4 Mar 2010

e-mel kepada Ayya

Pada Khamis, 4 Mac 2010, umur Devishi Prabha Sankari genap 8 tahun. Acha berasa amat sedih kerana tidak dapat membuat apa-apa sebagai sambutan hari jadinya.
.

Beberapa tahun lalu, Acha dan Ayya pernah berbincang mahu membuat sambutan di dewan orang ramai dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi kawan-kawan Devishi sempena hari jadinya. Bagaimanapun, semua itu tinggal sebagai perancangan.

.

Acha rasa amat kasihan pada Devishi. Pada Isnin, 1 Mac, Acha mengambil duit gaji sulung sejak bekerja di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd. Acha dan Devishi pergi menempah kek hari jadi dengan tulisan “Happy Birthday Princess Devishi”.

.

Hanya itulah yang mampu Acha lakukan. Dapat sahaja gaji, bayar hutang itu dan ini, tinggal berapa ratus ringgit sahaja baki di tangan untuk kegunaan selama sebulan.

.

Devishi tentu ada impian mahu menyambut hari jadi secara besar-besaran dengan menjemput kawan-kawannya. Malangnya, Acha memang tidak mampu buat masa kini.

.

Devishi pula seperti memahami keadaan Acha dan hanya meminta kek warna merah jambu untuk hari jadinya. Dia tidak meminta apa-apa hadiah atau sambutan/jamuan hari jadi.

.

Semalam, Devishi menepuk-nepuk bahu Acha dan berkata, "Acha, I am your princess and you are my king."

.

Sambil membuat catatan ini, Acha sedang menangis kerana terlalu sedih. Apalah dosa Devishi. Ayya sudah dewasa dan tentu faham masalah kewangan yang dihadapi tetapi bagaimana dengan Devishi? Tentu dia ada keinginan di hati untuk bergembira dan menyambut hari jadi dengan menjemput kawan-kawannya.

.

Akan tetapi, Devishi seperti memahami kedudukan kewangan Acha. Dia tidak meminta apa-apa daripada Acha. Hal ini membuatkan Acha lebih sedih dan rasa lebih bersalah.

.

Setiap kali melihat wajah Devishi yang tersenyum ceria, Acha rasa sedih kerana dia terpaksa sama-sama menghadapi semua masalah ini. Acha hanya mampu membelikan kek untuk hari jadinya. Itu sahaja.

.

Tuhan menganugerahkan anak-anak yang sangat hebat kepada Acha dan Acha rasa amat sedih kerana tidak mampu memberikan apa-apa kepada mereka.

.

Bagi pihak Devishi dan Ayya sendiri, tolong maafkan Acha.