Mulai 15 Ogos 2009, sekitar pukul 1:30 tengah hari, selama 15 hari, MinnalFM menyiarkan sketsa pendek (sekitar 3 minit) yang saya tulis bertema Merdeka dan Satu Malaysia. Penerbitnya Prema Krishnan manakala editor yang membantu saya “memurnikan” skrip ialah Hemantha Kumar Nagappan.
Saya cuba menulis kisah yang mudah dengan gaya yang mudah.
Berikut “rangka” skrip bagi sketsa yang disiarkan pada 16 Ogos 2009. Rangka ini boleh memberi sedikit gambaran kepada semua mengenai kandungan sketsa yang disiarkan pada hari berkenaan.
Bapa: (ketuk pintu) Kumar, sedang buat apa, tu? Emak kamu kata, minum petang sudah tersedia.
Anak: Masuklah, ayah. Pintu bilik tidak berkunci. Saya sedang berbual dengan rakan-rakan melalui Facebook.
Bapa: Facebook? Buku muka? Entahlah, saya tak faham segala teknologi moden ini.
Anak: Ayah tak bolehlah bercakap macam ini. Teknologi internet ini memang canggih. Akan tetapi, bukannya sukar untuk dipelajari dan dikuasai.
Bapa: (ketawa) Mungkin juga benar. Ada beberapa orang kawan saya, selepas bersara, meluangkan masa dengan internet. Mereka membaca surat khabar pun di skrin komputer.
Anak: Sekarang ini, memang internet sudah menjadi sebahagian daripada keperluan dalam kehidupan seharian kita. Sebab itulah juga kerajaan berusaha memastikan kemudahan internet sampai kepada setiap rakyat; termasuk di kawasan pedalaman.
Bapa: Pendedahan yang diberikan di sekolah juga membantu anak-anak kecil pun sudah pandai menggunakan komputer dan internet. Ada kalanya, ibu bapa pula yang menjadi risau.
Anak: Saya faham mengapa ayah risau. Akses internet memang tiada had. Kandungannya pula pelbagai.
Bapa: Saya cuma risau anak-anak akan mendapat maklumat yang salah daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.
Anak: Itu memang suatu cabaran. Memang sukar untuk menyekat kandungan di internet. Akan tetapi, para pengguna perlu bijak memilih dan menentukan sumber mana yang boleh dipercayai dan mana pula yang meragukan atau tidak boleh dipercayai.
Bapa: Kerajaan memang berusaha menapis kandungan atau maklumat yang tersebar melalui internet. Tetapi, akhirnya terpulang kepada kita sendiri untuk bersikap bijak.
Anak: Kebebasan yang diberikan janganlah pula disalah gunakan sehingga menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Apatah lagi jika ia menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.
Bapa: Saya percaya, kamu tidak menyalah gunakan kebebasan yang diberikan untuk mengakses internet.
Anak: Jangan risau, ayah. Saya menggunakan internet untuk tujuan-tujuan yang baik sahaja. Tentulah saya tidak akan menjejaskan kepercayaan yang ayah letakkan pada saya dengan memasang kemudahan internet di rumah kita.
Bapa: (tiba-tiba) Eh! Itu foto keluarga kita, kan?
Anak: Betul, ayah. Foto yang kita ambil minggu lalu. Saya muat naik ke album di Facebook supaya kawan-kawan saya di luar negara boleh melihatnya.
Bapa: Di bawah setiap foto itu ada pula catatan kata-kata. Daripada kawan-kawan kamu, ya?
Anak: Ya, kawan-kawan saya di Facebook menulis komen selepas melihat foto-foto yang saya upload.
Bapa: Wah! Banyaknya foto. … Ini semasa sambutan Deepavali, bukan?
Anak: Bukan hanya foto semasa Deepavali tahun lalu. Lihat di sini … Sambutan hari jadi kawan saya bulan lalu, rombongan ke Putrajaya bersama rakan-rakan sekolah dulu, majlis perkahwinan jiran kita dan bermacam-macam lagi.
Bapa: Komen yang ditulis oleh kawan-kawan kamu pula ada yang dalam Bahasa Inggeris, ada dalam Bahasa Malaysia dan ada juga dalam Bahasa Tamil!
Anak: Bahasa memang tidak menjadi halangan di ruang siber. Mungkin ada yang berpendapat, internet hanya menggunakan Bahasa Inggeris. Sebenarnya tidak. Misalnya, ada begitu banyak laman sesawang menggunakan Bahasa Tamil.
Bapa: Memang menarik. Nampaknya saya juga sudah mula berminat untuk membuka akaun Facebook.
Anak: Baguslah, ayah. Saya boleh membantu. Nanti jangan lupa tambah saya sebagai kawan di Facebook.
Bapa: (ketawa) Mana pula anak-anak suka berkawan dengan ibu bapa melalui internet? Kawan-kawan saya kata, anak-anak mereka tidak mahu kebebasan mereka terhalang.
Anak: Saya tidak berasa begitu. Sepatutnya ibu bapa perlu sama-sama mempelajari penggunaan internet. Buat juga akaun jaringan sosial seperti Facebook dan tambah anak-anak sebagai kawan. Secara tidak langsung, boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan di ruang maya/siber.
Bapa: Betapa baik jika semua anak-anak berfikiran seperti kamu, Kumar. Apapun, sebentar nanti bolehlah kamu tolong saya untuk membuka akaun Facebook.
Anak: Tidak menjadi masalah. Malah, ayah juga boleh memblog menggunakan Bahasa Tamil untuk berkongsi pengalaman ayah.
Bapa: Hmm, saya sudah tak sabar untuk berkongsi pengalaman saya dengan generasi muda.
Anak: Saya juga tidak sabar untuk mempromosi blog ayah kepada rakan-rakan!Bapa: Sebelum itu, mari kita pergi minum teh. Tentu emak kamu menunggu.