Sehingga kini, 7 individu sudah mengesahkan kehadiran. Untuk berlaku adil, saya mengandaikan bahawa hanya 4 peserta yang akan benar-benar hadir nanti.
Apa pun, saya menyediakan bahan untuk kegunaan 7 peserta kerana tidak mahu mengecewakan mereka yang hadir.
Dalam hal ini, saya tidak bersikap prejudis atau tidak percaya terhadap 7 individu yang sudah mendaftar menerusi e-mel. Sebaliknya, saya membuat persiapan bagi kejayaan yang terbaik sambil bersedia menghadapi kemungkinan terburuk.
Beberapa editor di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd menyumbangkan 10 naskhah majalah e-baca, e@siswa dan Fokus SPM untuk dijadikan panduan peserta; kerana ketiga-tiga majalah menyediakan ruangan cerpen.
Slaid PowerPoint sudah disiapkan untuk dipaparkan pada skrin semasa bengkel; dan akan difotokopi pada Sabtu ini untuk diedarkan sebagai nota kepada peserta bengkel.
Saya juga bercadang menghasilkan manuskrip beberapa cerpen supaya dapat dijadikan bahan perbincangan bengkel.
Harapan saya adalah agar peserta yang hadir nanti datang dengan penuh persediaan dan bersemangat untuk terus menghasilkan manuskrip cerpen; sekurang-kurangnya dua halaman awal.
Cerpen yang bermutu dan mencapai tahap yang diinginkan akan diedit dan disalurkan kepada editor majalah e-baca, e@siswa dan Fokus SPM untuk dinilai bagi tujuan penyiaran.
Seperti yang saya nyatakan tadi, saya membuat persiapan bagi kejayaan yang terbaik sambil bersedia menghadapi kemungkinan terburuk. Kalau peserta bengkel tidak menghasilkan manuskrip cerpen pada hari yang sama, sekurang-kurangnya saya tetap ada motivasi untuk menghasilkan karya.