20 May 2009

Sajak-sajak SN Dato’ Usman Awang

Sebelum bermulanya acara di Hotel Shangri-La, Putrajaya pada 19 Mei 2009, saya diperkenalkan oleh Sdr Helmy Samad kepada dua pegawai dari UA Enterprises Sdn Bhd: Puan Haslina Dato’ Usman (Pengarah Eksekutif) dan suami beliau, Encik Abdul Rahim Affandi (Ketua Operasi).

Saya terasa amat bertuah kerana dapat bertemu dengan anak kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang.

Terus sahaja saya nyatakan bahawa Kavyan sebenarnya berminat mengadakan acara Baca Puisi dan Baca Cerpen Usman Awang – mengikut konsep yang digunakan bagi karya-karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said – sebagai usaha Kavyan memberi penghormatan terhadap Sasterawan Negara.

Puan Haslina mengakui betapa ramai – terutama generasi muda – yang tidak mengenali diri dan karya Allahyarham. Beliau juga berminat dan sedang mencari orang untuk menterjemah puisi-puisi Allahyarham Dato’ Usman Awang ke Bahasa Tamil; lalu bertanya sama ada saya boleh membantu.

Terus sahaja saya bersetuju menjadi penyelaras dan membantu mencarikan sekumpulan penterjemah yang boleh melakukan kerja-kerja tersebut.

Perkara ini tidak mustahil kerana saya pernah menerima “tugasan” menjayakan penerbitan Seruling di Persimpangan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka lebih sepuluh tahun lalu.

Jika ada yang berminat, segeralah hubungi saya supaya kerja-kerja menterjemah sajak-sajak Allahyarham Dato’ Usman Awang ke Bahasa Tamil boleh dimulakan segera.

Khabarnya, ada acara baca puisi pada 12 Julai 2009, sempena memperingati tarikh kelahiran Allahyarham.