Friday, 20 August 2010

Kiub Rubik, Turbin Laut dan Monyet Titi

Bahagian Satu - DI SINI.
.
Kiub Rubik yang dicipta pakar seni bina Hungary, Ern Rubik, pada 1974 mempunyai 43,252,003,274,489,856,000 kombinasi gerakan tetapi maksimum 20 gerakan sudah cukup untuk memastikan keenam-enam permukaan alat permainan itu mempunyai hanya satu warna.
.

Kejayaan ini adalah hasil kajian selama 35 tahun melibatkan sekumpulan pakar matematik beberapa universiti terkemuka di Amerika Syarikat dan seorang jurutera komputer di Google.

.

Permasalahan atau kebarangkalian kombinasi yang wujud bersama setiap pergerakan atau putaran pada Kiub Rubik dikira dan kemudian dipecahkan menjadi gugusan kombinasi yang lebih kecil.

.

Kombinasi itu dibahagikan kepada 2,217,093,120 kombinasi lebih kecil di mana setiap satu mempunyai 19,508,428,800 posisi berbeza.

.

Kemudian, pecahan kebarangkalian ini dimasukkan ke dalam memori komputer untuk seterusnya membantu mencari langkah paling efektif untuk menyelesaikan permasalahan.

.

Kiub Rubik pada mulanya dikenali sebagai Magic Cube tetapi ditukar kepada Rubik's Cube sebelum ciptaan itu dilesenkan kepada syarikat Ideal Toys pada 1980.

.

Selepas kajian selama hampir 35 tahun, pakar matematik memutuskan bahawa permainan uji minda dengan enam permukaan berwarna putih, merah, biru, jingga, hijau dan kuning itu sebenarnya boleh diselesaikan dengan kurang daripada 20 gerakan.

.

Sementara itu, sebuah turbin laut yang diiktiraf terbesar di dunia sudah siap dibina selepas kerja-kerja untuk menghasilkannya bermula lebih 10 tahun lalu.

.

Mesin atau enjin yang menggunakan arus air laut pasang dan surut untuk memutar roda bagi menghasilkan tenaga ini beratnya 130 tan, 22.6 meter tinggi dan mempunyai dua set tiga kepingan bilah berputar (rotor) yang mempunyai diameter 18.3 meter.

.

Turbin AK1000 mampu menghasilkan tenaga elektrik untuk kegunaan 1,000 rumah apabila siap dipasang di Pusat Tenaga Marin Eropah, Orkney di utara Scotland.

.

Ketua Eksekutif Atlantis Resources, Tim Cornelius menjelaskan bahawa jentera yang menghasilkan tenaga hidroelektrik itu akan dipasang di dalam laut tetapi ia tidak membahayakan hidupan laut.

.

“Turbin AK1000 berputar antara enam dan lapan pusingan seminit, maka putarannya adalah amat perlahan dan tidak memberi sebarang kesan negatif kepada persekitaran,” katanya.

.

Turbin laut terbesar di dunia itu dibawa dari Pelabuhan Invergordon, Scotland ke Orkney pada 12 Ogos lalu.

.

Dalam pada itu, Spesis baru monyet Amazon dikesan di Colombia baru-baru itu tetapi pengkaji dan pencinta hidupan liar melahirkan kebimbangan bahawa penebangan hutan bagi tujuan pertanian mungkin menyebabkan spesis itu pupus dalam masa terdekat.

.

Penemuan spesis baru itu diumumkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Conservation International, yang membiayai kerja-kerja penyelidikan itu di tengah-tengah hutan hujan tropika berhampiran sempadan Colombia, Ecuador dan Peru yang dianggap berbahaya kerana menjadi tempat persembunyian puak pengganas.

.

Sekumpulan pengkaji dari Universiti Kebangsaan Colombia berjaya mengesan 13 kumpulan monyet spesis baru itu di beberapa kawasan sekitar Caqueta di bahagian selatan negara itu.

.

Hasil penemuan yang menakjubkan itu dilaporkan dalam jurnal Primate Conservation pada 12 Ogos 2010.

.

Menurut laporan itu, Monyet Titi Caqueta, atau nama saintifiknya Callicebus caquetensis, sudah pun berhadapan masalah kepupusan kerana dianggarkan ada 250 sahaja yang masih hidup.

.

Monyet berkenaan sebesar kucing dan bulu perang kekelabuan; tetapi ia tidak mempunyai tanda putih yang terdapat pada spesis Monyet Titi yang lazim ditemui di Amazon.

.

“Ini suatu penemuan yang menakjubkan bagi pencinta alam,” kata Jeffrey French, seorang profesor biologi dan psikologi dari Universiti Nebraska yang terlibat dalam penyelidikan primat di Hutan Amazon, Brazil.

.

Monyet Titi Caqueta bersifat monogami, melahirkan hanya satu anak setahun dan biasanya tinggal dalam kumpulan empat sekeluarga.

..

(Bahan dikumpul dari pelbagai sumber dan skrip ini disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 15 Ogos 2010.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!