10 Jun 2010

Mutiara Minda MPH

Pada pagi 9 Jun 2010, saya berpeluang bertemu Mariam Abd Thany dan Datin Shajaratuddur di pejabat MPH di Petaling Jaya.
.

Saya menerima undangan Mariam untuk berbincang tentang pengisian Mutiara Minda; semacam versi Bahasa Malaysia bagi Quill. Apabila Mariam selaku editor surat berita itu menghubungi saya melalui e-mel pada 4 Jun 2010, saya terus bersetuju untuk terlibat dalam usaha membantu “merancakkan” penulisan Bahasa Malaysia sebagai pengisian bagi Mutiara Minda.

.

Dalam pertemuan pada 9 Jun, Mariam menceritakan mengenai konsep, kandungan dan pengisian Mutiara Minda sambil saya membelek-belek surat berita keluaran Mei-Julai 2010 yang menampilkan Faisal Tehrani di muka depan.

.

Saya diberi kepercayaan untuk menulis mengenai Kumpulan Sasterawan Kavyan, Sasterawan Kavyan, penulis Tamil dan sedikit resensi buku. Juga mengenai pencalonan Prof Madya Dr Lim Swee Tin untuk Anugerah Sastera Negara.

.

Tentu sahaja saya bersetuju kerana ada beberapa penulis yang dapat saya kenal pasti dengan segera dan saya yakin mereka akan memberi komitmen yang diharapkan.

.

Penulis yang berminat bolehlah segera menghubungi saya kerana bahan-bahan perlu sampai kepada saya selewat-lewatnya pada 25 Jun 2010 supaya sempat dinilai, disunting dan diterbitkan dalam keluaran Ogos-Oktober 2010.

.

Versi dalam talian boleh dibaca di sini: Mutiara Minda – tetapi sila maklum bahawa kandungan versi dalam talian ini tidak sama dengan versi bercetak.

.

Selepas selesai perbincangan formal (sebenarnya agak santai juga), saya dan Mariam berbual tentang pengalaman kerja beliau sebelum ini sambil minum.

.

Mariam ternyata seorang pengamal media yang berpengalaman dan berbakat besar. Walaupun beliau merendah diri, saya dapat “membaca” bakat besar yang ada dalam dirinya. Kalaulah saya pemilik akhbar Sinar Harian – atau mana-mana akhbar – saya akan memastikan Mariam menyertai syarikat akhbar saya!