunia, tempat teduhan keramat para wali seperti yang diceritakan beberapa insan kamil untuk melepaskan penat lelah dari kilometer ekspedisi ...

.

Tuan Presiden Belayar dengan Kapal Hantunya

Saya tidak memiliki sebuah bilik peribadi untuk menyimpan naskhah asal manuskrip arahan pentas bertulisan tangan yang membentuk cerita perjalanan separuh komedi bekas seorang Tuan Presiden pada penghujung tempoh kekuasaannya, ...

.

Sambungkan Saya ke Langit

Ayah saya bukan spesies moluska. Kaki dia sepasang dan dada bidangnya tidak berbulu seperti aktor Erick Estrada. Dia membelah dunia dengan gigi taringnya pada pukul lima petang setiap hari.

.

Jurusalem Baharu

Saya diberi tempat tinggal di dalam tandas oleh Tuan Rumah yang baik hati. Hampir sebulan saya diperam tanpa pedoman dan sejalur cahaya.

.

Lelaki dengan Sebelah Kepala

Soalan: Bolehkah Bapa Besar meneruskan kehidupan biologi dan kelangsungan politiknya dengan memiliki hanya sebelah kepala?

..

Mustahil ada peminat karya bermutu yang tidak tertarik untuk menjamah cerpen-cerpen di dalam buku ini. Saya akan menjadikan Namaku Epal Kuning antara santapan minda sepanjang Ramadan 1431 sambil mengharapkan peluang bertemu Abang Lan untuk mendapatkan tandatangannya, sebelum beliau “naik belon” ke Kuching pada 1 September 2010.

.

Catatan Nakal: Saya mengenali Roslan Jomel sejak 1991 apabila kami sama-sama menyertai Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan sejak itu teringin memanggilnya “Abang Comel” tetapi bimbang dianggap mempersendakan nama ayah beliau.
.
Cadangan Nakal: Bacalah cerpen pertama dalam buku ini sebagai "Prakata" atau "Proses Kreatif" dan bacalah cerpen kedua dalam buku ini sebagai "autobiografi" yang sengaja ditulis menggunakan sudut pandangan orang ketiga. Untuk mengetahui apa yang dilakukan watak "Encik Berus Kapur" dalam cerpen kedua, bacalah kisah watak "saya" dalam cerpen "Puan Magnolia".
.
Bacaan Lanjut: Catatan Roslan Jomel sendiri boleh dibaca DI SINI.