17 Aug 2009

Sketsa Bahasa Perpaduan

Rangka skrip bagi sketsa yang disiarkan di MinnalFM pada 17 Ogos 2009. Supaya mesej dapat dihayati bersama. ...

Pak Cik: Vanakam, Murthy. Apa khabar?

Bapa: Khabar baik. Bila sampai?

Pak Cik: Semasa kamu sedang rancak berbual dengan kawan kamu melalui telefon tadi. Tak sangka pula kamu begitu fasih berbahasa kebangsaan.

Bapa: (ketawa) Apa pula yang menghairankan? Mungkin sebab kamu tidak pernah mendengar saya bercakap bahasa kebangsaan.

Pak Cik: Benar juga. Dalam kalangan kita, kita bukankah ketara menggunakan Bahasa Tamil?

Bapa: Akan tetapi, kita tidak boleh pula meminggirkan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia, bukan? Kalau kita menguasai banyak bahasa, kita yang untung.

Pak Cik: Saya amat setuju. Tambahan pula, kita sebagai rakyat Malaysia wajib tahu bahasa kebangsaan. Kita menguasai Bahasa Tamil sebagai bahasa ibunda dan juga Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.

Bapa: Malah, kalau boleh, elok kita belajar juga Bahasa Mandarin kerana bahasa itu juga semakin penting pada peringkat antarabangsa; khasnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Pak Cik: Peringkat antarabangsa, satu hal. Jangan kita lupa bahawa ramai sahabat dan jiran tetangga kita adalah kaum Cina. Boleh juga kita berbual bersama mereka menggunakan Bahasa Mandarin.

Bapa: Seperti yang saya katakan tadi, tidak rugi kalau kita menguasai banyak bahasa. Apabila kita belajar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, tidak bermakna kita meminggirkan bahasa ibunda.

Pak Cik: Mengikut Perlembagaan, Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi. Malah ia juga bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antara masyarakat pelbagai kaum.

Bapa: Kita mungkin menganggap soal penguasaan bahasa kebangsaan sebagai tidak penting. Tetapi jangan lupa bahawa kelulusan subjek Bahasa Malaysia peringkat SPM amat penting untuk meneruskan pengajian dan mencari pekerjaan.

Pak Cik: Untuk menguasai bahasa kebangsaan bukannya susah. Tanpa mengira kaum, kita perlu menganggap bahasa itu sebagai “bahasa kita” dan bukan “bahasa orang lain”.

Bapa: Semangat seperti itulah juga yang akan membantu menjayakan konsep “Satu Malaysia”. Kita perlu sedar bahawa negara ini adalah negara kita semua tanpa mengira kaum.

Pak Cik: Tindakan-tindakan kecil seperti inilah yang bakal menjayakan usaha-usaha besar – memupuk perpaduan, mahupun membina Bangsa Malaysia.

Bapa: Tengok tu, telefon kamu sedang berdering. Jawablah dulu.

Pak Cik: (dengan fasih dalam BM) Selamat sejahtera, Razali. Saya sihat. Terima kasih. Apa yang boleh saya bantu? …