24 Aug 2009

Menteri dan Bahasa Malaysia

Pada 23 Ogos 2009, saya mengemukakan suatu pertanyaan di Facebook; iaitu meminta rakan-rakan membantu menyenaraikan 10 Menteri yang mampu menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dan bermaruah semasa berucap pada majlis rasmi dan pada sidang media.
.
Saya sendiri telah memasukkan nama Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk memulakan senarai berkenaan.
.
Perkara yang saya masukkan pada ruang “status” profil saya di Facebook segera mendapat perhatian beberapa rakan, apabila mereka menandakan “suka” (like) pada “status” yang saya letakkan.
.
Namun, senarai yang diperlukan amat lambat diperoleh walaupun ramai rakan-rakan yang sedang menggunakan Facebook pada ketika itu.

Hanya sekitar sejam kemudian, nama kedua dicadangkan; iaitu Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beberapa jam kemudian, nama Datuk Ong Tee Keat dikemukakan.
.
Saya mahu bersikap positif dalam hal ini; iaitu tidak mahu mengatakan “rakan-rakan” saya di Facebook bersikap pasif dan/atau tidak mahu terlibat dalam membantu menambah nama-nama pada senarai yang saya minta.
.
Wajar juga dinyatakan bahawa “rakan-rakan” saya di Facebook terdiri daripada pelbagai kelompok; termasuk juga mereka yang ada hubungan rapat (secara profesional) dengan Kerajaan Pusat dan Kerajaan-kerajaan Negeri.
.
Saya amat sedar bahawa “rakan-rakan” saya hanya akan mencadangkan nama individu yang mereka benar-benar yakin memenuhi kriteria yang dikehendaki.
.
Mereka tentu sedar bahawa setiap “status” yang saya nyatakan di Facebook bukan benda main-main.
.
Segera saya teringat pada peribahasa Tamil yang membawa makna, “hanya apabila ada sesuatu di dalam periuk, barulah dapat dicedok oleh senduk”.
.
Sempat juga saya melahirkan pandangan peribadi saya di Facebook, iaitu bahawa “patutlah Bahasa Malaysia kurang menyerlah” kerana untuk menyenaraikan 10 Menteri yang fasih Bahasa Malaysia pun begitu sukar!
.
Sehari kemudian, pada 24 Ogos 2009, apabila saya menyemak Facebook, tiada pertambahan nama.
.
Kecuali suatu catatan oleh seorang rakan yang dengan berani menyebut bahawa penguasaan Bahasa Malaysia oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (semasa berucap pada majlis rasmi dan sewaktu sidang media) juga mengecewakan; sekaligus tidak memenuhi kriteria mampu menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dan bermaruah semasa berucap pada majlis rasmi dan pada sidang media” seperti yang saya perlukan untuk melengkapkan senarai.
.
Ada cadangan nama untuk melengkapkan senarai “Sepuluh Menteri yang Mampu Menggunakan Bahasa Malaysia yang Betul dan Bermaruah Semasa Berucap pada Majlis Rasmi dan pada Sidang Media”?
.
Nota: Logo MBR sekadar hiasan sebagai menyokong semangat Malaysia Boleh!