2 Jul 2008

Kelab Membaca Kebangsaan

Sekitar pukul 2:00 petang, saya sempat pergi ke Dewan Merdeka PWTC bagi menyaksikan majlis pelancaran Kelab Membaca Kebangsaan dan Festival Membaca 2008 oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Turut dilancarkan lagu tema kempen membaca bertajuk “Budaya Membaca” (lagu: Pak Ngah, lirik: Habsah Hassan).

Sesudah acara yang serba ringkas (dan amat membanggakan!), saya tidak melepaskan peluang untuk mendaftar sebagai Mentor Kelab Membaca. Manakala Devishi Prabha Sankari pula saya daftarkan sebagai ahli kelab yang dikenali sebagai Sinar Pintar.

Salah satu daripada objektif Sinar Pintar (menurut buku program) adalah untuk menjadikan membaca atau aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan membaca satu aktiviti riadah yang menyeronokkan di samping boleh meningkatkan pengetahuan dan pengalaman.

Objektif utama Sinar Pintas adalah untuk memperkayakan kehidupan kanak-kanak melalui tabiat membaca dan seterusnya melahirkan generasi yang bermaklumat dan berintelek.